KITA tabik kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sesekali bercakap, kenyataan dikeluarkannya begitu menepati dan mewakili suara hati rakyat Malaysia.
Apabila Isnin lepas beliau meluahkan tentang badan kehakiman yang sentiasa dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali ada individu-individu berprofil tinggi dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan jenayah atau apa-apa pendakwaan salah laku, kita cukup maklum senarai individu disebutkan ini.
Hal diluahkan Tengku Maimun ini berlaku bila mana kestabilan politik negara kelam kelibut sejak pertukaran bersejarah kerajaan bermula pilihan raya umum (PRU) 9 Mei 2018.
Ada kes melibatkan individu berprofil tinggi tiba-tiba digugurkan oleh Pejabat Peguam Negara kurang empat bulan selepas PRU14 itu tanpa menyatakan sebab musabab kes tersebut digugurkan. Tiada langsung penjelasan diberikan mengapa kes itu tidak diteruskan.
Keadaan tambah mencurigakan apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula keluarkan kenyataan mengatakan urusan membebaskan individu terbabit merupakan keputusan pejabat peguam Negara.
Itu antara salah satu kes yang terjadi, namun awal sebelum itu lagi telah terjadi trend pengguguran kes berlaku satu demi satu sehingga dimomokkan ‘hanya di Malaysia perkara ini dibenarkan berlaku’.
Tidak kurang pula pihak di luar sistem kehakiman menyarankan perkara paling asas yang patut dilakukan oleh kedua-dua pihak yang berkuasa pada waktu itu iaitu individu dan peguam negara bahawa “bila berada pada kedudukan tersebut dan sesuai dengan tuntutan sumpah dan tanggungjawab jawatan mereka, kedua-duanya harus dan wajib meletak jawatan dan meminta maaf kepada rakyat negara ini”.
Bukan setakat badan kehakiman terpalit sama, bahkan Majlis Peguam tika itu turut dipersoalkan ‘ke mana sudah suara Majlis Peguam pada saat satu demi satu pencabulan dan konflik berlaku betul-betul di depan mata anda’. Banyak pihak waktu itu mempersoalkan integriti badan guaman malah bertanya relevan lagikah kewujudan badan itu.
Hal-hal kes digugur mengaitkan ‘kepincangan’ badan kehakiman, diibaratkan oleh Tengku Maimun menjadi ‘karung tinju’ (punching bag) untuk orang awam melepaskan marah sehingga keyakinan masyarakat terhadap institusi itu semakin terhapus. Dan ini diburukkan lagi, bahkan didakwa pula berkait rapat dengan silih berganti tiga perdana menteri yang hanya berkuasa selama 22 bulan, 17 bulan dan 14 bulan. Tidak setakat insiden di awal kerajaan baharu berkuasa enam tahun lalu itu, malah momokan terhadap integriti badan kehakiman tidak pernah terlepas pandang oleh rakyat hingga ke hari ini.
Jadi, apakah mungkin ada usaha bersungguh-sungguh untuk merungkai persoalan imej badan kehakiman seperti mana kenyataan terbaharu dibangkitkan oleh Tengku Maimun itu?
AG atau
Pendakwa Raya?
Adakah barangkali untuk mengelakkan konflik perundangan, elok diasingkan urusan pendakwaan yang didelegasikan kepada satu kumpulan diketuai Ketua Pengarah Pendakwaan? Iaitu kuasa mutlak memutus atau meneruskan kes mahkamah harus dilihat dalam konteks panel. Dan tidak harus berulang lagi kes sudah berjalan tetapi ‘putus separuh jalan’. Kerana semua ini dibimbangi menyumbang kepada failed state atau negara gagal.
Untuk Malaysia berjaya di tahun-tahun mendatang, ubatnya hanya keluhuran undang-undang (rule of law) – penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Jika pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya itu jawapannya, pedulikan kos belanja besar untuk merubahnya.
AG menasihati Kabinet, menteri serta Yang di-Pertuan Agong. Baju yang dipakai oleh AG juga ialah Pendakwa Raya. AG boleh mendakwa sesiapa sahaja, waima Agong jika menyalahi Perkara 182. Dalam krisis perlembagaan tahun 1993/94, atas desakan dan bimbingan perdana menteri waktu itu, susulan perkara diraja tahun itu, pindaan dibuat bahawa pihak diraja boleh didakwa di mahkamah jika menyalahi undang-undang. Pendakwaan atas sokongan Pendakwa Raya yang juga AG.
Dua kuasa ini, AG jugalah Pendakwa Raya perlu dipisahkan sebagai jalan terbaik untuk menjamin rule of law berikutan AG lantikan politik.
Apa pun masalah raja-raja akan pergi ke AG juga. Semua akta dibuat dengan kelulusan AG. Semua jawapan atau triti di antara Malaysia dengan negara-negara luar mesti diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). Apa sahaja melibatkan perundangan dibuat mesti dengan nasihat AGC.
Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan. Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia.
Negara yang ditadbir mengikut lunas undang-undang yang mengimbangi kuasa serta fungsi kehakiman, legislatif dan eksekutif diyakini tergolong dalam negara rule of law atau negara yang tertakluk kepada kedaulatan undang-undang.
Bila undang-undang sudah berada di tahap `lebih kurang’ dari segi penguatkuasaan, sesebuah negara itu boleh dikatakan sudah berada dalam keadaan hubaya-hubaya sekalipun belum dalam keadaan bahaya.
Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang. Jangan kita sampai seperti ke tahap yang dikatakan perbilangan silam: ‘Berundang-undang mahir, bila bicara kalah.’’
Kebebasan kehakiman adalah tuntutan tertinggi.
Sekali lagi, tabik buat Tun Tengku Maimun! – MINGGUAN MALAYSIA