Umum mengetahui Ahli Majlis yang dikenali sebagai Kaunselor di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dilantik oleh kerajaan. Lantikan itu sudah lama berlaku. Namun, di hujung tahun 2023, pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kembali menjadi polemik dan diberi tumpuan secara meluas.
Parti DAP mendahului parti politik lain dalam mengutarakan isu mengadakan semula pilihan raya PBT. Tan Kok Wai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Cheras mencadangkan pilihan raya bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan sewaktu Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan.
Suara DAP dalam isu ini sudah lama termasuk di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketika menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN). Tetapi, dahulu dan kini dolak-dalih berkaitan pilihan raya PBT kekal dengan alasan sama.
Atas sebab itu, usaha mengadakan semula pilihan raya PBT kekal sebagai retorik. Pihak yang mahukan pilihan raya PBT memberi alasan untuk mengukuhkan demokrasi dan menggalakkan partisipasi awam di peringkat tempatan. Pihak yang menolak beralasan pilihan raya PBT berpotensi menggugat keharmonian dan perpaduan kaum.
Jika diteliti alasan yang menolak, memang sukar untuk merealisasikan pilihan raya ini. Apatah lagi ia melibatkan soal undang-undang. Peluang paling cerah untuk merealisasikan pilihan raya PBT sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas PRU ke-14 tahun 2018.
Ketika itu Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ada usaha dilakukan bagi tujuan tersebut ketika itu. Malangnya, kerajaan PH ditumbangkan. Akhirnya usaha itu terbantut di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada awal 2020.
Kenapa pilihan raya PBT tidak dapat diadakan? Semua ini bersangkut dengan undang-undang. Untuk melaksanakannya ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana semua PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), di mana pilihan raya PBT tidak dibenarkan seperti dicatatkan dalam Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Misalnya, DUN Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya PBT pada 2012. Disebabkan enakmen itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka Pulau Pinang tidak dibenarkan mengadakan pilihan raya PBT. Jika mahu pilihan raya PBT diadakan mesti melibatkan pindaan Seksyen 15 Akta 171 di peringkat Parlimen. Ini adalah kekangan utamanya.
Jika diteliti cadangan sebelum ini, ia hanya melibatkan pemilihan Ahli Majlis dan bukan jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua. Sepatutnya jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua juga mesti dipilih sama seperti Ahli Majlis atau dilantik dalam kalangan Ahli Majlis yang telah dipilih. Pilihan raya PBT mesti melibatkan semua PBT di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak walaupun di kedua-dua negeri ini tidak tertakluk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana masing-masing ada ordinan PBT sendiri.
Memang sukar untuk diadakan semula pilihan raya ini. Pertama, ia mesti melibatkan pindaan perlembagaan dan seksyen 15 Akta 171. Kedua, pemilihan juga melibatkan jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua serta Ahli Majlis. Ketiga, kajian terperinci mesti dilakukan sebagaimana kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan tahun 1965 bagi menyiasat, mengkaji dan mengesyorkan hal ehwal berkaitan PBT. Keempat, sebagai perintis pilihan PBT boleh dimulakan di DBKL terlebih dahulu dan beberapa PBT lain. Kelima, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mesti memainkan peranan ke arah itu dan tidak hanya daripada parti politik seperti DAP.
Bagi saya, isu pilihan raya PBT tidak boleh lagi dilihat sebagai polemik politik. Ia perlu difahami dalam konteks demokrasi. Dari satu sudut, ia boleh mengukuhkan amalan demokrasi di peringkat tempatan dan menggalakkan partisipasi awam dalam membuat keputusan.
Jadi, Ahli Majlis yang dipilih mesti mempunyai tanggungjawab langsung kepada warga tempatan dalam kawasan tadbiran PBT dan tidak lagi dilihat mewakili kepentingan secara langsung parti politik seperti sebelum ini. Andai mereka tidak menunjukkan prestasi baik, dalam pemilihan penggal berikutnya, rakyat ada kuasa untuk menolak dan memilih calon lain.
Kajian mesti dilakukan dengan meneliti bagaimana proses dan sistem pilihan raya PBT di negara lain. Sudah tentunya pilihan raya melibatkan persaingan dan disertai oleh calon-calon dari parti politik. Jika ia dapat diuruskan dengan baik, perkara seperti rusuhan, pergaduhan, mogok dan sebagainya dapat dielakkan. Dalam hal ini, pendidikan politik itu penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang kewajipan dan tanggungjawab kepada negara. Dengan cara itu, amalan demokrasi dapat dilaksanakan dengan baik.
Kepada parti politik dan kerajaan semasa, jangan takut dengan bayang-bayang. Jika parti politik itu diterima rakyat atau pengundi seperti dalam PRU-15 lalu, tidak usah takut untuk mengadakan pilihan raya PBT dan letaklah calon berkaliber dan mempunyai reputasi tinggi.
Memang ada kemungkinan di peringkat PBT, parti lain yang menguasai Majlis PBT berbanding di peringkat DUN dan Parlimen. Sebagai kerajaan peringkat ketiga, pilihan raya PBT itu dapat memberi gambaran penerimaan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah di peringkat negeri dan seterusnya di peringkat Persekutuan. Oleh itu, kerajaan tempatan ini adalah kerajaan bayangan kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Jadi, usaha mengadakan semula pilihan raya PBT ini mesti melibatkan persetujuan bersama atau konsensus di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan. Tanpa konsensus ini, tidak mungkin hasrat ini dapat direalisasikan. Lihatlah bagaimana usaha meminda umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dapat dilakukan apabila ia mendapat konsensus antara pembangkang dan kerajaan dalam parlimen bagi meminda perlembagaan. Hal yang sama boleh dilakukan ke arah mewujudkan pilihan raya PBT. Sama-sama kita tunggu adakah polemik pilihan raya PBT menjadi kenyataan atau sekadar retorik dan angan-angan.
Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia