Rakyat Kelantan reda rai Syawal gangguan bekalan air

Rakyat Kelantan reda rai Syawal dengan gangguan bekalan air

GANGGUAN bekalan air bukan perkara baharu buat rakyat Kelantan malah sudah menjadi duri dalam daging apabila masalah tersebut terus berulang-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GANGGUAN bekalan air setiap kali musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha bukanlah cerita baharu di Kelantan malah sudah berlarutan lebih suku abad atau 25 tahun.

Mana tidaknya, ada sahaja episod baharu yang perlu diharungi oleh rakyat negeri ini setiap kali masalah tersebut berulang.

Kepulangan anak-anak Kelantan diperantauan untuk menyambut Aidilfitri pada Rabu ini di kampung halaman masing-masing bakal menyaksikan penggunaan air akan meningkat berkali ganda berbanding hari-hari biasa.

Hal ini kerana, setiap tahun lebih 100,000 anak-anak Kelantan yang membanting tulang mencari rezeki dirantau orang akan kembali ke negeri serambi Mekah untuk menyambut lebaran.

REDA

Raya dengan gangguan air seolah-olah sudah dianggap sebagai ‘takdir’ oleh sebahagian rakyat di negeri ini apabila mereka reda dengan masalah tersebut walaupun bekalan air bersih merupakan satu keperluan utama dalam meneruskan kehidupan.

Sikap reda yang begitu menebal dalam kalangan rakyat Kelantan itu dapat dilihat apabila tawaran ’emas’ dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) untuk menyelesaikan masalah bekalan tersebut gagal menggugat ‘keteguhan’ terhadap kerajaan negeri.

Hasilnya, Pas bersama rakan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih kemenangan besar dengan menguasai 43 daripada 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN15.

Situasi itu memberikan tamparan hebat buat UMNO dan PH apabila tawaran ’emas’ mereka itu ditolak mentah-mentah oleh rakyat Kelantan.

Melihat kepada perkara tersebut, BN dan PH perlu berfikir luar kotak jika mahu memikat hati rakyat Kelantan dan seterusnya menambah kerusi di DUN sekali gus memainkan peranan semak dan imbang dengan baik.

Bagi perantau mereka tidak perlu sakit kepala untuk memikirkan perkara tersebut kerana hanya pulang sekali-sekala ke negeri ini.

Isu ini bukanlah besar bagi mereka, kebanyakan rumah-rumah di kampung atau di bandar  mempunyai telaga tiub yang digali untuk mendapatkan bekalan.

Jadi, berdepan masalah air pada musim perayaan mungkin bukan masalah buat mereka, sebaliknya dilihat sebagai ‘suasana’ setiap kali pulang ke kampung.

Nikmat bekalan air dirantau orang mungkin ‘parasetamol’ terbaik mengubat sakit kepala semasa pulang ke kampung.

 

SELESAI 2027

Masalah bekalan air yang menghantui rakyat negeri ini lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada tahun 2027 apabila semua loji-loji air yang dalam kerja-kerja naik taraf dan bina baharu akan siap sepenuhnya.

Jaminan itu diberikan oleh Pengerusi Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin yang turut menjejaskan pada 2028 nanti, Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air.

Justeru, kerajaan negeri memohon supaya rakyat terus bersabar apabila dalam tiga tahun lagi masalah itu akan selesai sepenuhnya.

Pengumuman itu pastinya memberikan kelegaan kepada rakyat Kelantan yang sudah lama menantikan detik-detik tersebut.

REALITI ATAU FANTASI

Disebalik keyakinan kerajaan negeri terselit sedikit rasa gusar dalam kalangan rakyat Kelantan yang sudah lama bersabar dengan masalah ini.

Realiti atau fantasi mungkin itu yang sedang bergelar-legar di benak pemikiran rakyat sama ada kerajaan negeri merealisasikan perkara tersebut.

Hal ini kerana, ia melibatkan peruntukan yang besar dalam menyelesaikan masalah tersebut. Difahamkan ketika ini kerajaan negeri sedang merancang untuk melaksanakan kerja-kerja menukar paip lama yang sudah uzur sejauh 5,000 kilometer (km) secara beransur-ansur.

Daripada jumlah itu sebanyak 1,000km paip perlu ditukar dengan kadar segera. Bagaimanapun, dalam tempoh setahun, kerajaan negeri hanya berupaya melakukan kerja-kerja menukar paip pada jarak 150km sahaja.

Jika lebih ramai kontraktor dapat dilantik, kerja menukar paip dari 100 km dapat ditingkatkan kepada 250km setahun.

Kata Dr. Izani kerajaan negeri akan menggemukan kertas kerja kepada Perdana Menteri supaya mempercepatkan mengenai penukaran paip-paip ini.

 

TUNAI JANJI

Sebagai pemastautin tetap di negeri ini, besar harapan segala yang diungkapkan itu tidak bersifat janji-janji manis semata-mata kerana air merupakan keperluan asas utama termasuklah bersuci.

Dalam Islam, menepati janji dianggap sangat penting dan merupakan salah satu ciri kemuliaan akhlak. 

“Barangsiapa menepati janjinya kepada seorang muslim, maka Allah akan memberikan kepadanya kemampuan untuk melaksanakan segala macam kebaikan.” (HR. An-Nasa’i).

Kor guana?-UTUSAN

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia, Kelantan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN