Hendak belanja makan pun susah - Utusan Malaysia

Hendak belanja makan pun susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERONOK kalau kita ada rakan sekerja yang sangat pemurah. Dia suka belanja makan dan dia akan bawa macam-macam makanan untuk rakan-rakan. Dapatlah merasa pisang goreng panas, roti bakar dan ada kalanya buah-buahan potong.

Rakan sebegini memang jenis yang tidak berkira, malah, ada kala tidak berkira juga dalam pekerjaan. Ringan tulang. Memiliki rakan sekerja sebegini amat memudahkan. Semangat setiakawannya yang tinggi dan bersahabat tanpa syarat.

Namun, jangan tidak percaya bahawa wujud juga rakan yang tidak suka dibelanja oleh rakan sendiri.
Pelik bukan? Alasannya nanti mengganggu diet hariannya. Dalam erti kata lain, takut kegemukan atau sememangnya bergantung kepada diet pemakanan yang tegas.

Minggu ini saya ingin berkongsi kisah dari Mirror.Co.Uk mengenai seorang lelaki dari London, United Kingdom yang tidak suka diberi makan oleh rakan sepejabatnya.

Dia yang mempunyai keperluan pemakanan yang kompleks menjadi kecewa apabila rakan sekerjanya terus mencuba memberinya makanan yang tidak boleh dimakan, tetapi dia bimbang rakan wanita itu memandang perkara itu secara peribadi.

Berkongsi makanan ringan dengan rakan sekerja boleh menjadi sebahagian daripada keseronokan, tetapi jika anda mempunyai keperluan diet khusus, anda mungkin perlu melepaskan hidangan lazat yang dibawa oleh rakan berkenaan.

Lelaki itu menjelaskan bahawa dia bersaiz kecil, terlalu kurus, mempunyai berat tidak sihat dan berusaha mengekalkan pemakanan tiada daging, tenusu, gluten atau kacang.

Dia menegaskan, dia berbangga dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, hasil nasihat doktor, tetapi rakan sekerjanya terus mencuba untuk memberinya makanan yang dia tidak boleh makan.

Lelaki itu pergi ke laman Reddit untuk menjelaskan bahawa rakan sekerjanya, Peg, 30, kembali dari cuti bersalin baru-baru ini dan kerap membawa makanan ke pejabat.

Peg membuat dan membawa kek cawan ke pejabat dan dia terpaksa menolak dengan baik kerana mengalami alahan gluten.

Bagaimanapun, Peg kecewa. Peg mengeluh dan berkata dia akan letak kek-kek cawan ini dalam bilik rehat.

Keesokan harinya, Peg membawa sandwic daging dengan roti bebas gluten pula.
Tetapi lelaki itu sudah membawa makan tengah harinya sendiri dan perlu memberi tumpuan kepada makanannya itu.

Peg memberitahu bahawa sandwic itu berada dalam peti ais. Akhirnya, Peg terpaksa memberikannya kepada orang lain.

Dilaporkan, Peg mencuba berkali-kali supaya lelaki itu makan makanan yang dibawanya, namun tetap ditolak.

Sehinggalah, lelaki itu hilang sabar dan mempertimbangkan untuk membuat aduan kepada bahagian sumber manusia di tempat kerjanya.

Sangat rumit kisah ini bukan? Namun ia berlaku secara realiti. Apa pun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik.

Semoga kita memiliki rakan yang memahami dan tidak mudah berkecil hati jika pelawaannya ditolak.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN