“BANYAKNYA makanan orang sebelah tu tak habis. Kalau kita ‘cilok’ sotong goreng tepung tu, ‘lepaslah’ dinner malam tahun baru nanti.” – Gurau seorang kawan sambil menjengah meja makan sebelah kami apabila sekumpulan keluarga meninggalkan meja itu.
Mereka menggabungkan dua meja makan. Penuh makanan. Saya pun menjenguk meja itu. Sayur pun macam tidak disentuh. Tak makan sayur, tetapi kenapa order?
Ini cerita pada 31 Disember lalu. Ahad lepas, saya bersama beberapa kawan lama makan tengah hari di sebuah restoran makanan laut di Banting, Selangor.
Memang meja makan di kebanyakan restoran penuh pada hari itu. Lagi pun cuti sekolah masih berbaki lagi sehari. Hendak menunggu pekerja-pekerja membersihkan sisa makanan pun mengambil masa juga sebelum dapat duduk.
Sambil-sambil itu boleh lihatlah, tom yam yang tak habis dimakan, minuman yang masih penuh satu jug, udang masak sambal yang masih berbaki seekor dua yang tentu mahal harganya dibuang begitu saja dan macam-macam lagilah.
Sebenarnya ini pemandangan biasa di mana-mana restoran dan hotel di negara ini. Pembaziran bukan isu baru. Sudah jadi perangai, agaknya.
Tak kiralah yang makan itu dari kumpulan B40 ke, M40 atau T20. Kalau dah memang kaki membazir, tak payah tunggu jadi kaya.
Bagi sesetengah orang di negara ini, terlebih makan itu biasa. Kurang makan, itu jarang-jarang berlaku.
Tetapi yang peliknya, apabila bercakap pasal nasib rakyat Palestin yang tak cukup makan, yang hanya makan sehari sekali, itu pun makan biskut dan ada yang masak daun dan rumput kerana bekalan makanan sudah kehabisan akibat peperangan, ramai yang sedih boleh mengalirkan airmata.
Sebak. Kasihan sangat. Tak boleh nak bayangkan selama mana rakyat Palestin akan terus mengharungi hidup tanpa makanan yang sempurna macam kita.
Sedangkan, di negara ini ramai yang bermewah-mewah dengan makanan walaupun hidupnya tidaklah semewah mana pun. Membuang makanan, bila dah tersandar kekenyangan. Tak sedih langsung melihat rezeki itu dibuang.
Maknanya, insaf sekejap sajalah bila membaca hal-hal kesengsaraan rakyat Palestin. Ia tidak betul-betul membekas di hati.
Adakah kita masih menjadi juara membazir dan membuang makanan lagi tak? Seingat saya beberapa tahun lalu, ada satu kajian, kita mengatasi negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Korea Selatan bab-bab membuang sisa makanan.
Pada tahun 2022 pula, Malaysia menghasilkan 38,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari. Daripada jumlah ini, hampir 45 peratus adalah 17,000 tan makanan yang dibuang setiap hari.Jumlah sebanyak ini dikatakan mencukupi untuk memberi makan kepada tiga juta orang sebanyak tiga kali, sehari.
Dan dikatakan, jika setiap orang dapat mengelakkan pembuangan satu kilogram sisa makanan, sebanyak RM11 dapat dijimatkan.
Bolehkah sebahagian kita mengubah perangai bila memesan makanan, biar pesan ikut kemampuan untuk makan, bukan umpama setahun tak makan? Kalau boleh, masalah pembaziran ini boleh jadi selesailah.
Dalam Islam, membazir itu saudara syaitan. Tetapi itulah, orang kita ini kalau dia dikait-kaitkan dengan syaitan memang marah betul.
Kasihankan Palestin, tapi di sini makanan pun dibuang-buang
- Oleh FAUZIAH AROF
- 7 Januari 2024, 3:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Adab tetap menang
8 Disember 2024, 8:34 am