Kemeriahan Ramadan kini berada di fasa terakhir iaitu sepuluh malam terakhir yang terdapat di dalamnya satu malam yang istimewa, iaitu malam al-Qadar. Bagi umat Islam yang tinggi pengharapan dan mendambakan keampunan dari Tuhannya, pastinya sepuluh malam terakhir ini akan dimanfaatkan sebaiknya dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran, solat malam, zikir dan munajat kepada Allah SWT.
Penumpuan kepada aspek kerohanian melalui amalan-amalan ini sememangnya sangat digalakkan, bahkan Rasulullah SAW sendiri melipatgandakan amalan di 10 malam yang terakhir Ramadan.
Daripada Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, kemudian baginda bersabda : “Carilah malam al-Qadar di dalam 10 malam yang terakhir” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim),
Disamping penumpuan kepada malam al-Qadar, terdapat satu lagi ibadah khusus dalam bulan Ramadan yang wajib difokuskan iaitu zakat fitrah. Terdapat sebahagian daripada umat Islam yang melengah-lengahkan pembayarannya sehingga ke saat akhir dan tidak kurang juga yang terlupa menunaikannya kerana tumpuan kepada amalan yang selainnya. Zakat fitrah sebenarnya elemen penting yang akan melengkapkan ibadah puasa Ramadan dan seterusnya menjamin kesejahteraan ummah dalam bersama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri.
Sekiranya dilihat daripada aspek maqasid pelaksanaan zakat fitrah, ia sebenarnya suatu mekanisme yang disediakan oleh Allah SWT untuk memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam terbela di bulan yang mulia ini. Zakat fitrah adalah suatu jaminan sosial daripada umat Islam untuk membantu asnaf yang memerlukan, agar kemeriahan ibadah di bulan Ramadan dirasai sama rata dan seiringan bersama seluruh umat Islam. Kerana itulah waktu sunat membayar zakat fitrah ialah seawal bermulanya bulan Ramadan sehingga sebelum solat Hari Raya Aidilfitri, dan makruh melewatkannya sehingga selesai solat.
Melalui tempoh masa pelaksanaan zakat fitrah, ia dengan jelas menunjukkan bahawa para asnaf sepatutnya menikmat zakat fitrah seawal bermulanya Ramadan dan layak menerimanya sehingga pagi Aidilfitri sebelum solat hari raya. Ini jelas menunjukkan bahawa sokongan dan bantuan kepada para asnaf ini dijamin oleh Allah SWT sehingga pagi hari raya agar kemeriahan Aidilfitri juga dapat dirasai seperti umat Islam yang lain, tanpa ada sesiapapun yang terpinggir dalam meraikannya.
Amat malang sekiranya masih terdapat umat Islam yang berlapar di pagi Aidilfitri kerana kemiskinan yang mencengkam, lantaran kelalaian saudara seislam yang lainnya untuk mengeluarkan zakat fitrah, ataupun melewatkannya sehingga menyebabkan kelewatan juga kepada para asnaf menerimanya.
Secara umumnya, zakat merupakan satu amalan yang dapat menyucikan diri dan harta yang dimiliki. Ia merupakan salah satu kefarduan dalam Rukun Islam yang lima yang wajib bagi umat Islam melaksanakannya. Allah SWT berfirman : “Dan tunaikanlah solat dan laksanakanlah zakat, serta taatilah Rasul, nescaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Nur: 56).
Dari segi bahasa pula, zakat bermaksud bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Apabila seseorang mengeluarkan zakat, dia sebenarnya telah membersihkan harta yang dimiliki. Firman Allah swt: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), agar dengan demikian akan membersihkan (harta) dan mensucikan (hati) mereka serta doakanlah mereka, kerana doamu itu akan membawa ketenangan untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Taubah: 103).
Menariknya, proses penyucian harta ini bukannya sehala, bahkan bersifat dua hala iaitu komitmen mengeluarkan harta bagi yang cukup syaratnya dan penerima zakat pula terdiri daripada golongan yang tersenarai dalam lapan asnaf seperti yang termaktub di dalam al-Quran. Pemberi zakat akan mendapat manfaat pahala dan penyucian harta manakala penerima zakat menikmati jaminan bantuan selagimana masih dalam kategori asnaf.
Proses timbal balik antara pemberi zakat dan penerima zakat ini berterusan sehingga sampai ke suatu tahap di mana kehidupan penerima zakat menjadi semakin baik, dan seterusnya berubah statusnya menjadi pemberi zakat. Inilah antara matlamat utama kepada pelaksanaan zakat sehingga di akhir nanti, tiada lagi golongan asnaf yang layak menerima zakat, sepertimana yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz.
Lebih signifikan, pensyariatan zakat berlaku pada tahun kedua Hijrah seiring dengan pensyariatan ibadah puasa. Ini menunjukan bahawa wujud perkaitan yang khusus antara puasa dan juga zakat. Perintah berzakat disebut di dalam al-Quran sebanyak 35 kali, manakala hadis Nabi saw menegaskan kefarduan zakat sebagai salah satu daripada lima rukun Islam. Sabda Nabi saw: “lslam itu terbina atas lima perkara: Bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan dan menunaikan puasa pada bulan Ramadan” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).
INOVASI
Mutakhir ini, terdapat inovasi dalam penentuan kadar zakat fitrah agar selari dengan kemampuan membayar zakat, di samping sebagai usaha meningkatkan jumlah kutipan bagi memaksimumkan manfaat kepada para asnaf. Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor (LZS) merupakan antara institusi zakat terawal yang mengumumkan kadar zakat fitrah dibahagikan kepada tiga kadar, iaitu mengikut kualiti dan harga beras yang dimakan oleh sesebuah keluarga.
Ia bukanlah suatu kewajipan tetapi satu bentuk galakan untuk lebih menyumbang kepada para asnaf mengikut kemampuan masing-masing. Nilai zakat fitrah diletakkan pada kadar RM7, RM14 dan RM21 satu individu mengikut jenis beras dan kemampuan yang dimiliki. Bagi golongan berkemampuan, mereka sudah pasti mampu membeli beras yang lebih mahal, maka selayaknya mereka membayar mengikut kadar zakat yang lebih tinggi sesuai dengan kemampuan yang ada. Melalui pembahagian kadar baharu ini, ia merupakan inovasi terbaik dalam memaksimumkan jumlah kutipan zakat fitrah dan seterusnya menjamin kesejahteraan ummah dalam bersama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri yang bakal menjelma.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF). Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.