Khidmat pengembangan universiti bantu masyarakat - Utusan Malaysia

Khidmat pengembangan universiti bantu masyarakat

Setiap hasil penyelidikan mesti dikongsi dengan masyarakat menerusi program pengembangan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai pihak mempersoalkan kerja dan penghasilan universiti tempatan.
Pihak industri selalu mengatakan pengajaran di universiti terlalu teoretikal sehingga graduannya tidak dapat serta merta berfungsi apabila mereka diambil bekerja. Industri terpaksa pula berbelanja banyak untuk melakukan ubahsuaian dan penyelenggaraan setiap para graduan itu.
Sebahagian pula menyuarakan tentang sia-sianya universiti menjalankan penyelidikan dengan pelbagai biaya negara sedangkan hasilnya terperap di bilik-bilik pensyarah yang cuma memberi nilai kumulatif kepada ‘vitae’ mereka.
Dalam keadaan debat universiti-industri lantang, tegang dan meriah, kerap kali isu pengembangan khidmat universiti kepada masyarakat awam agak sepi. Pada hal, itulah satu tiang penting universiti dari zaman medieval lagi.
Baru-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Shaarani Mohamad dan rombongan melawat Institut Pertanian Bogor (IPB) atau Universiti IPB, Indonesia. MB dan ahli rombongan seperti kagum dengan apa yang dibentangkan oleh Rektor IPB.
IPB mempunyai ribuan Pusat Perkhidmatan Pengembangan di seluruh Indonesia. IPB memberi perkhidmatan pengembangan kepada masyarakat, berpasukan dengan ratusan organisasi Industri.
IPB, menubuhkan pelbagai jabatan pelaksana dan melakukannya secara serius dan sistematik dengan penglibatan pensyarah, pentadbir dan pelajar. Di kota-kota besar, mereka menyediakan ruang pameran berprestij memperkenalkan produk-produk desa di bawah projek pengembangan. Khabarnya MB Perak bercadang melaksanakannya di Lenggong.
Rumusnya, pengembangan adalah salah satu daripada tiang utama fungsi universiti iaitu:
Pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan pejuang ilmu,
Penyelidikan untuk mencari kebenaran dan menyemak serta mengesahkan kebenaran sedia ada,
Penerbitan untuk mempromosi dan menyebarkan ilmu,
Pengembangan untuk mengabdi diri anggota masyarakat universiti kepada masyarakat besar di luar universiti.
Di Indonesia, sumbangan kepada masyarakat diwajibkan secara tradisi kepada semua pelajar universiti.
Namun mulai tahun 2003 kewajipan itu telah dijadikan undang-undang (undang-undang Nombor 20, 2003). Sumbangan kepada masyarakat terkandung dalam konsep Tri Dharma Perguruan Tinggi Indonesia.
Negara Israel pula dibina di lingkungan yang tidak menyukai mereka. Yang pasti mereka wajib robust mempertahankan diri dan kewujudan mereka. Selain dikelilingi manusia yang tidak mesra kepada mereka, alam keliling mereka juga tidak mesra.
Enam puluh peratus negara Israel adalah padang pasir dan 92 peratus penduduknya tinggal di bandar.
Hanya 10 peratus tinggal di 60 peratus bumi padang pasir itu. Hidup tidak pernah mudah bagi mereka.
Daripada sebuah penempatan di bawah jajahan Osmaniah mereka memulakan kerja pengembangan. Sekolah Pertanian ditubuhkan pada tahun 1870 dengan tumpuan kepada kerja sumbangan kepada masyarakat. Rakyat Israel yang tidak dibenarkan memiliki tanah semasa mereka tinggal bertaburan di benua Eropah tidak kenal pertanian.
Dengan demikian mereka hanya bekerja dalam bidang profesional seperti peguam, akauntan, perbankan, jurutera dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan pertanian. Hanya sekitar dua peratus sahaja yang terlibat dalam pertanian.
Semua pakar-pakar profesional di bandar bersatu padu memberi khidmat pengembangan melalui sekolah itu dan hasilnya kini menyaksikan Israel adalah negara pengeksport makanan.
Golongan profesional di bandar menyedari pentingnya kumpulan dua itu dalam memberi mereka keterjaminan makanan dan sebagai balasannya mereka tidak ragu-ragu membangun peralatan dan infrastruktur modern di luar bandar.
Mereka berjaya menukar padang pasir menjadi ladang makanan. Kepada mereka khidmat pengembangan adalah salah satu daripada tonggak keselamatan negara Israel.
Secara universalnya universiti melakukan kerja memasyarakatkan universiti dalam paling kurang lima aspek:
Pendidikan lanjutan bagi membei ilmu kepada masyarakat yang tidak berpeluang belajar di universiti.
Memberi khidmat pengembangan memodenkan pertanian dan golongan petani bagi menjamin keterjaminan makanan. Ia hendaklah dilihat pada kaca mata keselamatan negara.
Pengembangan pendidikan kenegaraan kepada waganegara desa supaya mereka celik huruf kepada hak asasi mereka sebagai warga sebuah negara demokrasi.
Khidmat pengembangan pendidikan kesihatan warga negara. Negara yang kuat adalah negara yang sihat rakyatnya.
Khidmat pengembangan industri supaya rakyat jelas akan kepentingan industri negara lalu bersama menjayakan. Negara Jepun, misalnya, walau pun bertaraf negara maju dan berpendapatan tinggi, hampir semua kerja dilakukan rakyat sendiri tanpa bergantung kepada tenaga kerja asing.
Demikianlah pentingnya sumbangan universiti kepada masyarakat berdasarkan beberapa kes di negara lain.
Di Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah meletakkan kerja pengembangan sebagai penting. Kerja pengembangan dilakukan oleh suatu jabatan penting dalam struktur universiti dinamakan Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) Pusat itu sama tarafnya dengan fakulti diketuai oleh seorang Pengarah yang menjadi ahli senat.
Namun disebabkan ada kebijakan lain, pusat itu seperti sudah ditiadakan. Para profesor, pensyarah dan pentadbirnya diagihkan ke fakulti lain. Ketiadaan organisasi sedemikian menyebabkan fungsi pengembangan kehilangan pemikir dan pentadbirnya. Fungsi program dan inovasi tiada lagi. Benar universiti harus sentiasa bersama industri namun tidak kurang pentingnya sumbangan kepada masyarakat majoriti.

Prof. Tan Sri Nordin Kardi ialah bekas Naib Canselor UUM dan USAS yang kini bekerja sebagai Ketua Eksekutif Jakarta Business School, Jakarta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya