Iltizam menjayakan pendidikan dan modal insan bumiputera - Utusan Malaysia

Iltizam menjayakan pendidikan dan modal insan bumiputera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya Februari lalu. – mingguan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kongres Ekonomi Bumiputera telah melabuhkan tirainya pada Februari lalu. Acara bersejarah ini berlangsung selama tiga hari di PICC Putrajaya bagi membahaskan puluhan resolusi yang dibentangkan oleh 10 kluster utama dalam usaha memajukan ekonomi Bumiputera.

Satu perkara yang jelas adalah semua kumpulan kluster bersetuju ekonomi bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kumpulan etnik.

Selaras dengan itu, usaha menggagaskan pemerkayaan ekonomi bumiputera perlu diteruskan oleh kerajaan perpaduan bagi memastikan kesenjangan ekonomi antara kaum di negara ini dapat dikecilkan pada masa hadapan. Malah sejak 1970, pendapatan isi rumah kasar penengah Bumiputera kekal lebih rendah berbanding etnik Cina dan India dan jurang pendapatan juga semakin melebar.

Pada 2022, pendapatan isi rumah kasar penengah Bumiputera adalah RM 5,793, Cina (RM 8,167) dan India sebanyak RM 6,627.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, 21.33 (70.1 peratus) juta rakyat negara ini merupakan bumiputera dan 14.64 juta daripadanya menetap di kawasan bandar manakala 6.02 juta bumiputera tinggal di kawasan luar bandar.

Perbandingan antara negeri pula menunjukkan kependudukan bumiputera yang tinggi adalah tertumpu di negeri yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang rendah, tahap pendapatan yang rendah dan kadar kemiskinan yang tinggi.

Enam negeri yang mempunyai kependudukan bumiputera yang tinggi (80 peratus ke atas) adalah Terengganu (97.6 peratus), Kelantan (96.6 peratus), Perlis (89 peratus, Sabah (88.9 peratus), Pahang (81.5 peratus), dan Kedah (80.55 peratus).

Bagi mengukuhkan ekonomi bumiputera, reformasi pendidikan dan modal insan bumiputera perlu dijayakan. Pendidikan adalah teras utama untuk memastikan kumpulan bumiputera akan menjayakan mobiliti sosialnya.

Kejayaan agenda pendidikan bumiputera sejak lebih 50 tahun lalu mengembangkan kumpulan menengah bumiputera yang berjaya jelas terserlah melalui penubuhan MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan penubuhan universiti awam.

Pendidikan adalah asas kemajuan ekonomi bumiputera. Itulah semangat yang disepakati apabila terzahir dengan kuatnya teriakan kata ‘setuju’ oleh delegasi di dewan utama PICC ketika sesi pembentangan resolusi Kluster Pendidikan dan Modal Insan Bumiputera oleh Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Kluster berkenaan mengemukakan lapan rumusan utama yang mendasari resolusi bagi mengukuhkan kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan bumiputera.

Pertama, golongan bumiputera mestilah memperbetulkan sikap sambil lewa dan meningkatkan rasa tanggungjawab untuk memajukan diri dan keluarga dalam bidang pendidikan.

Antara strategi adalah mendukung hala tuju ini, pertama, memastikan semua bentuk bantuan dan insentif pendidikan daripada kerajaan dan kedua, mempertingkatkan kualiti penyampaian dan kandungan pendidikan Islam yang mengetengahkan keutamaan dan kepentingan pendidikan dan semangat untuk berjaya dalam kehidupan.

Strategi ketiga, mewujudkan platform ‘BumiBerjaya’ yang dikendalikan oleh pihak swasta bertujuan menghimpun dan mempromosi individu. Resolusi kedua, memperkukuhkan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan meningkatkan kepentingan dan capaian Bumiputera untuk memperoleh pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan memperkasakan kualiti dan sistem pendidikan awal kanak-kanak.

Resolusi ketiga, mengiktiraf peranan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam membangunkan pendidikan dan modal insan bumiputera dengan menggalakkan penglibatan industri, komuniti, dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai jaringan dan rakan utama dalam membangunkan Kualiti Pendidikan dan Modal Insan Bumiputera.

Penglibatan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan adalah penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan bumiputera.

Kerajaan seharusnya mempertingkatkan tatacara penyampaian perkhidmatan awam berteraskan governing by network, memperkasa keupayaan, kesediaan dan daya inovasi masyarakat dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan. Penglibatan pihak industri, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan.

Pertama, memberi peranan utama kepada swasta, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan yang diiktiraf sebagai pengendali aktiviti kokurikulum.

Kedua, menggalakkan kerjasama jaringan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO)-sekolah yang berjangka panjang (bukan secara adhoc) bermatlamatkan keberhasilan khususnya dalam kalangan sekolah harian dan komuniti terpinggir dengan membuka ruang keterlibatan yang lebih luas dan pemberian geran khusus berteraskan local problems-local solutions yang menggalakkan eksperimen dan inovasi pendidikan.

Ketiga, meruntuhkan pemisahan sekolah-komuniti dengan penglibatan dan ‘pemilikan bersama’ sekolah-komuniti dengan penubuhan Lembaga Pengelola Sekolah yang terlibat secara langsung dalam perancangan, pembangunan dan keputusan-keputusan utama berkaitan mengoperasikan sekolah.

Resolusi keempat, mengukuhkan Sistem Pendidikan Islam dengan Mempertingkatkan Kualiti Sistem Pendidikan Islam di Dalam Ekosistem Pendidikan Negara.

Dalam kongres tersebut juga , Kluster Pendidikan dan Modal Insan Bumiputera membahaskan lapan resolusi. Empat daripadanya seperti yang dibincangkan itu memerlukan komitmen kerajaan bagi membina dasar yang sesuai untuk melaksanakannya. Sebagai kumpulan terbesar dalam negara ini, kejayaan ekonomi bumiputera akan meningkatkan pembangunan dan produktiviti negara pada masa depan.

Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN