Masa zaman kanak-kanak dahulu, rancangan televisyen yang paling saya suka tonton adalah mengenai objek terbang tidak dikenali (UFO) dan apa-apa yang berkaitan makhluk asing.
UFO sangat menjadi fenomena pada zaman dahulu.
Jika anda masih ingat, pada tahun 1990-an, saluran TV2 Radio Televisyen Malaysia ada menyiarkan mengenai cerita drama bersiri sains fiksyen Hollywood berkaitan makhluk asing, The X-Files.
Dua watak yang saya paling minati dalam drama bersiri itu adalah pasangan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI,) Dana Scully dan Fox Mulder, masing-masing lakonan Gillian Anderson dan David Duchovny.
Dalam drama bersiri itu, kedua-duanya menyiasat kes X-Files, kes terpinggir dan kes tidak dapat diselesaikan yang melibatkan fenomena paranormal. Program televisyen ini sangat menarik dan menghiburkan. Boleh mendoktrinkan pemikiran kanak-kanak seperti saya.
Suatu masa dahulu, apa-apa berkaitan makhluk asing, saya percaya sehingga ia menjadi mainan imaginasi dan pernah terbawa-bawa ke dalam mimpi. Malah, saya sering mengaitkan apa-apa kejadian aneh di kawasan kampung atau sekitar rumah dengan entiti asing berkenaan.
Jika teringat kembali mengenai perkara itu, ia sangat lawak dan bodoh. Namun, kini, pemikiran saya sudah matang dan pandangan terhadap UFO juga sudah berubah.
Genre sains fiksyen seperti ini seronok kerana ia menduga akal dan berada di luar pemikiran manusia.
Di Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS), terdapat dakwaan mengenai penampakan UFO oleh jutaan rakyatnya.
Penampakan pertama oleh individu yang bernama Kenneth Arnold pada tahun 1947.
Malah, hampir 50 peratus rakyat AS, menurut tinjauan pendapat pada 2005, percaya bahawa UFO adalah nyata. Bagi kebanyakan orang di sana, mereka sangat percaya dengan UFO.
Terbaru, terdapat dakwaan seorang pramugari melihat UFO berwarna merah jambu ketika berada dalam penerbangan menuju ke Poland.
Denisa Tanase, 36, yang bekerja dengan Wizz Air mendakwa melihat objek pelik itu di luar tingkap pesawat yang dalam perjalanan dari Luton, England ke Syzmany di Poland. Oleh kerana Tanase tidak pasti dengan objek dilihatnya, maka, dia merakam penampakan cahaya merah jambu itu dengan telefon bimbitnya.
Tanase kemudian melihat semula video dirakam dan terkejut dengan objek ditemukannya.
Dakwa Tanase, video berkenaan menunjukkan objek pelik itu bergerak bersebelahan dengan pesawat di ruang udara, kejadian yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Pada 12 Januari lalu, penggubal undang-undang AS mengadakan taklimat sulit mengenai UFO yang disebut sebagai fenomena anomali tidak dikenal pasti (UAP) oleh kerajaan.
Dalam taklimat itu, ada yang berasa kecewa dengan maklumat yang terhad dan ada yang mendakwa mereka mendapat maklumat yang lebih jelas.
Taklimat tertutup di Bangunan Capitol berlangsung kira-kira 90 minit dan bertujuan untuk meningkatkan ketelusan pengetahuan kerajaan tentang UAP.
Bagi saya, mungkin UFO yang dilihat oleh rakyat AS dan beberapa bahagian dunia lain merupakan pesawat pengintip tentera ciptaan negara-negara maju. Dalam sains dan teknologi, apa-apa pun boleh jadi.
Tahun lalu, China juga didakwa menceroboh udara AS menerusi belon pengintip yang berlegar-legar di luar pantai Carolina Selatan. Namun, ia ditembak jatuh oleh tentera.
Belon berkenaan mencetuskan episod pengintipan dramatik yang secara tidak langsung memburukkan hubungan di antara Beijing dengan Washington.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.