Isu stoking kalimah Allah: Ahli politik ibarat tikus baiki labu

Isu stoking kalimah Allah: Ahli politik ibarat tikus baiki labu

UMAT Islam kali ini benar-benar serius dan tiada lagi tolak ansur dalam mempertahankan kesucian agama yang dianuti. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GESAAN etnik Cina agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) cepat mengadakan mesyuarat tergempar berikutan tindakan ganas terhadap sasaran tertentu, ekoran isu stoking yang tertera kalimah Allah, bukan sahaja menunjukkan mereka sudah mulai berasa cemas. Juga semoga ia keinsafan tulen, yakni menyedari keadaan yang sebenarnya tentang betapa tersinggungnya etnik Melayu dan umat Islam terhadap perkara yang terjadi.

Sehubungan isu ini, sewajarnya permohonan maaf oleh pihak yang didakwa bersalah didapati dilakukan dengan penuh keikhlasan, boleh diterima dengan juga menuruti tuntutan tertentu.

Namun oleh sebab perkara menyinggung perasaan etnik Melayu dan umat Islam selalu berlaku dengan sangat acap dalam soal agama, ia yang pada setiap kali diselesaikan dengan hanya permohonan maaf oleh etnik bukan Melayu dan bukan Islam, nampaknya tidak dapat diakhiri sebegitu lagi pada kejadian ini. Ini kerana perkara sama sebegini sudah banyak kali dilakukan sebelum ini pada pelbagai masa berlainan, selain diulang-ulangi sehingga etnik Melayu dan umat Islam sudah kehilangan kesabaran pada kali ini.

Di samping itu, perkara ini bertambah buruk pada kali ini dan juga sebelumnya apabila kepimpinan bukan Melayu cuba campur tangan, khususnya Cina dan lebih-lebih lagi sebilangan ahli politik Cina tertentu, yang tidak dapat dinafikan mahu menangguk di air keruh untuk keuntungan politik bagi diri masing-masing dan juga parti politik mereka. Ia dilakukan dengan mereka ini menidakkan permohonan maaf terdahulu yang dilakukan pihak yang didakwa bersalah itu.

Ini dapat dilihat apabila mereka ini cuba mengugut etnik Melayu dan umat Islam yang lantang membantah, dengan memberi amaran untuk tidak membesar-besarkannya.

Selain ini, ahli politik Cina ini juga menganggap isu berkenaan sebagai perkara kecil sahaja yang akan timbul banyak kali lagi selepas ini. Ini pasti didasarkan kekerapan sebelum ini yang dapat akhirnya diselesaikan secara mudah sahaja dengan hanya permohonan maaf. Inilah umumnya mentaliti pemimpin Cina dan juga etnik mereka dalam kes stoking yang tertera kalimah Allah pada kali ini dan sebenarnya juga tentang yang lain-lain sebelum ini.

Namun semua ini disalah baca pada kali ini dan juga sebelum-sebelum ini. Ini kerana pasti lambat laun akan sampai masanya juga etnik Melayu dan umat Islam tidak boleh bertolak ansur lagi. Ini kerana setelah beransur-ansur ditolak sehingga mereka terpaksa bertindak balas. Inilah yang sebenarnya terjadi pada kali ini, walaupun ditegaskan etnik Cina bahawa ia dihasut kuat pada kes ini oleh pihak tertentu daripada kalangan tertentu dalam etnik Melayu dan umat Islam.

Sekali lagi ditekankan di sini ialah ia berlaku pada kali ini setelah diburukkan keadaannya oleh ahli politik yang menyanggah permohonan maaf yang ikhlas daripada pihak yang didakwa bersalah itu.

KATA HUBUNG
Dalam hal ini, pelbagai kenyataan mereka ini bersifat penggunaan konsep kata penghubung ‘tetapi’, iaitu apa-apa yang dikatakan mereka bertentangan, kekadang amat bercanggah dengan lafaz dan tingkah laku sebelumnya oleh pihak yang didakwa bersalah itu.

Sepatutnya ahli politik terbabit itu menggunakan konsep kata penghubung ‘dan’, yakni yang peranannya adalah untuk menghubungkan unsur sama bagi mengungkapkan rasa kesal. Dengan ini, kenyataan mereka akan menguatkan lagi segala yang diperkatakan oleh pihak yang didakwa bersalah itu dan juga yang diperlihat dalam kekesalan itu.

Bukan sahaja konsep kata penghubung ‘tetapi’ digunakan, juga dua kata penghubung ‘tetapi juga’ digunakan serentak. Ini sudah tentu akan mengeruhkan lagi keadaan yang sudah jelik itu. Ini kerana selain mengandungi dua maklumat pada sesuatu yang dinyatakan itu, maklumat pertama yang sudah bertentangan itu akan ditentang sekali lagi oleh maklumat kedua.

Tidak dapat disangkal lagi segala yang dinyatakan oleh ahli politik itu ibarat tikus membaiki labu, iaitu percubaan untuk memperbaiki tetapi sebenarnya betul-betul merosakkan lagi. Hal ini berlaku kerana kerakusan sesetengah ahli politik atau juga kerana mereka betul-betul bebal sehingga tidak mampu langsung membuat pertimbangan yang walaupun hanya sederhana bijak sifatnya.

Berbalik kepada tindakan ganas yang telah berlaku, ia sebenarnya masih memperlihat kesabaran yang kuat kerana etnik Melayu dan umat Islam tidak sesekali terburu-buru dalam isu ini. Ini kerana hanya sasaran khas cuba diambil tindakan sendiri. Hal ini, yakni kewarasan yang tinggi masih ada walaupun dalam keadaan amarah, terus dipegang untuk tidak sesekali mengalih sasaran kepada apa-apa jua yang berkenaan dengan pihak yang dimarahi itu, seperti yang sering berlaku di beberapa tempat lain, termasuklah di rantau kita sendiri.

Dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku, sama ada yang mencetuskannya atau berupa penyelesaian yang sama sekali salah, etnik bukan Melayu dan bukan Islam harus mendapat mesejnya. Ia tidak lain tidak bukan bahawa etnik Melayu dan umat Islam amat serius pada kali ini dengan perkara yang selalu berlaku.

Dalam hal ini, satu pengajaran penting ialah etnik Melayu dan umat Islam adalah kelompok etnoagama. Dengan ini, agama yang mereka anuti adalah perkara paling terpenting sekali dalam kehidupan mereka.

Etnik bukan Melayu dan bukan Islam yang sebaliknya bukan kelompok etnoagama, harus mengambil iktibar daripada isu kali ini untuk memastikan perkara yang boleh menghina Islam dalam apa-apa jua bentuk wajib dihindari pada bila-bila masa. Ini bukan sahaja penting untuk keharmonian sosial semata-mata, jauh lebih penting lagi adalah untuk kita bersama-sama menjayakan syiar Islam, seperti yang dipersetujui semua pihak dalam Perjanjian Etnik 1955 menjelang kemerdekaan sebagai kontrak sosial yang selalu diperkata itu.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN