Sang cucuk radak sedang menggila!

Sang cucuk radak sedang menggila!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mana-mana menteri utama harus bersiap-siaga dengan bahana cucuk radak dan persepsi menggila.

Waspada dengan ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’. Jerangkap samar persepsi harus bijak dilepasi. Apalagi dalam sebulan dua ini dan minggu-minggu mendatang macam-macam sudah kedengaran perkara ‘kurang molek’. Antaranya tindak tanduk geng lama DAP yang tidak boleh move on biarpun sudah duduk dalam kerajaan. Bukan pertama kali, tetapi sudah kali kedua dalam kerajaan, tetapi cara penerimaannya alahai minta simpang malaikat 44.

Namun kita rakyat Malaysia yang berjumlah 33 juta ini sudah masak dengan sepak terajang orang politik. Macam roda kembali berpusing -rakus kuasa berebut jawatan. Kerajaan lawannya pembangkang – akan berpolitiklah kita sepanjang masa.

Biasanya perjuangan sebilangan orang politik pun bukan kerana fikirkan rakyat. Tetapi lebih utamakan tembolok diri sendiri. Bila sudah rakus kuasa, tak ingat apa-apa. Agak biasa bagi seorang pemimpin itu mempunyai yang dipanggil ‘orang kita’. Iaitu mereka yang dikenali sebagai penyokong dan pembantu.

Dalam golongan itu pula akan ada kumpulan berupa tegar (hard core) iaitu mereka yang sentiasa menyokong walau apa pun kesilapan atau kekurangan pe­mimpinnya. Ini terutama jika budi pemimpin itu sudah dia termakan budi.

Situasi ini boleh disamakan dengan keadaan di penanggah semasa kenduri. Ada yang sebagai kayu api, tungku dan batu api. Ini semua diketahui belaka oleh setiap ahli politik. Cuma yang tergolong sebagai batu api tadi peranan mereka ialah membakar yang dalam amalan sebenar menghasilkan adu domba dan cucuk radak.

Mereka yang jurang fakulti pemikirannya agak dangkal dan tidak meluas akan mudah dikuasai oleh golongan batu api ini. Akhirnya menjadi mangsa olahan sendiri.

Diakui faktor paling besar merentasi pemikiran rakyat adalah persepsi. Persepsi tidak semestinya benar. Tidak juga semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat. Benarlah kata-kata lama: busuk ikan bermula di kepala, bukan di ekornya. Gajah berlaga sama gajah, pelanduk tersepit di tengah-tengah.

MUKA depan buku The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh.
HASAD DENGKI
Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit perasaan hasad dengki dalam kalangan orang Melayu sukar dikikis. Ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.

Ini diwakili dengki dan dendam. Kedua-duanya disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau penyakit ini tidak lain ialah: ‘The basic philosophy in the Malay heart has been this; that everybody should be equel inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing.’

Apabila seorang budak, Hang Nadim mencadangkan agar Temasik (Singapura) yang diserang todak tidak lagi berkubukan betis tetapi batang-batang pisang, banyaklah ikan itu terlekat di batang pisang dan mudah untuk dibunuh. Kerana kebijaksanaannya, timbul iri dan dendam kalangan orang-orang besar lalu memberikan sembah kepada raja, bahaya budak bijak itu kepada raja nanti. Raja tanpa usul periksa termakan hasutan pembesar lalu Hang Nadim pun dibunuh.

 

DALAM sebulan dua ini, sang cucuk radak, pengadu domba akan menggila. Terserah kepada pihak berkuasa menyekat pencetus ‘nilai setitik rosak susu sebelanga’.

Bukan penyakit kronik hospital biasa, tetapi inilah hasad dengki ‘penyakit keramat’ yang menyelubungi orang Melayu sejak sekian lama. Diadun pula dengan ketaasuban berpolitik sehingga merugikan bangsa sendiri.

Perjuangan politik sempit ini menggunakan pelbagai taktik politik manipulasi seperti strategi membina persepsi negatif. Serentak itu mencipta retorik yang memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara ini untuk memperkuatkan kedudukan mereka. Akibatnya ia membantutkan kemajuan dan pembangunan negara.

Ahli politik sebegini tidak fokus kepada penyelesaian yang efektif untuk menyelesaikan masalah masyarakat tetapi lebih cenderung mempertahankan kedudukan dan memperkemaskan kekuatan parti mereka.
Akibatnya membantutkan reformasi yang diperlukan, merencatkan pembangunan dan membuat masyarakat kurang percaya terhadap sistem politik di negara ini.

Dalam sebulan dua ini, sang cucuk radak, pengadu domba akan menggila. Terserah kepada pihak berkuasa menyekat pencetus ‘nilai setitik rosak susu sebelanga’.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya