Boikot? Jangan gopoh

Boikot? Jangan gopoh

FIRDAUS WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Boleh dikatakan isu perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini sering kali diperdebatkan sejak kebelakangan ini. Melalui media sosial, hal-hal berkaitan perpaduan menjadi lebih ‘panas’ dan menjadi isu yang sentiasa ‘hidup’ serta sering diperkatakan.

Adakalanya mencetus provokasi dan menyinggung perasaan pihak tertentu disebabkan tindakan segelintir pihak termasuk orang politik.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah pendakwah bebas, FIRDAUS WONG WAI HUNG. Turut membantu jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI

BINCANG BUKAN DEBAT
MINGGUAN MALAYSIA: Pandangan saudara terhadap perdebatan dalam kalangan tokoh agama secara terbuka terutama di media sosial?
FIRDAUS WONG: Kita boleh katakan ia sebenarnya sebagai diskusi bukannya perdebatan. Sebabnya kalau berdebat, ia biasanya secara bersemuka atau dibuat dalam talian.

Saya juga tidak nampak itu sebagai satu perdebatan dan ia juga sebenarnya menjadi salah satu platform untuk berkongsi pandangan.

Apa yang saya lihat, kalau ada dalam kalangan asatizah yang berbeza pandangan dan mengkritik satu sama lain dalam sesuatu isu, ia ada baik dan buruknya.

Kenapa saya katakan begitu? Ini kerana kita ini orang awam dan apabila kita melihat ada ahli agama yang dikatakan berdebat itu, secara tidak langsung kita akan belajar sesuatu.
Dalam erti kata lain ada yang kita belajar. Kita sebenarnya bukan nak jadi macam lembu yang dicucuk hidung.

Kita mahu belajar dengan cara berfikir secara rasional dan logikal (di sebalik pertukaran pandangan). Malah kita perlu bertanya semula pada diri kita, penilaian itu dibuat berdasarkan apa? Adakah ia disebabkan popular, aliran, ilmu atau sekolah pondok (latar belakang tokoh)?

Walhal, itu semua bukanlah penanda aras kebenaran. Penanda aras kebenaran sebagai contoh apa yang paling dekat (mengikut) panduan al-Quran sebagaimana yang difahami oleh Nabi Muhammad SAW.

Maka kebenaran adalah apa yang paling dekat dan apa yang diamal oleh Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat dan tiga generasi terbaik. Apabila ada diskusi, ia satu perkembangan sihat. Sebab apa saya katakan begitu?

Saya bagi contoh ketika waktu penularan Covid-19, apa yang kita tidak buat sebelum pandemik, kita amalkan. Contoh khutbah raya. Selama ini kita tengok banyak yang tiada (khutbah) pun. Jadi, kita boleh nampak bagaimana dengan adanya perbezaan pendapat, masyarakat jadi semakin cerdik dalam beragama. Sebab agama bukanlah ikut-ikutan atau dalam erti kata lain orang itu popular, maka dia mesti betul.

Itu bukan cara untuk menilai. Malah, kita perlu menilai bukan berdasarkan sentimen kenegerian atau apa sahaja di sebalik niat untuk mencari ilmu. Kita perlu kena rasional dan logik sekali gus menjadikan kita cerdas serta bijak dalam beragama.

Bagaimanapun, perbincangan secara terbuka ini ada keburukannya, sebagai contoh bahasa yang digunakan. Kritik mengkritik tiada masalah sebab ia khazanah ilmu dalam Islam. Sesama ulama pun mereka mengkritik satu sama lain.

Apa yang tidak boleh adalah, contoh kita tidak setuju dalam satu-satu isu. Tapi masalahnya ada yang kecam-mengecam, fitnah atau pembunuhan karakter. Jadi, tiada ruangan perbincangan. Apabila ada perbezaan ilmiah, perlu ada penukaran ilmu secara ilmiah. Kalau ada salah atau perbezaan pandangan perlu ada sebab dan dalilnya.

Benda ini memang saya cakap secara konsisten. Sesama ulama ada perbezaan tetapi perlu jaga adab kerana pada asasnya kita tetap sesama Muslim. Jangan hanya kerana perbezaan, kita mencipta fitnah atau salah tafsir.

Selepas itu ada yang membodohkan orang atau dalam erti kata lain penggunaan bahasa itu. Sebab kita manusia ada perbezaannya daripada pelbagai aspek. Sebenarnya kita boleh lihat bagaimana dia menguruskan emosi (semasa) perdebatan.

TAK LAYAN DEBAT
Pernah saudara dipelawa untuk berdebat terutama dalam isu berkaitan hal-ehwal agama?
Kalau ajak berdebat ramai terutama cabar-mencabar dalam media sosial. Namun, tidak semua yang kita perlu melayan. Kita perlu tengok apakah tujuan perdebatan itu.

Siapa mereka (latar belakang)? Adakah perdebatan itu untuk mencari kebenaran? Kalau orang itu tidak dikenali dan tidak tahu latar belakang, abaikan. Adalah lebih baik (individu) berkenaan dapatkan pengiktirafan kelayakan (daripada pertubuhan agama atau agensi berkaitan). Saya tidak suka berdebat tetapi lebih pada berbincang.

Tidak perlu ada penonton kalau apa yang dikatakan sebagai berbincang. Ia lebih pada objektif dalam mencari kebenaran. Setakat ini ajak saya berdebat secara terbuka ialah Siti Kasim.Tapi kemudian, secara tiba-tiba menarik diri.

ADA YANG HENDAK PUKUL SAYA
Bagaimana dengan ancaman yang paling teruk diterima setakat ini?
Ancaman itu biasa dan ia lumrah. Ada yang hendak pukul saya. Begitu juga dengan ugutan bunuh pun sudah saya terima dua tiga kali. Tapi setakat ini saya ok. Pada saya setakat orang nak hina dan sindir kita, itu perkara biasa.

Pada saya ia juga melambangkan adat dan akhlak kita. Saya pun tidak melayan sebarang fitnah dan kalau ada saya akan hantar surat tuntutan permohonan maaf atau saman fitnah. Pada pandangan saya tidak kenal seseorang atau agama tidak menjadi masalah. Akan tetapi jangan kerana tidak kenal awak nak cuba mencipta fitnah atau agama orang itu.

RAKYAT BERTOLERANSI
Bagaimana saudara melihat tahap perpaduan sejak kekelakangan ini?
Sebenarnya bila yang kita boleh kata kita bersatu padu? Saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menerusi satu wawancara pada 2019. Dia kata sejak merdeka adakah terdapat perpaduan? Lagipun sejak kecil kita belajar di sekolah masing-masing (vernakular).

Kemudian ada orang Malaysia tidak fasih berbahasa Melayu. Jadi, di mana perpaduannya? Saya tidak suka perpaduan yang berbentuk artificial (buatan).

Sebagai contoh, Hari Kemerdekaan kibarkan bendera dan kemudian nyanyi lagu Negaraku lepas itu kita cakap ia perpaduan. Adakah itu perpaduan sebenar dan kita bersatu atas dasar apa?

Sebelum ini ada juga pihak ketiga buat kajian (dalam kalangan rakyat Malaysia) dan direkodkan di radio. Jikalau seorang atlet Malaysia bertanding di Olimpik kejohanan badminton menentang China pengkaji tanya responden nak sokong mana? Ada yang sokong Malaysia dan ada yang sokong China. Bagaimana perkataan itu boleh lahir? Perkara sama berlaku juga dengan orang Melayu dari generasi keempat.

Kadang-kala ada orang politik yang cakap kita perlu bersatu padu tapi apabila Pilihan Raya Umum (PRU), mereka juga yang pecah-belahkannya.

Walaupun orang kata isu agama ini macam memecah belahkan, tetapi di Malaysia kini kita banyak berpecah belah sebab ideologi politik. Tidak kira mana-mana ahli parti pun. Kita banyak berpecah daripada sudut itu.

Jadi, di situ kita sebenarnya ada isu apa yang dimaksudkan dengan toleransi dan hormat menghormati. Cukupkah sekadar pada musim perayaan, kita mesti sama sama meraikan?
Ia sebenarnya bukan. Pada pandangan saya, toleransi bermaksud saya menghormati hak kawan kita yang bukan Muslim untuk sambut upacara dan hari keraian mereka.

Dalam masa sama bertoleransi. Walaupun saya rasa ada benda yang saya tidak setuju, tetapi sebab toleransi, maka ia dibiarkan. Contohnya azan. Walaupun ia menghasilkan suara yang kuat, tapi disebabkan toleransi maka ia dibiarkan.

Begitu juga bagi Islam yang mungkin tidak suka pembaziran dan ada rakan kita yang bukan Islam menyambut perayaan tertentu mencederakan diri atau membuang makanan. Tetapi kita orang Islam tidak perlu komen dan tidak perlu masuk campur atas dasar nama toleransi .

Tetapi masalahnya sebelum ini, ada fatwa kata orang Islam dilarang sambut festival Pongal dan ia ditujukan untuk orang Islam. Masalahnya siapa yang melompat? Yang melompat orang bukan Muslim.

Kalau mereka mahu sambut silakan tapi masalahnya orang bukan Islam pula melatah sedangkan kita tidak halang pun mereka untuk menyambut festival berkenaan. Ini ada yang tuduh kata orang Islam tidak bertoleransi. Sebab itu, saya cakap macam mana hendak ada toleransi kalau perkara asas pun tidak dipatuhi?

Sensitiviti dan toleransi ini melibatkan dua pihak. Ia bukan soal apabila Muslim tak mahu buat Muslim tiada toleransi. Kita hormat hak mereka. Sebagai contoh sekarang pesta Qing Ming dan perlu membakar colok serta kertas sembahyang.

Kalau ikut undang-undang di Malaysia, tidak boleh ada pembakaran terbuka. Siapa yang didapati buat pembakaran terbuka akan dikenakan tindakan. Tapi tiada pun orang Islam buat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk buat tangkapan ketika ada upacara membakar. Itu toleransi dan hormat-menghormatilah.

Justeru, perpaduan ini sesuatu yang sangat subjektif. Saya tidak nampak di situ ada perpaduan. Malah, kita sebenarnya sudah berpecah disebabkan ideologi politik.
Toleransi agama sesuatu yang boleh dipertingkatkan kalau ada kemahuan untuk saling memahami.

Adakah ia disebabkan sistem pendidikan (sekolah vernakular)?

Mereka menafikan tetapi beliau (Kok Seong) dalam wawancara sebelum ini berkata sekolah vernakular antara yang menjadi punca.

Malahan dalam titah pembukaan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim cakap benda yang sama. Ada orang Malaysia lahir di Malaysia tetapi tidak fasih cakap berbahasa kebangsaan.

Jadi, macam mana? Kita hendak perpaduan, mahu keharmonian, tetapi bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Kita tidak boleh kata adanya perpaduan tapi dalam masa sama kita buat tindakan yang tidak menjurus perpaduan. Ia bukan setakat kita bergambar bersama sekali sekala tapi di belakang kita cakap lain (mengeji atau mengecam).

Jadi, bagi saya apa yang ada sekarang ini lebih kepada artificial unity (perpaduan buatan). Perpaduan yang sebenar masih tidak nampak lagi.

ISU KALIMAH ALLAH
Satu demi satu timbul isu lain yang membabitkan kalimah Allah selepas isu stoking. Adakah umat Islam terlalu sensitif?

Antara terlalu sensitif, kurang sensitif atau tiada langsung perasaan sensitif. Kita perlu tanya apakah yang menyebabkan umat Islam berperasaan sedemikian?

Dulu mungkin kita kata kurang sensitif. Tapi apabila saban hari ada yang cuba menangguk di air keruh, isu kecil menjadi besar disebabkan sentimen.

Bagi saya itu reaksi segelintir orang Melayu yang ditekan dan ditolak ke satu sudut. Jadi, itulah reaksi mereka. Dalam isu sekarang ini, ada yang cakap ya dan ada yang kata tidak. Awal-awal lagi saya sebut kalau hendak buat apa-apa dengan ilmu dan bukan dengan ikut-ikutan. Walau apa pun dalam isu ini serahkan balik kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Cumanya, kalau ahli politik yang mengetuai satu-satu isu mesti ada kepentingan. Mengapa ada isu yang mereka lantang tapi ada setengah isu kurang lantang? Sebabnya kalau tidak bawa isu nanti nama tenggelam dan dalam PRU orang tidak undi mereka pula.

DILARANG MASUK SABAH DAN SARAWAK
Ada cubaan memboikot saudara termasuk dihalang memasuki Sabah dan Sarawak. Saudara mengalah?
Pertama, tentang isu hendak boikot saya termasuk larangan memasuki premis. Saya pun secara asas tidak mengenali mereka dan banyak sebarkan fitnah konon saya sabotaj, mendakwa saya meletakkan stoking tersebut.

Sedangkan ia tidak benar. Tidak pernah pula saya kata saya letak (stoking tersebut) dan ini sekali gus menyebabkan kebencian melampau serta timbul fitnah. Kalau benar, kenapa KK Mart minta maaf dan menghubungi saya?

Jadi, kepada orang yang mahu boikot, tidak mahu benarkan saya masuk premis mereka itu hak mereka. Sebagai rakyat Malaysia saya mengiktiraf hak mereka untuk tidak membenarkan perkara tersebut.

Kalau mereka senaraikan premis mana pun saya tidak akan sama sekali untuk masuk. Tetapi jangan lupa, saya ada hak pengguna juga untuk tidak masuk premis mereka. Jangan apabila orang Islam yang boikot, kamu kata orang Islam begini dan begitu.

Tetapi kalau kamu boikot, ok pula. Sekarang ini saya minta mereka untuk senaraikan premis mana yang tidak membenarkan saya masuk dan saya sendiri tidak akan masuk.Tapi sampai hari ini tidak pula disenaraikan premis yang memboikot saya.

Berkenaan dengan cadangan agar tidak membenarkan saya masuk ke Sarawak, itu cadangan mereka dan Sabah serta Sarawak mempunyai hak autonomi. Terpulang kepada kebijaksanaan pemerintah di sana.

Sebabnya, setiap orang boleh membuat tuntutan untuk tidak membenarkan siapa yang boleh masuk. Saya menghormati hak aktivis yang memberi cadangan berkenaan dan itu ia hak dia. Sama ada saya tidak dibenarkan masuk itu tidak mengapa.

Tetapi setakat ini yang saya tahu saya tiada masalah hendak masuk ke Sabah dan Sarawak. Malahan saya dijemput oleh kerajaan Sarawak dalam program tertentu di sana.

JANGAN GOPOH BERTINDAK
Sampai bila isu memboikot ini perlu diteruskan dan adakah ia sesuatu yang sewajarnya?
Berbalik kepada isu pasaraya KK Mart. Saya tidak pernah suruh ia diboikot. Mengapa? Pada saya ia perlu ditangani dengan rasional. Ia tidak boleh tergopoh-gapah. Saya tidak kata sama ada perlu diboikot atau tidak. Saya cuma ambil pendekatan biarlah pihak berkuasa siasat. Sebab kita tidak tahu macam mana.

Malah dalam posting asal saya mengenai stoking itu saya tanya bagaimana stoking yang tertera nama Allah SWT dijual di kedai serbaneka? Saya mohon pihak berkuasa siasat. Yang minta boikot awal-awal ini ialah orang yang gopoh.

Betul kita mahu mempertahankan kalimah Allah SWT. Tetapi kita juga perlu bagi ruang kepada sesiapa yang mahu menjelaskannya. Kemudian terpulang hendak boikot.
Kita boleh boikot sebab perkhidmatan yang teruk atau harga mahal atau boikot tanpa sebab pun. Tapi kalau nak boikot sesuatu pastikan kita boikot dengan ilmu dan bukan dengan sentimen semata-mata.

Tindakan memboikot ini boleh jadi satu alat bagus untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu. Selama ini kerap kali kuasa beli orang Islam di negara ini diperkecilkan. Kononnya ada khabar angin yang mendakwa pihak yang paling banyak bayar cukai ialah orang bukan Islam.

Tetapi apabila isu perang di Gaza, orang Islam mula boikot McDonald’s dan sebagainya sehingga rugi serta ada yang merayu jangan diboikot, barulah sedar kuasa beli kita dan menunjukkan kuasa ekonomi ada pada orang Islam.

Kadang-kadang saya rasa boikot itu perlu ada, barulah ada orang nampak (kesannya). Kalau tidak kita sering diperkecilkan. Tapi sekarang apabila orang Islam cuba hendak memboikot takut pula. Saya nampak memang ada sisi negatif dan positifnya.

Harus diingat apa penting ada ilmu dan jangan gopoh. Jangan ambil sebarang tindakan yang membelakangkan undang-undang serta agama Islam, adab dan akhlaknya.

TIDAK AKAN BERHENTI
Ada rancangan untuk bersara dan memperlahankan tindakan sebelum ini selepas menerima pelbagai kritikan serta tekanan?
Hendak kata bersara tidak pernah sebab bagi saya kalau saya mahu bersara saya buat benda ini tidak ikhlas. Maknanya, mahu pengiktirafan dan pujian manusia. Apabila sudah diboikot tiba-tiba hendak bersara.

Saya buat semua ini kerana Allah SWT. Maka kalau orang suka atau tidak kenapa hendak bersara? Kalau saya bersara orang yang mahu lihat saya berhenti daripada kerja mempertahankan Islam, dia gembira.

Tetapi kalau kita tidak bersara dan tahu ia jalan benar maka teruskan. Perkataan bersara tidak pernah timbul. Makin kuat tentangan, semakin saya bersemangat untuk berdakwah.
Saya umpamakan diri saya macam layang-layang. Makin kuat ditiup angin makin kuat ia terbang. Sebab layang-layang terbang makin tinggi apabila lawan arus.

MAHU POPULAR?
Ada berpandangan segala tindakan saudara yang lantang bersuara hanya untuk populariti. Komen saudara?
Kalau saya mahukan populariti saya boleh buat kerja yang orang suka. Saya bukan jual barang. Kalau mahu populariti ada individu yang buat sesuatu melibatkan emosi, bergambar dan memuat naik video sedih.

Tapi adakah pernah individu tersebut buat kenyataan dalam isu-isu seperti mempertahankan agama Islam? Kalau hendak jadi popular buat benda yang disukai. Itu kerja senang. Baik buat sesuatu yang manusia suka.

Benda yang saya buat saya ditentang, dihina dan difitnah. Jadi, berbaloi atau tidak kalau hendak dapatkan populariti tetapi diri diserang setiap hari? Kalau mahu popular lebih baik beli pengikut di media sosial lagi senang. Buat video dan bergambar.

Saya boleh ambil contoh lain. Kalau awak lihat pendakwah yang ada berjuta pengikut, mereka ceramah lebih kepada apa yang orang suka. Buat lawak dan sebagainya. Cuba dia buat nahi mungkar atau sesuatu yang tidak popular.

Malah Facebook saya yang mencecah 500,000 pengikut pun bukanlah saya yang buat. Ada sukarelawan yang kemudian dia beri pada saya untuk diuruskan. Kalau gila populariti mengapa saya tidak buat sendiri? Tiada makna mencari populariti, walhal setiap hari kena menghadap orang yang menghina dan mengancam kita. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN