Pemimpin-pemimpin politik Malaysia akan bersara di penjara beramai-ramai?

Pemimpin-pemimpin politik Malaysia akan bersara di penjara beramai-ramai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tersentak untuk menulis rencana ini apabila mendengar kenyataan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 8 Januari lalu bahawa pihak polis telah mengemukakan kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebanyak dua kali itu kepada Peguam Negara. Beliau juga memaklumkan bahawa kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,juga telah dikemukakan kepada Peguam Negara pada petang hari yang sama.

Pada hari yang sama saya terbaca berita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk merakam kenyataannya mengenai perbelanjaan sebanyak RM700 juta untuk mempromosi kerajaan di antara tahun 2020 hingga 2022. Pada 12 Januari lalu, kita mendapat tahu pemimpin berkenaan adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 3 Mac 2023, bekas Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah dituduh dengan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta. Walau bagaimana pun, pada 18 Ogos 2023, beliau berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa itu. Walaupun pertuduhan salah guna kuasa telah dibatalkan, beliau masih berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta dan satu pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta.

Sebaliknya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan baru beberapa bulan sahaja dilepaskan tanpa dibebaskan daripada berpuluh-puluh pertuduhan apabila Peguam Negara tidak mahu meneruskan pendakwaan terhadapnya, sehari sebelum beliau bersara. Lihat “Asingkan Jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya” (10 09 2023).

Jangan lupa bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak, juga bekas Perdana Menteri, masih manjalani hukuman penjara dan menghadapi lain-lain pertuduhan di mahkamah. Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib juga sedang menghadapi pertuduhan terhadap dirinya.

Mengenai penyiasatan terhadap Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, adalah sukar untuk dipercayai bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memain peranan untuk menghidupkannya setelah kejadian itu, jika benar berlaku, telah barlaku begitu lama.

Adalah sukar mempercayai bahawa pihak polis (PDRM) dan SPRM telah sekian lama tidak menyaisat kes-kes tersebut tetapi apabila Anwar menjadi Perdana Menteri mereka baru mula menyiasatnya jika tidak atas arahannya. Adalah juga sukar mempercayai bahawa pihak PDRM dan SPRM telah sekian lama menyiasat kes-kes itu, tetapi hanya apabila Anwar menjadi Perdana Menteri baru mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara atau menyambung siasatan itu, jika tidak atas arahan Anwar.

Anggapan yang lebih munasabah ialah Anwar telah mengarahkan siasatan terhadap mereka dilakukan, atau, jika siasatan telah lama dilakukan, beliau telah mengarahkan supaya ia dihidupkan semula. Orang ramai termasuk penganalisis politik terus mengatakan bahawa tindakan itu bermotifkan politik: untuk membalas dendam atau untuk mendiskreditkan mereka dan pada masa yang sama menonjolkan dirinya sebagai seorang pejuang anti-rasuah dan anti-penyalahgunaan kuasa dalam usaha untuk melanjutkan usia politiknya. Tambahan pula ia dilakukan pada masa tersebarnya desas desus PN sedang berusaha untuk merampas kuasa.

Tetapi, jika benar pun Anwar mengarahkan tindakan-tindakan itu, beliau mempunyai satu hujah yang sah: walaupun beliau tahu kesalahan-kesalahan itu dilakukan, sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, beliau tidak berpeluang mengambil tindakan kerana beliau tiada kuasa melakukannya. Berada di dalam penjara dan sebagai pembangkang, PDRM dan SPRM  tidak akan menghiraukan aduannya.

Jika itulah hal yang sebenar dan jika benarlah Dr. Mahathir dan Daim telah melakukan kesalahan jenayah kewangan yang merugikan negara, kita patut memuji Anwar kerana berjaya mambawa mereka ke mahkamah juga akhirnya.

Setakat ini kita tidak tahu hal yang sebenar. Beliau mengetahuinya. Maka, jika beliau tidak terlibat mengarahkan siasatan terhadap Dr. Mahathir dan Daim, beliau patutlah mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau tidak mengarahkan mereka. PDRM dan SPRM juga patut mengesahkannya. Mereka juga perlu menjelaskan mengapa mereka menunggu hingga sekarang untuk mula menyiasat atau mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara.

Jika Anwar terlibat mengarah pihak PDRM dan SPRM menghidupkan siasatan-siasatan tersebut dan beliau hanya berupaya berbuat demikian setelah menjadi Perdana Menteri, beliau juga patut menyatakan demikian. Itulah cara sebaik-baiknya bagi beliau membersihkan namanya.

Saya tekankan di sini bahawa adalah tidak salah di sisi undang-undang bagi Perdana Menteri mengarahkan PDRM dan SPRM menyiasat sesiapa sahaja asalkan ia bertujuan mencari keterangan untuk mengetahui sama ada orang itu telah melakukan kesalahan atau tidak dan, jika ada keterangan, mengambil tindakan yang bersesuaian terhadapnya. Yang salah ialah mengada-adakan keterangan palsu untuk menuduh seseorang. Jika tindakan itu menguntungkan politik beliau pun tidak ada salahnya asalkan keterangan yang diperolehi itu benar. Ini terutama sekali jika ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Saya tambah, itu adalah tanggungjawab Perdana Menteri.

Sampai kita kepada penyiasatan terhadap Abdul Hadi. Daripada kenyataan Ketua Polis Negara, kesalahan beliau bukanlah rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan kerugian kepada negara. Ia adalah susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden Pas lalu yang mengulas mengenai parti DAP.

Menurut Razaruddin, hasil siasatan awal polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

Satu laporan polis berkait perkara ini telah dibuat di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 7 malam tadi (semalam).

Dalam pada itu, katanya, PDRM turut akan merakam percakapan wartawan New Straits Times (NST) yang menerbitkan berita secara dalam talian berhubung kenyataan Abdul Hadi itu.

Katanya, siasatan ke atas artikel itu berkaitan laporan berita bertajuk Hadi again accuses DAP of Chinese agenda, using Malay spokesperson to achieve goals.

Antara intipati kenyataan itu adalah DAP berhasrat mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang dianuti oleh Barat.

Selain itu, antara intipati lain yang diterbitkan menerusi laporan itu adalah dakwaan Abdul Hadi bahawa DAP berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam.

Menurut Razarudin kedua-dua pihak iaitu Abdul Hadi dan akhbar NST akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Saya tidak mahu mengulas mengenai merit kes itu kerana saya tidak tahu apa keterangan yang ada dan Peguam Negara sedang menimbang sama ada Abdul Hadi patut dituduh di mahkamah. Cuma, saya ingin mengemukakan dua soalan untuk semua pembaca berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Soalan: Jika apa yang dikatakan oleh Abdul Hadi itu dikatakan terhadap UMNO, adakah ia menjadi satu kesalahan? Bagaimana apabila seorang ahli Parlimen DAP menuntut jawatankuasa yang menentukan hukum syarak hendaklah mempunyai seorang bukan Islam sebagai ahlinya sedangkan di Malaysia hukum syarak hanya terpakai kepada orang Islam?

Kesalahan yang dikaitkan dengan Abdul Hadi itu adalah berlainan daripada kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Dr. Mahathir dan Daim. Tulisan seperti itu, jika ia merupakan satu kesalahan pun, tidaklah sama beratnya dengan kesalahan-kesalahan yang dikaikan dengan Dr. Mahathir dan Daim Zainuddin.

Menghukum Abdul Hadi atas kesalahan ini tidak akan menarik sokongan kepada Anwar. Orang Melayu akan menuduh Anwar yang bertanggungjawab menggerakkan penyiasatan kes tersebut untuk mendiamkan Presiden Pas itu, mengenepikan beliau daripada arena politik dan melemahkan Pas. Ini terutama sekali apabila ia berlaku pada masa yang sama dengan Langkah Dubai. Anwar lebih baik menjauhkan diri daripadanya melainkan beliau memang terlibat.

Mengenai siasatan terhadap Ismail Sabri. Kita juga tertanya-tanya mengapa siasatan ini juga dilakukan pada minggu yang sama hingga ia menyebabkan seorang pemerhati berkata, “Nak tangkap habis semuakah?” Hujah-hujah saya di atas yang berkenaan juga terpakai.

KESIMPULAN

Apa yang amat menarik perhatian berita-berita yang saya sebut di permulaan rencana ini ialah, pertama, hampir kesemua bekas Perdana Menteri ditambah dengan bekas Menteri Kewangan dan Ketua Parti Pembangkang, disiasat pada masa yang sama.

Kedua, mengenai kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Dr. Mahathir dan Daim, siasatan dilakukan atau dihidupkan semula lama selepas kesalahan-kesalahan itu dikatakan dilakukan oleh mereka.

Ketiga, ia berlaku pada masa yang sama dengan Langkah Dubai yang Anwar juga mengeluarkan kenyataan mengenainya. Beliau juga mengeluarkan kenyataan pada 9 Januari lalu, sehari selepas Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataannya, selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, antara lain mengatakan Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Semuanya menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa semua tindakan PDRM dan SPRM itu dilakukan atas arahan Anwar untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau.

Sebenarnya, mengenai kelewatan mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Dr. Mahathir dan Daim, Anwar mempunyai satu hujah yang sah bagi mematahkan tuduhan mereka, iaitu, sebelum ini beliau tidak berpeluang mengambil tindakan terhadap mereka kerana beliau tiada kuasa melakukannya.

Mengenai siasatan terhadap Ismail Sabri ia adalah kesalahan baharu.

Mengenai penyiasatan terhadap Abdul Hadi, saya tidak fikir seorang yang secerdik Anwar dan berpengalaman seperti beliau akan mengarah PDRM untuk menyiasat kenyataan seperti itu untuk menuduh Presiden Pas itu untuk menguatkan kedudukan politiknya. Jika pihak PDRM melakukannya untuk membantu politik Anwar pada masa ini, ia adalah satu perkiraan yang kurang bijak.

Biar apa pun, katakanlah kesemua mereka dituduh, disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara, maka akan berlakulah satu peristiwa bersejarah di mana paling banyak bekas Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin politik menjadi banduan pada masa yang sama.

Jika demikianlah halnya, bagaimanakah orang ramai akan melihat Anwar? Saya fikir mereka akan terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah kumpulan yang percayakan kebebasan mahkamah. Mereka akan menyanjung Anwar sebagai juara antirasuah dan antipenyalahgunaan kuasa dan penyelamat negara.

Kumpulan kedua ialah mereka yang tidak percayakan kebebasan mahkamah. Mereka akan melihat beliau sebagai seorang yang sangggup menggunakan PDRM, SPRM, pendakwa raya dan mahkamah untuk memenjarakan musuh-musuh politiknya dan menyelamatkan kedudukannya.

Biar apa pun pandangan mereka, apa yang penting ialah semua pihak yang menjalankan tugas mereka dalam urusan ini melakukannya dengan jujur. Dengan cara ini, moga-moga akan lebih bersihlah pemimpin-pemimpin politik kita di masa hadapan.-UTUSAN

TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN