Sejak kebelakangan ini terdapat isu hangat berkaitan pertelingkahan antara kumpulan pemuzik serta penyanyi berkaitan pengunaan nama kumpulan. Dalam undang-undang, nama kumpulan muzik boleh dikategorikan di bawah harta intelek tanda dagang.
Kebiasaannya dalam sesuatu kumpulan muzik terdapat lebih daripada satu orang. Oleh itu, lebih baik jika penyertaan ahli muzik dalam kumpulan itu diikat dengan satu perjanjian bertulis antara ahli-ahli.
Perjanjian kumpulan muzik ini boleh disamakan atau mirip dengan perjanjian rakan kongsi dalam perniagaan. Dalam perjanjian ini haruslah dengan jelasnya menerangkan berkaitan penggunaan nama kumpulan oleh ahli-ahlinya. Perjanjian haruslah dengan jelasnya menyatakan siapa berhak menggunakannya dan bila boleh digunakan dan di mana ia boleh digunakan.
Dalam kumpulan muzik, setiap ahli biasanya berhak menggunakan nama kumpulan tersebut secara kolektif atau secara persendirian. Namun perincian boleh dibuat dalam perjanjian.
Setiap ahli yang menggunakan nama ini untuk apa-apa tujuan komersial juga seharusnya membahagikan keuntungan dan kerugian sama rata dan dalam penggunaan nama kumpulan muzik, pembahagian apa-apa royalti juga harus dijelaskan dengan terang di dalam perjanjian.
Perjanjian kumpulan muzik juga harus memasukkan isu-isu berkaitan pemilik harta-harta kumpulan antaranya alat muzik, lagu rakaman serta perjanjian rakaman dan sebagainya.
Perjanjian sebegini juga harus memasukkan klausa berkenaan sekiranya ada ahli yang ingin keluar daripada kumpulannya dan penggunaan nama kumpulan oleh ahli-ahli yang keluar termasuk kebenaran atau larangan penggunaan nama kumpulan sekiranya ahli tidak lagi bersama mereka.
Perjanjian sebegini juga harus memasukkan isu berkaitan pembelian dan penjualan hak ahli yang ingin meninggalkan kumpulan itu.
Dalam perjanjian sebegini harus dinyatakan tentang siapa yang berkuasa untuk menyingkirkan ahli atau pengambilan ahli baru serta siapa yang mempunyai kuasa menandatangani perjanjian atau berunding dengan pihak ketiga berkenaan hal-hal kumpulan muzik tersebut.
Tanda dagang kumpulan muzik sebaiknya didaftar secara rasmi agar ia tidak digunakan oleh pihak ketiga demi meraih keuntungan. Serta pemilikan tanda dagang kumpulan haruslah dengan jelas dinyatakan di dalam perjanjian ini.
Tanda dagang bukan saja boleh digunakan bagi nama kumpulan namun boleh digunakan untuk mendapat perlindungan bagi penjualan barangan dagangan seperti kemeja-T, poster, pelekat dan sebagainya di bawah nama kumpulan itu.
Lagu-lagu, nota lirik serta lirik serta rakaman jatuh di bawah hak cipta. Walaupun ia tidak perlu didaftarkan namun ada kemudahan yang mana hak cipta boleh didaftarkan di Malaysia demi mendapat perlindungan undang-undang. Syarat sebegini juga harus dinyatakan dengan jelas di dalam perjanjian kumpulan muzik di antara ahli-ahlinya.
Terma-terma yang nyatakan di sini bukanlah terhad, lain-lain terma yang bersesuaian boleh disertakan bersama mengikut penyesuaian kumpulan itu. Walaupun ia merumitkan namun dengan ada perjanjian bertulis boleh mengelakkan pertelingkahan di masa depan antara ahli dan melindungi kepentingan semua ahli.
Untuk makluman harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain berkaitan.
Harta intelek boleh dipecahkan kepada beberapa kategori antaranya yang di kategorikan oleh MyIPO (Intelectual Property Corporation of Malaysia):
Reka bentuk industri
Reka bentuk perindustrian adalah aspek hiasan atau estetik sesuatu artikel. Reka bentuk boleh terdiri daripada tiga dimensi ciri seperti bentuk dan konfigurasi artikel, atau ciri dua dimensi, seperti corak dan hiasan. Ciri-ciri reka bentuk mesti diterapkan pada sesuatu artikel oleh mana-mana proses perindustrian di mana artikel yang tersiap itu menarik perhatian.
TANDA DAGANG
Tanda perdagangan adalah tanda yang membezakan barangan dan perkhidmatan daripada seorang peniaga. Ia merangkumi perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau gabungan.
Paten
Paten adalah hak eksklusif yang diberikan untuk ciptaan, iaitu produk atau proses yang secara umumnya menyediakan kaedah yang baru untuk melakukan sesuatu, atau menawarkan penyelesaian teknikal baru kepada sesuatu permasalahan.
PETUNJUK GEOGRAFI (GI)
GI adalah tanda yang digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan memiliki sifat atau reputasi yang disebabkan oleh asal itu.
Hakcipta
Perlindungan yang diberikan kepada pengarang, pemilik hak cipta dan pelaku karya dan persembahan hak cipta sebagaimana ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
REKA BENTUK SUSUN ATUR LITAR BERSEPADU
Reka bentuk susun atur litar bersepadu adalah pelupusan tiga dimensi elemen litar bersepadu dan beberapa atau semua saling litar bersepadu atau pelupusan tiga dimensi yang disediakan untuk litar bersepadu yang ditujukan untuk pembuatan.
Harta intelek adalah menjadi hak pencipta. Adalah lebih baik jika tuan punya mendaftarkan harta intelek mereka agar tidak digunakan pihak ketiga untuk mendapat keuntungan atau disalahgunakan untuk mengelirukan orang awam.
Di Malaysia pendaftaran harta intelek ini dipermudahkan dengan adanya MyIPO. Adalah menjadi tujuan utama MyIPO untuk mewujudkan satu badan berkanun bagi menguruskan permohonan pendaftaran seterusnya menyelia beberapa akta perlindungan bagi semua komponen harta intelek.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.