Padi, ikan, disiplin…cabaran mengurus manusia

Padi, ikan, disiplin…cabaran mengurus manusia

HASIL padi di Sekinchan, Selangor adalah tertinggi dalam negara dengan setiap hektar mampu menghasilkan 12 tan padi berbanding negeri lain sekitar empat tan. Majoriti pesawah Cina di Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI kerajaan hari ini bukan mudah. Yang dipilih menganggotai Jemaah Menteri lagi risaunya.

Tuah, rezeki dan terpaksa memikul tanggungjawab berat, hanya diri sendiri yang menempuhnya faham, maklum.

Itu satu hal. Satu hal lain adalah masalah manusia yang dihadapi. Manusia yang tidak serius laksana tanggungjawab. Kalau satu tan metrik padi setiap hektar sawah sepatutnya boleh dicapai, kenapa tidak berjaya? Kenapa di Sekinchan boleh naik hasil padinya? Setiap hektar mampu hasilkan 12 tan padi berbanding empat tan di negeri lain.

Adakah disebabkan pengusahanya Cina? Dia buat dengan betul. Pengurusan Melayu kita ini pula buat sesuka hati. Akibatnya pesawah kita lambat dapat hasil? Inilah masalah kita.

Di negara ini ada kelompok masyarakatnya. Ada nelayan, petani, pesawah. Kalangan majoritinya Melayu. Untuk kelompok ini, semuanya kerajaan beri perhatian. Pesawah dengan subsidinya, petani dengan insentifnya.

Untuk nelayan, kerajaan beri keistimewaan selain peruntukan RM300 setiap bulan. Nelayan ini siapa? Disebut “nelayan Melayu”. Tapi berapa kerat sahaja nelayan Melayu yang aktiviti pulangannya lumayan.

Jika dalam industri tangkapan ikan laut dalam, yang terlibat 2,200 kapal. Namun hanya 20 buah kapal laut diusahakan nelayan Melayu. Mana pergi yang Melayunya? Anak nelayan, keturunan nelayan, tapi tidak ada aset yang baik untuk tangkap ikan di laut dalam!

Melayu ada segalanya – agensi kerajaannya, jabatan perikanannya yang beri peruntukan membeli bot, kapal baharu, baiki jeti pendaratan dan banyak lagi. Tapi sekali lagi, Melayu masih tak dapat apa. Mana pegawainya yang serius membela nasib nelayan Melayu? Sekejap ada, sekejap tiada. Banyaknya – tiada.

Tanah air sendiri, lautnya sendiri, makanan ikan itu makan sendiri, tetapi tiada keupayaan dalam industri perikanan yang lumayan hasilnya.

Bila disebut padi sahaja, walaupun Sekinchan tampak hebat sawahnya, majoriti lebih 230,000 pesawah di negara ini adalah Melayu. Apa dan ke mana perjuangan hak orang Melayu sebenarnya?

KRITIKAL

Sebelum timbul isu beras putih tempatan, kemelut awal dihadapi pesawah lebih kritikal. Ini disebabkan kos tinggi untuk menanam padi sampai menjadi padi dan beras. Harga padi yang dijual tidak cukup untuk tampung kos penanaman. Sebab itu kerajaan beri subsidi import baja, racun dan mesin. Malah kerajaan beri subsidi harga padi, setiap kali pesawah menjual padi, dia peroleh RM500 untuk satu tan.

Untuk industri padi sahaja, macam-macam bentuk subsidi diberikan oleh kerajaan demi survival pesawah. Apa yang berlaku dalam tempoh hampir setahun ini terutamanya masih lenyap 14 juta tan kampit beras putih tempatan amat mengecewakan rakyat.

Itu belum lagi kita bercakap pasal kilang-kilang padi kecil milik Melayu. Dulunya ada kira-kira 200, tetapi hari ini dikatakan tinggal 11 sahaja. Adakah ini semua disebabkan dasar dari kementerian terbabit tidak harmoni, lesen tiada kawalan atau monopoli padi? Kilang-kilang Melayu tak mampu, lantas disapu bersih monopolinya oleh kartel-kartel.

Kalau isu ini tidak dikendali dengan bijak, pihak lain akan ambil kesempatan. Kerajaan berisiko dilemahkan oleh kerenah orang (agensi) sendiri. Lama kelamaan nanti akhirnya ada hilang tanah – yang pemiliknya orang lain.

Oleh sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua menteri meluangkan lebih banyak masa untuk melihat sendiri situasi kos sara hidup dihadapi rakyat. Turun padang dan tinjau sendiri isu harga dan kuantiti barangan di pasaran. Jenguk dan pantau peranan kecekapan agensi-agensi kerajaan yang berurusan dengan rakyat.

Yang kita khuatir sebilangan menteri kurang fokus kepada kehidupan rakyat. Ada menteri yang penuh dengan data dan unjuran, tetapi impaknya tiada. Telur dan padi pun tak boleh atasi, jadi kita nak buat apa? Takkan nak makan angin dengan ucapan sahaja.

BUKU HIJAU

Sekarang, ikan kita pun diambil oleh nelayan Vietnam. Tumbuhan sayur-mayur kita diurus oleh korporat besar. Orang Melayu tak buat. Tak nampak pun tanam kacang dan jagung.

Patut Rancangan Buku Hijau dihidupkan balik. Tun Abdul Razak berjaya hidupkan semangat tanam sayur-mayur dan makanan. Waima, dalam pasu masa itu. Untuk mengajar orang Malaysia conserve ataupun preserve, dirizabkan hak-hak makanan kita, supaya menyayangi bumi balik.

Sudah elok itu, tetapi sayang selepas beliau, dasar itu mati. Ini bukan sahaja Tun Razak, kebanyakan dasar semua perdana menteri kita mati bila perdana menteri itu sudah tiada ataupun tidak lagi berkuasa. Contoh lain, dasar Bersih Cekap Amanah. Lepas Tun Musa Hitam, tahun 1981, habis. Wawasan 2020, sampai penghujung era Datuk Seri Najib Razak sahaja. Jadi, tiada yang kekal. Sepatutnya Rukun Negara itu dijadikan piagam undang-undang pertama selain daripada perlembagaan. Tidak pula menjadi. Rukun Negara itu pemikiran Tun Razak dengan Ghazali Shafie. Jadi terumbang-ambinglah falsafah negara.

Kalau Buku Hijau kekal, Rukun Negara kekal agresif pemahamannya, kita akan bersaing dengan Indonesia dengan Pancasilanya. Di bawah perlembagaan republik itu, dia ada mukadimahnya. Kita saja yang tak buat, sedangkan Rukun Negara cukup bagus dan Bumi Hijau mesti dihidupkan balik.

Sekarang, orang Melayu tanam kacang pun tidak mahu. Sayur ditanam oleh Tionghoa. Ayam, ikan dan telur bukan orang Melayu jalankan. Di mana erti merdeka? Pengisiannya tidak ada. Di situ kita sudah cuai sebab Melayu terlampau taasub dengan politik harian. Hari-hari cerita politik, bangun saja pagi, politik, TikTok politik, Facebook politik. Tidak nampak kita serius tentang survival komuniti kita.

Ternyata menjadi kepala kerajaan, apa lagi menteri tidak mudah hari ini.

Dulu-dulu kita ada karektor menteri seperti Rafidah Aziz yang menulis ucapannya sendiri. Kalau media dapat pun teks ucapannya, sukar dibaca tulisan ‘cakar ayamnya’. Tun Dr. Mahathir Mohamad pula sentiasa membawa buku kecil diselitkan di poket dan pen untuk dicatat masalah rakyat atau sesuatu yang baharu baginya. Contohi juga sikap Presiden Abraham Lincoln, katanya: Memandangkan ketidakupayaan orang lain memahami gaya dan pemikiran saya, maka saya menulis dan mengolah ucapan saya sendiri.

Ada pemimpin yang boleh naik rostrum huraikan secara spontan melalui ucapan off the cuff sahaja. Macam Anwar Ibrahim, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Khairy Jamaluddin. Gifted.

Ada pula yang sering kali berlagak sinis, buat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuat orang tergelak.

Mesej menyebabkan orang ketawa ini mudah diterima sebilangan orang. Cuma jangan berbicara sampai ‘gajah pun boleh terbang’. Kelihatannya dia boleh ‘belemoih’ dan ‘begelomiang’ dengan rakyat.

Tetapi realitinya banyak isu rakyat di sekeliling terlepas pandang, tidak mampu diselesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN