Empat isteri pula kena tanggung dia - Utusan Malaysia

Empat isteri pula kena tanggung dia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH menjadi lumrah, dalam mana-mana perkahwinan, ketua keluarga adalah suami. Dalam kebanyakan kaum dan budaya di dunia sekali pun, lelakilah yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan menyara ahli keluarganya.
Malah, jika ada lelaki yang ditanggung dan disara oleh isteri dan isteri-isteri sementelah si suami di rumah hanya goyang kaki, golongan ini selayaknya dipanggil lelaki pemalas dan dayus.
Hal ini kerana lelaki secara fizikalnya dicipta lebih kuat, bertenaga, mempunyai akal lebih cerdas dan mempunyai tulang empat kerat yang lebih kukuh berbanding wanita.
Dalam budaya Melayu, suami yang malas bekerja akan dipandang serong oleh masyarakat. Jadi bahan ‘mengata’. Itu fakta. Mungkin dalam budaya atau kaum-kaum yang lain pun sama.
Malah, ibu bapa mentua kepada suami pemalas ini pun sudah pasti turut gelisah dan rimas, takut anak cucu mereka tidak cukup makan, pakai.
Bagaimanapun, kisah si suami tidak bekerja ini ada pengecualiannya. Untuk berlaku adil, wujud isteri yang setia untuk ‘menjaga’ suami yang diuji kesusahan seperti dibuang kerja, bankrap atau uzur akibat kemalangan sehingga menjadi orang kurang upaya.
Malah, memang tidak dinafikan wujud di dunia ini golongan wanita yang baik hati, taat dan patuh kepada suami yang kurang upaya atau yang berada dalam kesusahan untuk sehidup semati serta kisah-kisah mereka ini banyak terpampang di dada-dada akhbar dan dalam talian portal berita.
Selain itu, sejajar dengan perubahan zaman, ramai juga suami yang diberi ‘kerja’ menjaga rumah tangga, memasak, mengemas rumah, menjaga keperluan anak-anak dan menjadi pemandu keluarga sementara si isteri keluar bekerja. Ya, bekerjaya profesional. Perkara ini tidak pelik kerana zaman sudah berubah. Dalam kes ini, saya berasa tiada yang betul atau salah.
Minggu ini, saya ingin mengupas mengenai kisah seorang lelaki di Jepun yang menganggur dan ditanggung oleh empat isterinya.
Ryuta Watanabe, 35 tahun dari Pulau Hokkaido dilaporkan tinggal bersama tiga daripada empat isterinya yang bergaul mesra antara satu sama lain di sebuah kediaman dan bergantung kepada mereka untuk keperluan kewangan keluarga.
Kedengaran lucu bukan, tetapi ini kisah nyata dalam keluarga Jepun, bukan beragama Islam.
Kisah Watanabe mendapat liputan media Jepun secara meluas.
Kata Watanabe: “Saya hanya seorang pencinta wanita. Saya suka wanita dan menyayangi mereka semua secara sama rata. Saya tidak mempunyai masalah dengan poligami dan berhasrat untuk mempunyai 54 orang anak.”
Empat isteri Watanabe berkata, mereka tahu sejak awal tentang statusnya sebagai penganggur dan isu poligami tersebut tetapi tidak mempunyai masalah dengannya.
Isteri-isterinya kini bekerjasama menampung perbelanjaan bulanan kira-kira 850,000 yen (RM27,368), sementara si suami ditugaskan menguruskan kerja rumah dan anak-anak.
Kisah Watanabe ini benar-benar memberi pengajaran kepada kita semua. Apakah faktor X yang terdapat padanya sehingga menarik perhatian isteri-isterinya? Baik hati, mungkin. Hanya keempat-empat isterinya sahaja yang tahu.Apa pun, kisah Watanabe ini tidak boleh ditiru oleh masyarakat kita ya.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya