Tahun baharu kaum India

Tahun baharu kaum India

ndia sebuah wilayah yang amat luas dan memiliki perbezaan geogafi, budaya, bahasa, sejarah serta adat yang unik dan tersendiri. – gambar/ RAMANAN RAMAKRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJUNG minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan ucapan Vaisakhi kepada masyarakat Sikh dan Tahun Baharu Tamil kepada komuniti Tamil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menambah ucapan Vishu bagi komuniti Malayali menerusi paparan di media sosial Facebook. Sebagai individu minoriti keturunan Malayali, saya terasa lega sedikit kerana masih ada pihak mengingati kami.

Sebenarnya, kita di Malaysia memang secara umum masih kurang mengenali kepelbagaian keturunan dalam kalangan kaum India. Huraian tentang masyarakat Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan sebagainya pernah saya tulis di ruangan ini sejak dahulu.

Malah, huraian terperinci berserta statistik pula dimuatkan dalam buku seperti Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016), Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024) dalam usaha membantu orang ramai menambah ilmu.

Dalam realiti, hampir 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil dan bertutur bahasa Tamil. Orang keturunan Malayali, Punjabi dan Telugu pula masing-masing sekitar tiga peratus. Komuniti Bengali, Gujarati dan minoriti lain jauh lebih sedikit serta kurang diketahui umum.

Setiap kali rakan-rakan mengirim ucapan Chithirai Puthandu (Tahun Baharu Tamil), saya sebagai individu keturunan Malayali membalas dengan ucapan Vishu Ashamsakal (Selamat Menyambut Vishu). Sekurang-kurangnya boleh mengingatkan rakan-rakan bahawa bukan semua orang India berketurunan Tamil.

Benua kecil India sebuah wilayah yang amat luas dan memiliki perbezaan geogafi, budaya, bahasa, sejarah serta adat yang unik dan tersendiri. Misalnya, kita di sini sering terkeliru antara orang Punjabi di bahagian utara dengan orang Bengali di bahagian timur.

Masing-masing komuniti itu memiliki perayaan dan sambutan tahun baharu yang berbeza pula. Misalnya, penduduk Tulunad menyambut Bisu Parba, Maharashtra (Gudi Padwa), Gujarat (Nutan Varsh) manakala di Rajasthan, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh, Chhattisgarh dan Jharkhand digelar Chaitra Navaratri.

Kepelbagaian ini tidaklah menghairankan kerana di negara India terdapat 28 buah negeri dan lapan wilayah persekutuan, ratusan bahasa ibunda, ribuan subetnik serta pelbagai agama dan mazhab. Untuk perbandingan, saiz negara India sepuluh kali saiz negara kita.

Sambutan tahun baharu di Manipur digelar Sajibu Cheiraoba, Meghalaya (Chad Sukra), Assam (Rongali Bihu), Arunachal Pradesh (Sangken), Mithila (Jur Sital), Sikkim (Lhosar), Odisha (Bishuba Sankranti), Himachal Pradesh (Basoa) dan Uttarakhand (Bikhoti).

Kebanyakan nama negeri yang dinyatakan di atas tentu amat asing bagi kita di Malaysia. Hal ini kerana walaupun Tamil Nadu hanya sebuah negara yang relatif kecil berbanding keseluruhan saiz negara India, nenek-moyang majoriti kaum India di negara kita sekarang berasal dari sana.

Sambutan tahun baharu orang Tamil digelar Chithirai Puthandu. Tahun baharu yang digelar Ugadi pula disambut penduduk Andra Pradesh, Telangana dan Karnataka. Orang Bengali meraikan Pohela Boishak manakala penduduk Punjab dan Haryana menyambut Vaisakhi.

Hari Vaisakhi di negara India menandakan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh. Walau bagaimanapun, di Malaysia, sambutan itu berciri agama (Sikh) dan bukan mengikut keturunan (Punjabi).

Memanglah orang Punjabi menyambut tahun baharu yang dinamakan Vaisakhi sejak ribuan tahun dahulu. Tetapi berlaku perubahan kepada tujuan sambutan Vaisakhi oleh orang Punjabi beragama Sikh mulai 1699.

Tarikh 30 Mac 1699 amat penting kerana pada majlis sambutan Vaisakhi, guru (ketua agama) kesepuluh bagi penganut Sikh iaitu Guru Gobind memperkenalkan Khalsa Panth. Sejak itulah juga lelaki Sikh diletakkan “Singh” (singa) dan wanita diletakkan “Kaur” (puteri) pada hujung nama.

Bagi orang keturunan Telugu, sambutan tahun baharu Ugadi berasal daripada kata “yugadi” iaitu gabungan “yuga” (tempoh masa) dan “adi” (permulaan).

Di negara India, Ugadi atau Yugadi turut disambut orang keturunan Tulu, Kodava dan Kannada di negeri Andra Pradesh, Telangana, Karnataka dan Goa.

Di Malaysia pula, Ugadi diraikan masyarakat Telugu beragama Hindu dalam skala kecil-kecilan kerana tidak diiktiraf sebagai hari cuti umum. Misalnya, sambutan tahun ini pada 9 April lalu, manakala Chithirai Puthandu (Tamil), Vishu (Malayali), Vaisakhi (Sikh) dan Pohela Boishak (Bengali) pada 14 April.

Komuniti Telugu di Malaysia mudah dikenal pasti menerusi penggunaan Naidu, Reddy, Rao dan Patil pada hujung nama, manakala di India pula terdapat Akkineni, Babu, Chowdary, Naayak, Yadav, Akula, Dasari dan pelbagai lagi.

Orang keturunan Malayali lazim memiliki nama keluarga (surname) Nair, Menon, Pillai, Nambotri, Panicker, Kurup, Nambiar, Koya dan Mappila. Antara nama keluarga orang Bengali ialah Banerjee, Basu, Bose, Biswas, Dutta, Ghosh, Mukherjee, Roy, Sen, Sengupta dan Tagore.

Sambutan Chithirai Puthandu memang meriah dalam kalangan orang keturunan Tamil di Tamil Nadu (India), Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Kanada, Mauritius dan di mana sahaja terdapat diaspora Tamil.

Komuniti Chetti di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka amat unik kerana kaum peranakan ini lahir hasil kahwin campur antara lelaki pedagang Tamil dari India dengan wanita Melayu tempatan seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Orang Chetti Melaka tetap berpegang pada agama Hindu dan identiti keturunan Tamil. Maka, sambutan Chithirai Puthandu di kampung warisan itu memang meriah pada setiap tahun.

Rencana ini bertujuan membuka mata dan fikiran orang ramai yang mungkin selama ini beranggapan semua orang India di Malaysia ialah orang Tamil.

Selain mengakui hakikat orang Tamil adalah kumpulan majoriti hampir 85 peratus kaum India di Malaysia, tentulah tidak adil jika kita meminggirkan komuniti lain yang memiliki serta mempertahankan identiti dan jati diri masing-masing. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN