Syukur untuk Malaysia, permulaan malang buat Jepun - Utusan Malaysia

Syukur untuk Malaysia, permulaan malang buat Jepun

GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan beberapa kediaman rosak dan runtuh di Wajima, wilayah Ishikawa akibat gempa bumi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kejutan besar. Permulaan tahun baharu ini nampaknya malang dan tidak memihak kepada negara serantau, Jepun apabila terpaksa berdepan dengan dua kejadian yang tidak disangka.
Pertama, gempa bumi kuat pada skala 7.6 magnitud, 1 Januari lalu di bahagian tengah negara matahari terbit itu iaitu di wilayah Ishikawa, pulau utama Honshu. Amat menyedihkan apabila hampir 100 nyawa dilaporkan terkorban setakat ini.
Kejadian kedua, pertembungan dua pesawat iaitu Japan Airlines dengan pesawat pengawal pantai, sehari selepas kejadian gempa bumi kuat berkenaan.
Lebih 300 penumpang Japan Airlines dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan dievakuasi ke tempat yang lebih selamat manakala lima daripada enam kru pesawat pengawal pantai terkorban.
Mujur dalam kedua-dua kejadian, tiada rakyat Malaysia yang terlibat.
Bercakap mengenai gempa bumi Jepun, satu dunia berdoa dan berharap agar negara itu dapat pulih sepenuhnya dengan pantas selain tidak mengorbankan banyak lagi nyawa.
Bahkan, mengenali Jepun, negara maju serta progresif itu terkenal dengan kecanggihan teknologinya yang membolehkan negara itu pulih dengan cepat dan pantas.
Jepun memperkenalkan rumah atau bangunan sistem asas rel tahan gempa bumi yang mengurangkan impak dan mempunyai penebat asas membolehkan bangunan terputus sambungan dari bumi. Hasilnya, impak gempa bumi boleh diminimumkan.
Teknologi dan kecanggihan ini yang perlu dipelajari Malaysia.
Impak yang dilalui Jepun juga tidak sama dengan kejadian gempa bumi pada skala 7.8 magnitud yang berlaku di Turkiye pada tahun lalu yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa.
Jepun dilihat cuba untuk ‘hidup’ bersama gempa bumi berikutan negara itu berada dalam Lingkaran Api Pasifik.
Kita bernasib baik kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik atau dengan erti kata lain, di luar kawasan gempa bumi aktif.
Bagaimanapun, terdapat pakar geologi berpandangan Malaysia masih berisiko untuk menerima impak atau berdepan dengan bencana geologi akibat gempa bumi.
Hal ini kerana Semenanjung Malaysia dikelilingi negara gempa bumi seperti Indonesia dan Filipina yang turut mengalami gelinciran tanah, kerosakan infrastruktur dan tsunami seperti gempa bumi mega yang berlaku pada Disember 2004 di Aceh, Indonesia.
Apa yang penting, setakat ini, Malaysia tidak diduga dengan bencana besar seperti yang dihadapi Jepun.
Perkara ini yang patut disyukuri seluruh rakyat dan diharap sepanjang tahun ini, Malaysia dilindungi, makmur dan membangun sebagai sebuah negara yang berkembang ekonominya.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya