Rafidah, wanita dan kekabu bantal - Utusan Malaysia

Rafidah, wanita dan kekabu bantal

RaFIDAH Aziz, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan dalam podcast Keluar Sekejap, baru-baru ini. – Gambar FB Keluar Sekejap
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA tak suka nak cakap ini, tetapi wanita jangan hanya jadikan diri kita ini quota filler. Macam mengisi kekabu dalam bantal. Sumbatlah 30 peratus kekabu itu dalam bantal.”
Itu kata-kata Tan Sri Rafidah Aziz dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, baru-baru ini.
Dalam podcast tersebut, Shahril menanyakan soalan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu nampak tidak selesa dengan dasar-dasar yang cuba membawa satu kedudukan dan satu kuota khas untuk wanita.

Menjawab soalan itu, Rafidah berkata, sesiapa saja yang mengeluarkan idea kuota 30 peratus wanita memegang jawatan sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat, mempunyai agenda tertentu.

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu menyelar, dasar tersebut khusus diadakan bertujuan membawa ‘kawan-kawan’ sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.
Ramai yang menyokong dan ada juga yang sinis. Namun, saya percaya, orang yang bekerja keras dan bersandarkan kepada kemampuan dan kelayakan pasti bersetuju tentang hal yang dikatakan oleh Rafidah ini.

Untuk mengisi peluang pekerjaan dan jawatan tinggi, ia adalah tentang kecekapan, kemahiran, kemampuan dan pengalaman. Kriteria sepatutnya bukan dilihat dan dinilai kerana gender.
Kalau betul-betul bagus, ambillah dia mengisi jawatan itu, tetapi kalau sekadar mahu mengisi ketetapan kuota, baik tidak payah dan yang menjadi tidak adilnya, pihak majikan menganggap 30 peratus itu adalah baseline atau tanda aras tetap, tidak boleh lebih.

Kenapa perlu mengehadkan kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar, kalau wanita yang betul-betul bagus dan berkelayakan melebihi kuota tersebut?
Dan buat apa beria-ia mahu mengisi kuota 30 peratus itu, kalau sememangnya sukar mencari wanita yang layak untuk jawatan berkenaan?

Sekadar tangkap muat macam mengisi kekabu bantal dan dalam hal sebaliknya pula terpaksa mengetepikan wanita berkemampuan lain di peringkat pembuat dasar kerana kuota sudah penuh diisi, ini akhirnya menjadikan organisasi itu rugi dan tidak efisien.

Banyak pihak sering menekankan persaingan yang sihat dalam pekerjaan. Tentu saja penetapan kuota gender sebegini dilihat hanya untuk golongan tidak mampu bersaing dan lemah. Lebih memburukkan keadaan, jika yang dipilih itu menggunakan ‘kabel’ dan hanya pandai membodek. Kerja-kerjanya yang disangka bagus oleh pihak atasan itu sebenarnya dibantu oleh orang lain yang benar-benar berkelayakan. Dia cuma pandai bercakap dan buat-buat sibuk saja. Memang ramai orang macam ini.

Pada Oktober tahun lalu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, wanita yang memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam mencapai 38.8 peratus. Bagaimanapun, sasaran 30 peratus wanita memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor swasta dan korporat masih belum dicapai setakat ini.

Pada saya, perjuangan yang lebih baik adalah Kementerian Wanita ini berusaha untuk mewujudkan seramai-ramainya tenaga kerja wanita yang boleh bersaing dan tahan lasak selain menguasai ilmu kepemimpinan dan pengurusan.

Sekiranya ini dapat dicapai, rasanya kita tidak memerlukan kuota atau bising-bising kenapa kuota tidak dicapai setiap kali menyambut Hari Wanita.
Malaysia juga memerlukan menteri-menteri wanita macam Rafidah atau yang dapat menandinginya. Bukan sekadar yes boss, sibukkan hal-hal penampilan, menjalankan program berzumba, menjaga kecantikan dan melakukan perkara-perkara yang ditertawakan rakyat.

Hakikatnya, kalau memang bagus, mustahil orang sekeliling tidak memandang. Kita selalu menuntut tentang keadilan dan sama rata, tetapi bab-bab kerja mahu kelonggaran, berada dalam zon selesa dan mahukan kerja-kerja senang. Bagaimana memperkasakan wanita itu dapat dicapai jika ada mentaliti dan perangai sebegini?

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya