Solar, GTFS dan peralihan tenaga - Utusan Malaysia

Solar, GTFS dan peralihan tenaga

NETR
Industri solar adalah elemen utama yang menyumbang dalam peralihan tenaga negara yang memerlukan lebih banyak insentif dalam Belanjawan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSIDANGAN Perubahan Iklim COP26 di Glasgow, Scotland pada 2021 telah mencapai persetujuan membabitkan 197 negara untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan arang batu.

Keputusan yang turut diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga sedia memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan di dunia melakukan transformasi tenaga demi mengutamakan kesihatan dan ekuiti dalam pergerakan iklim antarabangsa dan agenda pembangunan mampan’.

Sasarannya ialah setiap negara perlu ada satu sistem tenaga yang ‘sihat’ untuk melindungi iklim dan juga kesihatan sejagat.

Semua ini adalah rentetan daripada Perjanjian Iklim Paris yang ditandatangani pada 2015 bagi menangani perubahan iklim dengan wakil 196 negara bersetuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Dari sini, negara-negara terbabit menetapkan matlamat untuk mengehadkan peningkatan suhu purata global di bawah 2°C dan seterusnya kepada 1.5°C. Untuk mencapai sasaran ini salah satu caranya adalah untuk mengatasi pemanasan global dengan mengurangi pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera.

Seperti yang dikehendaki dalam Perjanjian Paris – pelepasan karbon perlu dikurangkan sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar menjelang 2050.

Untuk itu, negara-negara di seluruh dunia termasuk Malaysia kini dalam ‘perlumbaan’ untuk mencapai pengurangan jejak karbon sebanyak 45 peratus dahulu menjelang 2030.

Sebab itu kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi meletakkan asas kepada Malaysia dalam menagani trilemma tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Sudah tentu elemen utama dalam peralihan tenaga dan jika mahu mencapai sasaran sifar karbon 2050 atau net zero carbon ialah dengan menggunakan tenaga boleh baharu (RE) dan di Malaysia sumber utama yang ada ialah solar.

Solar adalah teknologi mesra alam menghasil bekalan tenaga yang hebat dan salah satu sumber tenaga boleh baharu dan hijau yang paling penting.

Ia memainkan peranan penting dalam mencapai penyelesaian tenaga pembangunan mampan. Sama ada melalui ladang solar berskala besar (LSS) atau panel solar fotovoltaik untuk kegunaan domestik, kedua-dua sangat penting bagi meningkatkan sumber elektrik dari RE di negara kita dan seterus memastikan terus berdaya saing untuk masa akan datang.

Berdasarkan Perjanjian Paris, negara yang tidak mampu mencapai sasaran Net Zero ini, mereka akan hilang kelebihan dalam perdagangan global. Barang kita mungkin akan disekat dan akan kehilangan rakan niaga penting di Eropah terutamanya.’

Disebabkan pentingnya RE dalam memastikan Malaysia berada di landasan betul dalam mencapai sasaran sifar karbon 2050, pelbagai agensi ditubuhkan dan polisi dirangka untuk memudahkan pihak industri dan pengguna mengadaptasi penggunaan RE ini.

Tetapi dalam keghairahan agensi-agensi terbabit merangka polisi dan garis panduan mungkin ada yang terlepas pandang akan kedudukan solar sebagai penyumbang utama dalam peralihan tenaga hingga ia tidak dimasukkan sebagai salah satu elemen dalam dasar berkenaan.

Antara yang paling ketara ialah sektor tenaga solar terpinggir dalam Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) yang merupakan skim penting dalam membangunkan industri tenaga boleh baharu (RE) dan merealisasikan pelan peralihan tenaga negara.

Saya sendiri telah membangkitkan perkara ini ketika menjadi panel diskusi bertajuk Pertumbuhan PMKS Tonggak Pertumbuhan Ekonomi Negara sempena Simposium Sasana 2024 anjuran Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

GTFS diwujudkan sebagai usaha Kerajaan menyokong pembangunan teknologi hijau untuk tempoh sehingga 31 Disember 2025. Ia menyokong enam sektor utama termasuk tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air.

Ia adalah instrumen kredit yang memberikan jaminan kerajaan 60 peratus hingga 80 peratus ke atas kos komponen hijau yang dibiayai oleh Institusi Kewangan Sertaan (PFI) serta rebat 1.5 peratus setahun ke atas kadar faedah/keuntungan.

Tetapi yang hairannya, sektor solar yang merupakan antara komponen utama dalam merealisasikan peralihan kepada tenaga hijau di negara ini tidak dimasukkan ke dalam skim itu.

Tidak pasti di mana silapnya. Sama ada terlepas pandang atau sengaja tidak dimasukkan tiada siapa boleh pastikan. Tetapi yang pastikan pelaburan dalam menyediakan infrastruktur solar memerlukan pelaburan yang tinggi dan jika ia turut mendapat manfaat daripada GTFS ini, sudah tentu ia akan mempercepatkan lagi proses peralihan tenaga kita dan perlumbaan untuk mencapai net zero carbon.

Ketika negara mahu mencapai sasaran karbon sifar melalui peralihan tenaga, sektor RE terutama yang berasaskan solar perlu diperkasakan termasuk membantu memudahkan pembiayaan kepada pemain industri dalam sektor ini.

Apabila kita bercakap tentang teknologi hijau, penggunaan RE adalah komponen utamanya, dan solar adalah elemen utama dalam menjana RE di negara ini. Jadi, ia sepatutnya turut dimasukkan dalam skim GTFS ini.

GTSF adalah instrument jaminan kredit oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) yang menyediakan jaminan sebanyak 60 peratus jumlah pinjaman dan diskaun dua peratus terhadap faedah yang dikenakan oleh bank kepada pelabur teknologi.

Instrumen ini memberi keselesaan kepada pihak bank menyediakan pinjaman bernilai besar kepada perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin menceburkan diri dalam industri peralihan tenaga.

Tetapi industri solar yang merupakan sektor terpenting dalam menjayakan cita-cita kerajaan dalam peralihan tenaga, mengurangkan jejak karbon termasuk mengekspotrt RE terpinggir dari skim ini.

Tambahan lagi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) begitu serius untuk membuka peluang kepada PMKS bumiputera menyertai sektor tenaga ini. Sehingga sanggup menyediakan kuota khusus bagi kategori P1 (1MW – 10MW) dan kategori P2 ( 10MW -30MW) di dalam proses pembidaan kuota LSS5 yang akan ditutup pada 25 Julai ini. Bagi pemain industri kami tidak tahu di mana logiknya industri solar tidak dimasukkan ke dalam skim ini.

Tetapi kami percaya, demi mencapai cita-cita peralihan tenaga negara, para pembuat polisi negara akan meneliti perkara ini, kerana solar mampu menjadi sumber pendapatan baharu negara pada masa akan datang.

Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., syarikat yang terlibat dalam industri solar dan tenaga boleh baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN