SELALU dengar simpulan bahasa hentam kromo? Ya, kromo. Ejaan yang betul dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kromo bukan hentam keromo.
Maksudnya, melakukan sesuatu atau bercakap tanpa pertimbangan dan berfikir jauh.
Banyak contoh hentam kromo di sekeliling kita. Bermula di awal pagi saja, bila kita berada dalam kenderaan semasa mahu ke tempat kerja, yang ‘kaki dengar radio’, mesti sudah terbiasa mendengar deejay berceloteh secara hentam kromo.
Dia buat lawak, dia jugalah sendiri ketawa. Tak dengar sangat apa yang dicakapkan. Ketawa saja kuat. Orang yang diundang dalam konti pun tak dapat cakap banyak. Deejay lebih banyak memotong cakap.
Adakah Ini lawak zaman kini? Atau pendengar seusia saya yang sudah jauh ketinggalan kereta api? Saya pun alih ke stesen lain. Habis cerita.
Tetapi yang saya hendak cakap ini bukan isu deejay radio pun. Bukan pasal persaingan, siapa lebih diminati dan kalau betul ada deejay minta gaji tinggi itu pun perkara biasa.
Yelah, siapa mahu gaji rendah? Atau gaji statik di situ saja. Tiada pergerakan. Gaji pensyarah, doktor dan banyak golongan profesional lain di negara ini pun ada yang tidak setimpal dengan kelayakan dan bebanan kerja.
Ada majikan tidak ada sistem tangga gaji yang jelas. Main bagi saja upah berapa. Bayar gaji RM2,200 untuk bertaraf profesional dan berpengalaman misalnya, suruh buat macam-macam kerja. Ini juga contoh hentam kromo.
Tetapi ada juga yang pelik. Gaji lebih RM10,000 pun dikata rendah. Minta perjuangkan kenaikan gaji mereka. Cukup-cukuplah.
Bab majikan itu satu. Bab pekerja pun satu hal juga. Membuat kerja secara hentam kromo. Asalkan siap dan boleh balik cepat.
Inilah yang ingin saya sentuh. Tentang perangai hentam kromo dalam masyarakat kita. Tak payah cakap budayalah. Perangai lebih tepat.
Yang suka menulis hentam kromo dalam media sosial pun terlalu ramai. Mengulas ikut trend isu semasa bukan ikut kepakaran dan pengalaman sendiri. Semua hal dia mahu ulas.
Apabila ada isu politik, dia pun mengulas hal politik, apabila ada isu ekonomi dia pun ulas termasuklah juga hal-hal artis dan hiburan.
Menulis kononnya atas nama kritikan membina. Apabila nampak ruang untuk mengecam dikata tulisan itu sebagai teguran tetapi bila kena kepada diri sendiri, dikata pula mahu mengaibkan dirinya.
Yang dikesalkan, bila ada hantaran atau berita tentang kesusahan orang lain, ada yang mengulas secara hentam kromo. Berkata sinis.
Ayat yang biasa dengar sudah tahu hidup susah kerana beranak ramai atau itulah tak belajar tinggi. Gaji rendah, salahkan majikan atau kerajaan.
Tiada rasa simpati kepada pihak yang dirundung malang. Malah ada yang memberi emoji ketawa waima pada berita kematian, bencana alam dan kemalangan.
Banyak contoh perangai hentam kromo di sekeliling kita yang menghakis rasa kemanusiaan, menyusahkan dan pada masa sama menjejaskan kualiti hidup hanya kerana tiadanya pertimbangan sebelum bertindak, bercakap dan membuat dasar.
Tetapi itulah, selalunya apabila sesiapa saja dikait-kaitkan dengan tindakan dan percakapannya yang tidak menggunakan akal fikiran dan hati perut, mesti marah sungguh. dia. – Mingguan Malaysia
Cerita pasal hentam kromo
- Oleh FAUZIAH AROF
- 21 Januari 2024, 3:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000
24 November 2024, 10:03 am
Mana boleh hidup sifar hutang?
10 November 2024, 9:33 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am