Beraya mengikut syariat Islam - Utusan Malaysia

Beraya mengikut syariat Islam

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan menganut pelbagai fahaman agama. Setiap agama itu ada perayaannya. Bagi orang Islam terdapat dua perayaan utama yang disambut setiap tahun, iaitu Eidul Fitri (Aidilfitri) dan Eidul Adha (Aidiladha). Aidilfitri berlaku selepas genap sebulan berpuasa dan Aidiladha pula berlaku bersempena dengan ibadat haji.

Allahu Akbar, segala pujian bagi Allah. Disebut Eid kerana ia berulang pada setiap tahun. Disebut juga sebagai perayaan. Fitrah memberi erti kejayaan kembali kepada fitrah yang asal iaitu kepada permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa.

Dari aspek sejarah, apabila Rasulullah SAW berpindah ke Madinah, Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.

Perayaan tersebut diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang mereka. Mereka menyambutnya dengan tari menari dan nyanyian serta mengambil minuman yang memabukkan.

Rasulullah menyatakan kepada bangsa Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya tersebut dengan dua hari raya yang lebih bermakna kepada orang Islam, iaitu Hari Raya Qurban dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Hari Raya Aidilfitri disyariatkan pada tahun dua hijrah. Pada tahun tersebut Rasulullah SAW menunaikan solat ke dua-dua hari raya iaitu solat Aidfitri dan solat Aidiladha.

Kedua-dua hari raya tersebut adalah merupakan hari perayaan keagamaan. Disambut mengikut syariat Islam dan apabila umat Islam menyambutnya mengikut lunas-lunas Islam, ia menjadi satu ibadat yang diberi ganjaran pahala.

Sebagai satu perayaan keagamaan, maka terdapat adab dan peraturan yang perlu dijadikan panduan. Terdapat tata cara bagi menentukan menentukan hari raya, sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Haji

Kaedah yang ditetapkan adalah sama iaitu dengan melihat anak bulan atau hilal. Di negara kita terdapat pihak berkuasa dalam hal ehwal agama. Ketua agama bagi negeri yang beraja adalah Sultan. Bagi negeri selainnya adalah Yang Dipertuan Agong. Ini ada diperuntulkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Negeri mempunyai kuasa menetapkannya. Pernah berlaku pada satu ketika dua negeri yang berjiran menyambut Hari Raya Puasa pada tarikh berbeza. Bagaimanapun perkara tersebut tidak lagi berlaku.

Dalam Perlembagaan Persekutuan ada satu peruntukan yang menyatakan dalam apa-apa amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan , maka setiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya. Dalam perkara untuk mengisytiharkan Hari Raya ia dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar.

Apabila diisytiharkan bermulalah hari raya
Pada zaman permulaan Islam, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Baginda Rasulullah SAW keluar pada pagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha ke musalla. Baginda menunaikan solat. Setelah selesai

Baginda berundur diri. Baginda bertemu dengan jamaah yang berada disaf masing-masing. Baginda tidak pernah meninggalkan solat hari raya semasa hayat Baginda.

Adab dan peraturan dalam menyambut hari raya mengikut syariat Islam, boleh dijelaskan seperti berikut; Apabila diisytiharkan bahawa keesokannya adalah hari raya, maka pada malam tersebut dihidupkan dengan ibadat seperti beristighfar, bertahmid dan bertakbir.

Menurut sebuah hadis menyatakan bahawa sesiapa yang menghidupkan dua malam raya dengan ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.

Pada pagi hari raya disunatkan mandi dan memakai pakaian yang cantik-cantik serta memakai bauan-bauan. Memakan sedikit makanan sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Aidfitri.
Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a , sessungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada pagi Hari Raya Aidilfitri, melainkan Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji buah tamar dan baginda memakan dalam jumlah ganjil.

Dituntut juga supaya banyak bersedekah sekadar yang mampu. Boleh diberi kepada fakir miskin dan keluarga terdekat. Melahirkan rasa kegembiraan ketika bertemu dengan ahli keluarga dan sahabat serta rakan dan teman.

Ketika inilah peluang untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah. Sangatlah beruntung bagi mereka yang masih mempunyai ibu-bapa di samping mereka. Cium dan dakaplah mereka sepenuh hati. Gembirakanlah mereka dihari yang permai ini.

Jika berjauhan, inilah masa yang paling dituntut menemui mereka. Kasih sayang dan reda mereka membawa kita ke syurga. Kita perlu bersyukur kepada Allah SWT yang melimpahkan segala nikmat dan rahmat-Nya yang kita kecapi selama ini.

Menyambut Aidilfitri ada kaitannya dengan bulan Ramadan. Persiapan menyambut hari raya dilakukan dalam bulan ini atau mungkin lebih awal lagi. Segala-galanya dirancang, pakaian raya, kuih-raya, duit raya, ke mana hendak beraya., masa ziarah pusara orang tua dan mungkin juga menyewa kereta untuk pulang ke kampung.

Dalam hubungan ini, Islam menganjurkan kesedahanaan dalam berbelanja dan tiada pembaziran.
Dalam perayaan menyambut hari raya terdapat dua unsur penting , iaitu unsur keagamaaan dan unsur adat kebiasaan setempat. Tuntutan keagamaan dalam menyambut hari raya telah dihuraikan.

Penulis mempunyai pengalaman menyambut hari raya di luar negara, iaitu di Mesir dan Londan. Bagi masyarakat Arab di Mesir mereka menyambut dengan sederhana. Tidak begitu kelihatan suasana berhari raya kecuali ketika pergi menunaikan solat Aidilfitri.

Masyarakat Melayu di Mesir terdiri daripada dua golongan utama, iaitu pegawai-pegawai yang berkhidmat di Kedutaan Besar Melaysia di Mesir dan pelajar-pelajar Melayu.

Semangat kunjung mengunjungi dan kemeriahan hari raya dapat dirasakan. Pelajar-pelajar yang berkeluarga, menyediakan hidangan yang seadanya . Untuk menikmati hidangan yang memenuhi cita rasa Melayu sepenuhnya boleh dinikmati di rumah duta dan rumah pegawai lain. Sambutan yang lebih kurang sama berlaku juga di London.

Mereka juga menyambut hari raya secara sederhana dengan menyajikan masakan tradisional Melayu Berbanding sambutan hari raya yang berlaku di tanah air . Lazimnya setiap keluarga akan menyiapkan ketupat, lemang , dodol, rendang , burasak , lepat lueh dan pelbagai jenis lagi di samping kuih muih tradisional dan moden.

Rumah terbuka ini tidak terbatas kepada orang Islam sahaja bahkan terbuka kepada penganut agama lain. Ini bersesuaian dengan kemajmukan masyarakat Malaysia.

Penulis ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2023

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN