Jangan biarkan PM bersendirian…

Jangan biarkan PM bersendirian…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP menteri ada peranan dan tanggungjawabnya. Masing-masing telah disediakan porfolionya.

Setelah rombakan besar-besaran 12 Disember 2023 lalu, jemaah menteri meningkat daripada 28 kepada 31. Timbalan menteri pula bertambah daripada 27 kepada 29 orang. Sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkini adalah 60 orang.

Mutakhir ini setelah rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut ekonomi dan politik tidak berkesudahan, padahal tiga kerajaan tempoh hari itulah digantung harapan, kita sebenarnya sudah ada bibit-bibit hilang keyakinan. Keyakinan yang baharu itulah patut dinyalakan kembali sejak setahun ini dan memasuki tahun 2024 yang mencabar untuk bangsa dan negara Malaysia ini.

Kelas menengah yang kini kian membesar pentingkan kewibawaan pimpinan. Mereka tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Barang diingat, pembangunan kemudahan asas tidak lagi berfungsi sebagai tarikan khas seperti dahulu.

Dalam tempoh empat tahun berlalu ini, macam-macam dugaan berliku membadai Malaysia. Tahun 2020 hingga 2022 penangan dahsyat Covid-19-nya. Seakan dunia terhenti seketika. Rakyat menderita hingga habis dikorek tabung akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Itu belum lagi berkecamuk politiknya dengan tiga kali bertukar perdana menteri sejak Februari 2020. Baru saja hendak bernafas setelah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan PM10 pun muncul, negara di peringkat awal masih gamat lagi.

POLITIKING

Maka untuk tempoh berbaki empat tahun ini sebelum PRU16, eloklah kita noktahkan dahulu politikingnya.

Kepada mamanda menteri, lebih baik fokus dan fikirkan politik seperti perniagaan – dengan berani menongkah arus mencuba idea-idea baharu untuk manfaat bangsa. Bukan menakut-nakut mengguna taktik lama. Helah lama tidak menarik kepada orang muda. Rakyat mahukan hasil ekonomi, bukan hanya kemenangan politik.

Apatah lagi mahu melihat berjaya penyatuan orang Melayu jika itulah harapan umat Islam disandarkan kepada kerajaan hari ini, eloklah dimulai dengan memperlihatkan imej yang tidak ‘ultra’ dalam membentuk persepsi masyarakat berbilang kaum. Yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan wajib dipatuhi dan dipertahankan.

Bertoleransi – itu syarat awal kepada mana-mana parti politik yang mahu melangkah bergaya menuju arus perdana. Kepada menteri, tumpukan kepada soal-soal keterampilan, integriti, isi jati dan kurangkan retorik mengampu.

Satu-satunya kriteria hidup adalah rule of law atau kejituan undang-undang. Malaysia jika hendak selamat di zaman mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas menghormati undang-undang.

Dan mana-mana intelek atau yang berkuasa kepimpinan atau di peringkat menara gading perlu berani menyanggah perkara-perkara tidak baik dan tidak benar di mata masyarakat. Jika tidak, ia dikira sudah lari daripada tanggungjawab asas seorang pemikir, intelek. Kalangan pengamal politik, budayawan, pengamal undang-undang dan bekas anggota kerajaan, ayuhlah semua kombinasikan pengalaman diri. Yakni, dengan mengemukakan kritikan dan penyelesaian isu-isu ekonomi, pendidikan atau penyelewengan yang menggugat anak bangsa.

NASIB RAKYAT

Lebih molek dan mudah jika semua pemimpin politik Melayu kurangkan bercakap. Terus laksanakan sahaja program-program yang sah tanpa mengancam kepentingan masyarakat lain. Dengan ikhlas dan jujur lakukan saja apa yang adil dan saksama. Dengan ini tidak timbulkan kebimbangan, keraguan, pergeseran dan bantahan pelbagai pihak.

Pendekatan ‘meledak’ walaupun sensasi, cuma merugikan orang Melayu, Islam dan negara.

Ekonomi Malaysia perlu terus diangkat semula dengan memastikan kestabilan dan mengukuhkan perpaduan.

Nasib rakyat bergantung kepada jemaah menteri yang juga ahli politik.

Merosot wibawa dan akhlak ahli politik, musibahnya ditanggung oleh rakyat.

Di tangan ahli politiklah letaknya tunjang kemajuan pembangunan. Jika baik kelakunya, nasib baiklah kita. Pincang ahli politik, ranaplah segala.

Moga diteruskan di tahun 2024 ini tiada kelibat orang sekeliling yang hanya mahu menjadi ‘penasihat’ atau pembodek. Jangan ada lagi ‘tukang-tukang amin’ yang tidak memperbetulkan langkah-langkah sumbang pemimpin.

Bagus dan wibawanya jemaah menteri, tempiasnya kepada kerajaan. Molek khidmat baktinya kepada rakyat, imej baik hinggap kepada nombor satu.
Jangan biarkan Perdana Menteri bersendirian mentadbir negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya