Reformasi pendidikan dan modal insan bumiputera - Utusan Malaysia

Reformasi pendidikan dan modal insan bumiputera

REFORMASI pendidikan bumiputera perlu mempunyai hala tuju yang membawa kepada agenda memantapkan modal insan. – gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijangka diadakan pada hujung Februari. ini. Antara perkara utama disenaraikan untuk diperbahaskan oleh peserta di dalam kongres itu adalah agenda memperkasa pendidikan dan modal insan bumiputera.
Bagi mencapai hasrat itu, sebuah Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan dibentuk bagi mengenal pasti apakah teras utama yang akan dijadikan asas dalam mereformasikan pendidikan bumiputera?
Pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan telah mengambil langkah proaktif dengan turun ke lapangan bagi meneliti, mengumpul dan mencerakinkan semua pandangan masyarakat akar umbi bagi memahami realiti sebenar pencapaian pendidikan bumiputera.
Beberapa sesi libat urus yang melibatkan komuniti bumiputera di empat zon negara ini diadakan oleh pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan yang diketuai oleh Pengarah MINDA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali.
Selain program libat urus, 12 sesi perbincangan berfokus yang melibatkan keseluruhannya lebih 250 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kumpulan bumiputera yang bekerja di luar negara juga telah diadakan. Seramai 20 tokoh dan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan sektor pendidikan juga dilantik sebagai Jawatankuasa Pemandu Kluster Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera bagi memantapkan lagi proses pengumpulan maklumat berkaitan pendidikan bumiputera.
Mengapa penting untuk dilakukan reformasi pendidikan dan modal insan negara? Kita sedia maklum, sejak Malaysia merdeka pada 1957, agenda pendidikan bumiputera menjadi urusan yang penting negara. Bumiputera secara keseluruhannya mewakili 70.2 peratus penduduk negara ini. Maksudnya, lebih dua pertiga rakyat negara ini bumiputera. Apabila dilakukan reformasi pendidikan dan mengangkat modal insan bumiputera, secara langsung impaknya juga akan dapat meningkatkan ekonomi dan produktiviti negara.
Pencapaian pendidikan sangat berkait dengan pendapatan isi rumah. Data rasmi Jabatan Statistik bagi 2023 menunjukkan pendapatan purata kumpulan bumiputera adalah paling rendah berbanding pendapatan purata bulanan kumpulan etnik utama lain.
Secara mudah nisbah pendapatan purata antara etnik Cina dan bumiputera ialah 1:0.71 manakala nisbah antara etnik Cina dan India ialah 1:0.84. Malah jika diteliti data pendapatan bumiputera sejak 1970, kita akan didapati sejak lebih 50 tahun lalu, pendapatan purata bumiputera masih berada pada tahap paling rendah berbanding etnik utama lain.
Setelah pelbagai bantuan, sokongan dan usaha dila­kukan oleh kerajaan untuk mem­bantu ekonomi bumi­putera, tentulah kita tertanya-tanya, mengapakah pendapatan pura­ta bumiputera masih ter­belakang berbanding etnik utama lain? Malah pelbagai agensi pusat telah diwujudkan untuk membantu kumpulan ini.
Begitu juga dengan institusi negeri seperti Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal. Malah terdapat pelbagai bantuan berterusan seperti bantuan persekolahan, biasiswa pelajaran, geran perniagaan, pinjaman mudah dan sebagainya disediakan untuk membantu bumiputera.
Soalnya, mengapa bumiputera masih ketinggalan? Bukan sahaja terkebelakang dalam sektor pendapatan tetapi juga tertinggal dalam urusan pemilikan hartanah dan bangunan berkualiti di bandar utama dan rendahnya bilangan bumiputera mengikut jenis pekerjaan profesional seperti arkitek, peguam dan akauntan.
Jika pelbagai bantuan, biasiswa, pinjaman mudah dan sokongan diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan sejak 50 tahun lalu, apa masalah sebenar yang menyebabkan pendapatan kumpulan ini masih ketinggalan berbanding kumpulan etnik utama lain?
Ada yang kata bumiputera ‘malas’. Ada yang kata bumiputera tak pandai berniaga. Ada juga yang kata bumiputera kurang ilmu dan tak kuat membaca. Pelbagai andaian rambang diberikan untuk menjawab mengapa bumiputera masih ketinggalan dari segi ekonomi walaupun dibantu secara berterusan sejak lebih 50 tahun lalu.
Sebuah buku karya Profesor Dr. Lawrence Harison dan Prof. Dr. Samuel Huntington berjudul Culture Matters: How Values Shape Human Progress menegaskan kejayaan atau kegagalan individu atau sesuatu bangsa sangat tergantung kepada normalisasi sikap yang akhirnya menjadi budaya, mendominasi pemikiran dan tingkah laku kumpulan itu.
Sebagai contoh, jika sikap malas dinormalisasikan dalam sesuatu bangsa, maka sikap itu akhirnya akan menjadi satu budaya sebati dalam kumpulan tersebut. Begitu juga jika sikap rajin bekerja dinormalisasikan dalam sesuatu kumpulan, akhirnya sikap ini akan menjadi budaya di dalam kumpulan tersebut.
Misalnya, kita sering dikisahkan bagaimana masyarakat Jepun begitu berdisiplin dengan pengurusan masa. Kita juga sering dikisahkan bagaimana masyarakat Indonesia begitu dinormalisasikan dengan rasa cinta dengan penggunaan bahasa Indonesia sehingga ia menjadi budaya diamalkan seluruh bangsa Indonesia.
Oleh itu, bagi memajukan sesuatu bangsa, penting untuk menekankan amalan pendidikan yang dapat menormalisasikan sikap berkualiti. Akhirnya, sikap berkualiti ini akan dapat membina budaya positif yang akan memajukan bangsa tersebut. Sebaliknya, jika anak-anak bumiputera hanya dinormalisasikan dengan hal-hal remeh, hiburan berlebihan, membazirkan masa dengan cara tidak produktif dan tidak dilatih berfikir dan berdiskusi dalam hal-hal yang penting dan serius, akhirnya normalisasi ini akan berkembang dan budaya berfikir generasi muda bumiputera akan merosot.
Jika di era 1970-an, usaha memajukan bumiputera seringkali dikaitkan program membasmi kemiskinan, hari ini usaha memajukan bumiputera sudah bertambah. Selain mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, program menormalisasikan sikap dan budaya berkualiti juga harus dilakukan dalam skala besar dan berterusan.
Semoga penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 ini akan memberikan perhatian serius kepada usaha membina pendidikan yang dapat menormalisasikan sikap dan budaya positif bukan sahaja pada anak-anak bumiputera tetapi juga dalam kalangan ibu bapa mereka.

Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengerusi, Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya