Di mana kelibat YB?

Di mana kelibat YB?

Yang Berhormat boleh menggandakan sumbangan dan tidak memperbodohkan rakyat dalam percaturan kuasa dan nama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YB singkatan Yang Berhormat telah lama dikagumi sebagai wakil rakyat dalam memperjuangkan nasib rakyat jelata, sama rata, sama rasa. Tidak kira siapa. Terhormatnya mereka kerana berkhidmat sepenuh jiwa raga menggenggam amanah rakyat kepadanya. Ia terpuji kerana berani hakiki. Berintegriti.

Ada juga panggilan mesra – Yang Berkhidmat asbab beria-ia turun padang dalam membela maruah orang ramai terbiar. Selagi tidak selesai dengan selesa tidak berhenti. Mereka dikalungi ramai memandangkan kejujuran yang jelas terpancar dari budi bahasa menawan jiwa. Yang Berkhidmat sekali gus Yang Berhormat tanpa ragu-ragu lagi. Namun tidak ramai yang terpanggil begitu rupa.

Watak seperti Tan Sri Lee Lam Thye adalah antara yang kekal dalam ingatan ramai kerana khidmat masyarakatnya tiada bandingan. Walaupun pada masa itu menjadi ahli sebuah parti pembangkang mirip kepada satu kaum, ini tidak menjadi hal kerana kepercayaan yang ditunjukkannya terbukti.

Sungguhpun kini sudah keluar daripada aktiviti politik rasmi, namun sifatnya sebagai Yang Berkhidmat dari kaca mata khalayak ramai masih mantap, tidak luntur. Mengalahkan anggota parti lamanya yang terkunci naluri. Beliau kini berkecimpung dalam berbagai badan amal serta sosial dan dihargai termasuk sebagai Tokoh Maulidur Rasul (2019). Jelas merentasi amalan politik identiti kaum yang sempit dan berjaya membawa nilai sejagat sejati.

Ada juga jolokan Yang Berhemah digunakan di atas Yang Berhormat. Ini bersandarkan kepintaran akal yang menonjol mendahului sangkar politik yang lesu lagi mandul. Yang Berhemah bermakna persona lebih waras, matang dan segar dalam mengutarakan hujah dan buah fikir bernas.

Almarhum Prof Syed Hussein Al-Attas (17 Sept 1928 – 23 Jan 2007) adalah satu-satunya diiktiraf Yang Berhemah sebelum menceburi dunia politik secara aktif. Seorang cendekiawan yang kritis menunjukkan keupayaan menganalisa luar biasa untuk masyarakat dan negara. Beliau kesudahannya mengasaskan parti politik majmuk bertapak di utara Semenanjung pada 1968, sebelum satu lagi empat tahun kemudian. Terus bergiat aktif sebagai ahli sarjana-politik.

Terkenal dengan pegangan anti-rasuah, anti-imperialisme, sikap anti- serta pasca-penjajahan terutama sekali memecahkan mitos terhadap anak watan dakyah para penjajah. Penulisannya masih disanjung dunia. Berlainan dengan banyak para ilmiah yang menyeberang masuk dunia politik, beliau tetap amanah ilmu terhadap para pedagang ilmu kerana politik.

Kedua-dua contoh ini membayangkan bagaimana Yang Berhormat boleh menggandakan sumbangan kepada masyarakat yang sentiasa mengharapkan gelombang perubahan agar setiap rakyat juga dapat memupuk taraf hidup yang berperikemanusiaan. Mereka tidak memperbodohkan rakyat dalam percaturan kuasa dan nama. Malah sebaliknya, tidak menjadikan para pengundi sebagai deposit tetap untuk pilihan raya.

Namun tidak ramai yang boleh mencontohi akhlak ini serta kecekalan mereka berdua, tanpa terjebak dengan kepura-puraan sebagaimana yang banyak terkesan kini. Agak malang, oleh itu, kerana ramai Yang Berhormat tidak lagi dihormati rakyat. Bahkan bertukar kepada yang di benci apabila ramai yang sudah lebih cerdik dan celik, tidak mudah digula-gulakan seperti dahulu. Apatah lagi diperbodohkan akan hak mereka sebagai rakyat negara berdaulat.

YANG BERANI?
Apa yang memeranjatkan adalah tatkala medan politik menghidangkan satu lagi kalimat – bodoh – merujuk kepada ahli Parlimen tertentu. Mungkin sebagai Yang Bodoh. Ia agak sepi tetapi tidak menghairankan! Malah ramai yang tersenyum simpul apabila kalimat itu terbit dari kalangan ahli politik sendiri. Rakyat yang sudah lama menunggu kemunculannya bak pucuk dicita ulam mendatang.

Hanya mereka boleh berlapang hati dalam menyatakan persetujuan mereka. Dan tidak dapat dipersalahkan kerana mereka tidak terkait dengan cetusan mutakhir ini. Lagi pun dua peribadi yang terpalit datang dari satu gabungan perpaduan yang lazim dalam demokrasi, berselisih pendapat. Ia bukan satu keganjilan menyatakan pandangan berbeza dari mana-mana ahli gabungan yang telah pun membina kesefahaman serta hubungan intim sesama mereka. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula dalam sebuah parti serbaneka.

Seiring ini satu lagi ungkapan dari ahli politik muda meletakkan satu konteks yang agak tepat, apabila merujuk kepada metafora anjing jinak – terjemahan dari lapdog dalam bahasa Inggeris.
Satu pemerhatian yang tajam walaupun pahit. Namun tidak semestinya mengusutkan perhubungan dalam kerangka masa hadapan Malaysia. Bukan peribadi seperti yang diperjelaskan kemudian akan kerisauannya apabila “rasuah dinormalisasikan oleh elit politik” yang membingungkan.

Berbanding dengan perumpamaan lain seperti ular dalam semak – lebih berbisa, lantas sukar diurus kerana boleh mematuk sesuka sahaja, metafora “anjing jinak” kurang menggusarkan. Mungkin ada baiknya, tidak seperti seekor ular atau naga. Apapun adegan-adegan terbaru ini terbit atas desakan polemik politik dalam kalangan pengamal politik sesama-sendiri yang suka mengadu domba. Ringkasnya seperti yang dikata: “dulu kata lain, kini buat lain.”

“Hari ini kawan, esok lawan, janji kuasa ditawan.” Yakni, pejuang meritokrasi suatu ketika dahulu, kini membisu dan bertolak ansur. Kelak, akan menyaksikan “kematian perpaduan Malaysia, tenggelam dalam lautan kepura-puraan.”

“Tiada prinsip, tiada garis merah, tiada rasa malu,” ujar anak muda.

Kalau ini bukan suatu bentuk kemelut buat masa hadapan, khasnya bagi generasi anak muda, ramai tertanya-tanya apakah kesudahannya? Di sini mesti ada Yang Berani. Benar-benar berani. Berintegriti untuk pertiwi. Tiada masa berpura-pura lagi YB! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya