‘Dekati belia, jangan cakap-cakap kosong sahaja’ - Utusan Malaysia

‘Dekati belia, jangan cakap-cakap kosong sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
MENDASARI hati golongan muda khususnya dalam pembinaan negara bangsa mungkin belum menemui jalan yang terang. Sejauh mana sebenarnya tahap literasi politik anak muda Malaysia? Mereka dikatakan sebagai pelapis pemimpin masa hadapan.

Anak muda juga sering dikatakan sebagai penentu kemenangan parti politik dalam siri pilihan raya negara. Bagaimanapun, dalam keadaan dinamik politik negara masih tidak menentu, apakah golongan ini benar-benar bersedia melibatkan diri dalam proses demokrasi, isu-isu nasional dan kenegaraan? Apakah kesedaran mereka terhadap pembinaan negara dan bangsa memerlukan pendekatan yang agresif atau sebaliknya?

Apakah inisiatif kerajaan untuk golongan ini sudah memadai atau masih banyak yang perlu dilabur untuk pembentukan karakter sebagai bakal pemimpin?

Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu pemimpin belia yang juga Duta Perpaduan Johor, LIM SAN SHIEN, berkongsi pandangannya baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana anda melihat golongan muda dan belia Malaysia hari ini?
SAN SHIEN: Sebenarnya, tiada peranti yang khusus untuk mengukur sikap golongan seperti kami, tetapi, saya percaya, kami tulang belakang dan tunggak negara.

Kami juga memainkan peranan dalam kapasiti masing-masing untuk menyumbang idea, tenaga dan bakti kepada negara. Sudah pasti, anak muda juga akan melalui proses peralihan yang mana kami akan menempuh cabaran dunia dan untuk mendepani situasi itu, kami mesti proaktif dan mengetengahkan hujahan yang mantap bagi mencorak pembangunan negara.

Apa wawasan anda?
Saya mempunyai niat murni untuk merealisasi wawasan saya dalam menjadikan negara menjadi lebih baik. Paling utama adalah pendidikan anak muda, golongan ini perlu memiliki kesedaran, ditarbiah dengan ilmu pengetahuan dan pendedahan tentang bidang yang luas, sekali gus menterjemah ilmu kepada iltizam yang luar biasa untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan.

Sama seperti orang lain, saya juga ingin meraikan kepelbagaian, mengerat perpaduan dan meningkatkan persefahaman. Untuk membina negara bangsa yang lebih baik, kita perlukan kepakaran dan sumbangan idea serta kudrat semua untuk melaksanakan polisi yang benar-benar berkesan atau dasar yang mesra rakyat.

Saya mendambakan agihan kemakmuran dan pendapatan ekonomi negara yang lebih tersusun. Untuk bidang politik dan sosial, saya mahukan kestabilan dan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dijunjung.

Segala isu dalam politik dan negara ditangani dengan adanya perbincangan secara ilmiah dan pembawaan idea yang matang, manakala politik perlu bersandarkan kepada politik khidmat, berjasa dan berkhidmat untuk rakyat.

TAHAP LITERASI POLITIK
Bagaimana dengan tahap literasi politik, undang-undang, perlembagaan dan isu-isu nasional dalam kalangan golongan muda/belia/mahasiswa atau penglibatan mereka dalam mendepani cabaran?

Ini yang menjadi kebimbangan saya selama ini khususnya terhadap politik negara dan undang-undang. Saya tidak rasa golongan muda peduli sepenuhnya tentang apa yang berlaku dalam negara dan struktur masyarakat. Politik, undang-undang dan isu nasional adalah satu ekosistem yang akan membentuk masyarakat menjadi seperti apa. Ia ibarat satu rantaian yang jika salah satunya terjejas, maka memberi kesan terhadap rantaian yang lain.

Sebab itu, tahap literasi politik golongan muda, pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan isu-isu nasional masih perlu diperkasa. Masih ada ruang yang perlu ditambah baik kerana saya percaya, ada sebilangan besar anak muda yang masih menganggap perkara ini rumit, yang menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada realiti.

Caranya bagaimana? Kita perlukan pendekatan yang lebih santai dan mesra dengan tahap pemahaman golongan belia dan mahasiswa. Program literasi perlembagaan mesti dijadikan sebagai kursus teras dalam sukatan pendidikan dan kupasan isu semasa di sudut pidato institusi pendidikan.

Apakah literasi politik anak muda terpisah kerana jurang perbezaan antara kaum dan agama?
Walaupun hakikatnya masyarakat kita hidup dalam kepelbagaian ras dan bangsa, namun, persoalan ini bagi saya terlalu radikal. Saya tidak nampak kecenderungan bagaimana literasi politik anak muda seperti kami ini dipisahkan hanya disebabkan wujud perbezaan antara kaum dan agama.

Saya percaya, golongan belia ramai yang sudah berpendidikan terutama di peringkat universiti, sudah pasti mereka boleh menganalisis sesuatu isu dengan baik dan rasional.

Lagipun, zaman sekarang menyaksikan ledakan maklumat dan penguasaan teknologi, maka, sesiapa sahaja boleh memperoleh ilmu dan maklumat dengan mudah. Kita harus akui, ada parti politik yang berbilang kaum dan campuran ideologi yang dapat bekerja bersama-sama.

Apakah inisiatif kerajaan yang disediakan sebelum ini untuk golongan muda dan adakah ia memberi impak besar kepada mereka?
Sudah banyak inisiatif yang disediakan kerajaan antaranya Felo Perdana, Parlimen Belia, sesi libat urus seperti Kembara Jumpa Orang Muda (JOM), Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia di beberapa negeri seperti Dewan Muda Johor, Dewan Belia Perak, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor.

Pindaan akta perlembagaan yang memperkasa peranan belia untuk mengundi dan bertanding di peringkat DUN dan Parlimen juga sudah dilaksana.

Kesemua inisiatif ini adalah baik kerana ia menjadi saluran kepada kami untuk menerokai bakat dan meningkatkan lagi kebolehan untuk menyerlah dalam aspek kepimpinan, pengucapan awam, kesukarelawanan, penulisan, penyelidikan, dasar dan polisi negara.

Saya percaya, belia penentu generasi masa kini dan pemimpin masa hadapan. Bakat dan kepimpinan kami hanya perlu digilap bakat supaya menjadi nadi penggerak negara maju. Pun begitu, ia harus bermula dalam diri belia sendiri, negara sudah ada banyak persatuan, program, agensi untuk memberdayakan belia, maka, belia perlu lebih ke hadapan dan menaburkan khidmat diri.

Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kepimpinan belia perlu bermula daripada sekolah lagi, amalkan demokrasi dan libatkan pelajar dalam merangka dasar, memberi pandangan supaya dasar negara jadi inklusif, melatih golongan tersebut berfikir secara analitikal dan paling penting, mampu menterjemah ilmu dan kepakaran dan diaplikasi dalam kehidupan untuk membina negara.

Tetapi, harus dipastikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dipilih dengan proses telus, belia dapat memainkan peranan untuk merangka dasar, Parlimen mahasiswa dan belia dianjurkan untuk membincangkan isu belia dan negara.

Sudah tentu ada pelbagai isu yang diberi perhatian dan mereka harus cuba jadi peneraju masyarakat untuk menangani isu dan masalah rakyat dengan alternatif kreatif serta cakna dengan kehidupan rakyat.

Setiap belia perlu ada fokus dan sesuatu isu yang ingin diketengahkan contohnya kepemimpinan berlandaskan khidmat cemerlang dan polisi yang komprehensif, ada yang ingin perjuangkan hak rakyat mendapat pendidikan percuma, usahakan bagi mencapai perpaduan kaum dalam era teknologi, cadangan untuk menangani isu alam sekitar dan membina ekosistem yang mampan.

UMUR BELIA
Had umur 30 tahun bagi golongan belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Had umur belia sekarang ialah 40 tahun. Bersediakah golongan ini untuk membuktikan kemampuan mereka menyumbang dalam pembangunan negara bangsa?
Sedia atau tidak, ia mesti bermula seawal mungkin. Peringkat sekolah menengah dan universiti adalah masa yang terbaik untuk mengasas bakat kepimpinan belia. Kita mahu memastikan suara belia diangkat ke peringkat tertinggi seperti Parlimen, DUN dan media massa.

Golongan belia menyumbang banyak buah fikiran untuk melengkapkan polisi atau dasar supaya lebih inklusif. Saya galakkan golongan muda menyertai persatuan mahasiswa, organisasi belia atau menubuhkan kelab dan persatuan yang mendekati isu nasional untuk melestarikan kepimpinan dari bangku sekolah ke masyarakat.

UCAPAN KEBENCIAN
Sebagai duta perpaduan, bagaimana anda boleh bersama-sama membantu menangani/mengekang isu ucapan kebencian (khususnya melibatkan raja, agama dan kaum) dalam kalangan rakyat Malaysia? Seberapa seriuskah isu kebencian ini?
Ucapan kebencian ini ibarat barah dalam kalangan masyarakat. Jika tidak ditangani daripada awal, ia akan menjadi penyakit yang sukar dirawat.

Isu ini boleh diselesaikan dengan pendekatan perpaduan, integrasi rakyat dan pentingnya untuk memahami sejarah, peranan institusi diraja, doktrin pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman, bidang kuasa Persekutuan dan negeri dan mendalami topik agama.

Sebagai duta perpaduan, saya berperanan berkongsi ilmu sebagai panel dan penceramah dalam program perpaduan supaya ilmu sejarah dan pengetahuan am serta isu semasa disampaikan kepada rakyat dan belia dalam cara yang menarik dan efektif.

Saya buat program dengan Kawasan Rukun Tetangga, masyarakat berbilang kaum dan komuniti belia dan siswa untuk meningkatkan pemahaman dan berikan pendedahan tentang cara dan kepentingan perpaduan kaum,

Sejarah negara, pengetahuan am kerana detik perpaduan dan keharmonian terhasil apabila berlaku interaksi antara rakyat berbilang kaum dan agama.

PRK KUALA KUBU BAHARU
Apa pandangan anda berkenaan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu?
PRK DUN Kuala Kubu Baharu merupakan satu lagi pilihan raya yang akan menjadi medan pertarungan idea, manifesto dan juga kebolehan menunaikan janji. Ada parti yang berani menawarkan pemimpin generasi keempat yang muda, ada parti tawarkan individu profesional.

Bagi saya, siapa yang dapat menawan hati belia ialah siapa yang ada latar belakang akademik baik, berpengalaman, mampu menyelesaikan isu tempatan, perlu kemukakan isu lokaliti kepada DUN.

Pengundi muda dijangka menyumbang sebanyak 8.05 peratus atau 3,238 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu, Mei ini, sekali gus menjadi sasaran penentuan kemenangan calon. Anda percaya bahawa golongan ini boleh memberi perubahan yang besar (dari segi trend undian) di Kuala Kubu Baharu?
Adat pilihan raya ada yang menang ada yang nasib tidak menyebelahi. Saya yakin, faktor penentu terbesar PRK kali ini adalah peratus keluar undi, pengundi khasnya golongan belia yang menyumbang 8.05 peratus. Ini kerana, DUN itu adalah kawasan campuran menyaksikan ada yang terikat dengan nilai kesetiaan parti, ada yang mahukan nakhoda sama, ada yang mahukan nafas baharu.

Pengundi belia boleh dikatakan sebagai gelombang besar yang perlu diberi perhatian sebab kita sangat praktikal dan realistik. Pengundi belia perhati dan mengkaji praktikaliti, kesahan dan kebolehpercayaan manifesto, kredibiliti dan latar belakang calon, kelayakan akademik, khidmat bakti calon sebelum ini, trek rekod dan prestasi calon tersebut dan parti.

Anda percaya dengan manifesto-manifesto ahli politik tentang pemerkasaan belia?
Susah mahu jawab. Mereka yang menyentuh soal pemerkasaan belia ini diharap bukan sekadar laungan dengan niat untuk menang pilihan raya sahaja.

Sebab, setiap kali pilihan raya, saya perhati hampir semua parti akan menawarkan manifesto berkaitan pemerkasaan belia atau seumpamanya. Jadi, saya mahu ketekadan, keazaman yang kuat bagi semua parti untuk mendekati belia seperti kami, bukan cakap-cakap kosong sahaja.

PLKN 3.0
Mungkin boleh berkongsi pandangan berkenaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dilaksanakan semula oleh kerajaan. Apakah anda menyokong dasar ini atau ada alternatif yang lebih baik?
Ini lagi satu hal, bukan saya tidak bersetuju dengan pelaksanaannya, cuma, kerajaan perlu meluaskan skop sasaran peserta kerana program ini hanya meliputi warganegara yang lahir lepas 2007 sebagai peserta.

Mungkin perlu pastikan yang kesemua belia perlu melalui fasa ini dengan mendaftarkan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti awam dan swasta sebagai peserta. Kerajaan perlu menawarkan skim pendaftaran sukarela menyaksikan rakyat yang berminat boleh daftar sebagai peserta.

Cadangan saya, modul kali ini harus lebih lengkap iaitu ada kursus tentang jati diri belia, program kepimpinan, nilai murni adab dalam kehidupan, pendidikan undang-undang, subjek perlembagaan, sejarah negara, pemantapan bertutur dan menulis dalam bahasa kebangsaan dan juga aktiviti sains dan teknologi agar peserta PLKN 3.0 hebat dalam pelbagai bidang.

Anda setuju bahawa PLKN digunakan sebagai indoktrinasi politik yang menyebabkan PLKN jauh tersasar dari matlamat sebenarnya?
Anda mengingatkan saya akan seorang ahli politik yang bertanggungjawab memansuhkan PLKN beberapa tahun lalu. Perkataan indoktrinasi itu juga keluar daripada mulutnya. Tetapi, saya optimis, PLKN adalah satu program yang berimpak positif kerana mampu memantapkan jati diri, membina identiti nasional, menerapkan patriotisme dan menyemarakkan perpaduan.

Bukan itu sahaja, PLKN juga membolehkan peserta pelbagai bangsa mengenali dan bergaul mesra antara satu sama lain, membentuk nilai-nilai murni, meningkatkan ilmu pertahanan negara dan melengkapkan diri dengan pengetahuan serta kesedaran membina negara bersama dalam masyarakat.majmuk.

PILIHAN RAYA KHAS BELIA

Apakah anda menyokong pelaksanaannya ketika ada beberapa pihak yang membantah kerana ia membazir wang, tenaga dan beban tugas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Sudah tentu saya setuju untuk pilihan raya belia ini dilaksanakan. Ia berguna untuk mendidik anak muda, sekali gus membolehkan mereka merasai sendiri kehangatan dan pengalaman ‘pesta demokrasi’ negara yang sebenar dari peringkat merangka manifesto, berbahas mengenai polisi dan dasar sehingga bergelar wakil belia.

Satu lagi kunci utama pilihan raya khas belia ini mesti meletakkan syarat bertanding antaranya perlu ada kelayakan akademik, aktif berkhidmat supaya wakil belia terpilih akan menjadi refleksi kepada kehendak dan suara keramat belia.

Umum mengetahui, negara sudah ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), maka, pilihan raya khas untuk belia ini juga wajar diadakan dengan syarat, perlu menggariskan skop dan ditunjukkan secara nyata dalam akta baharu seperti Akta Pilihan Raya Belia mengenai bidang kuasa, fungsi, tempoh persidangan, garis masa perjawatan dan lain-lain. – Mingguan Malaysia

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya