KITA mengalu-alukan ketegasan dan pendirian Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk berterus-terang serta berani mempertahankan kewibawaan badan kehakiman. Ini sekali gus memelihara dan menggerakkan keluhuran undang-undang (rule of law) di negara ini.
Semestinya kehakiman sesuatu yang patut dalam konteks ketelusan dan keterampilan. Kehakiman juga bukanlah satu institusi yang diletakkan di menara kudus yang tidak boleh dikomen atau dikritik dalam suatu keadaan yang menjejaskan keyakinan rakyat.
Jika seseorang hakim melampaui batas tugas profesionalisme, beliau mesti dipertanggungjawabkan. Rakyat berhak mengetahui hal-hal yang berlaku di dalamnya. Apatah lagi jika sesuatu itu melibatkan isu-isu keadilan dan hak menegur perkara yang menjejaskan imej sesuatu institusi.
Suatu ketika di tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, kehakiman Malaysia tidak sunyi dari permasalahannya sendiri. Masih diingati pada 1988 Tun Salleh Abas dipecat daripada jawatan Ketua Hakim Negara. Beliau dipecat melalui kuat kuasa sebuah tribunal yang ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan atas tuduhan salah laku susulan tindakannya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Beliau mengadu hal tentang ucapan dan kenyataan Perdana Menteri mengenai hakim dan kehakiman yang dirasakannya membawa kesan negatif kepada kehakiman. Pemecatan tahun 1988 itu membawa kesan atau ramifikasi yang meluas. Malah di kalangan mereka yang mahir dalam perundangan berpendapat sesuatu krisis atau skandal kehakiman akan memakan tempoh yang lama, sebelum menghilang sebagai peristiwa yang prejudis.
Pemecatan Salleh beroleh bantahan menyeluruh. Ini termasuk daripada beberapa para hakim sendiri, parti-parti politik, Majlis Peguam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Tun Salleh dikatakan telah tidak beroleh peluang secukupnya untuk membela diri. Pada masa sama ada pula pihak mendakwa pemecatan itu dilakukan lantaran kes UMNO di Mahkamah Agung pada masa itu yang hendak diputuskan oleh Salleh dengan panel hakim pilihan beliau mungkin tidak menyebelahi kepentingan pucuk pimpinan UMNO.
Kononnya pihak-pihak berkuasa takut dan khuatir dengan kemungkinan yang negatif itu. Keputusan mahkamah tentang nasib UMNO yang diharamkan oleh Mahkamah Tinggi mungkin menularkan hasil yang tidak akan memberi kesan positif kepada pimpinan dan perjuangan UMNO keseluruhannya waktu itu.
KEBEBASAN KEHAKIMAN LAWAN ‘PENGIKTIRAFAN’
Begitu ramai pihak yang mengutarakan pandangan dari hal peristiwa kehakiman ini. Pihak-pihak yang membela dan mengkritik semuanya mempunyai perhitungan sendiri. Akhirnya Salleh kecundang. Beliau dipecat oleh Tribunal yang dipengerusikan oleh Tan SriAbdul Hamid Omar, hakim yang menyandang jawatan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Hakim Wan Sulaiman dan George Seah turut menerima pemecatan susulan keputusan Tribunal. Boleh dikatakan anggapan umum terhadap kehakiman Malaysia mula berubah selepas peristiwa itu. Dikatakan pemecatan Salleh adalah akibat sikapnya yang terlalu mengutamakan kebebasan kehakiman, sedangkan beliau kurang mengiktiraf pengaruh, kesan dan kuasa eksekutif yang sentiasa diperlukan oleh semua cabang pentadbiran kerajaan.
Badan kehakiman kemudiannya masih tidak pernah sunyi bila mana negara turut digemparkan dengan tindakan agak aneh bagi seorang ketua kehakiman melangsungkan percutiannya dengan seorang peguam yang diketahui banyak berjaya dalam kes-kes kendaliannya di hadapan hakim tertentu.
Sistem common law mahupun sistem syariah sama-sama mencemuh hal ini. Pengetahuan peguam di Kuala Lumpur tentang hubungan rapat Tun Eusoff Chin dengan peguam itu sudah lama berkisar di ibu kota dan di internet. Lagipun dalam sejarah kehakiman dan undang-undang di negara ini tidak pernah seorang Ketua Hakim Negara lantas bercuti secara akrab dengan seseorang peguam yang sering menghujahkan kepentingan pelanggannya di hadapan mahkamah undang-undang yang di bawah kawalannya.
Amalan yang diterima pakai ialah bahawa seseorang hakim itu tidak seharusnya menerima socialising atau pergaulan bebas seperti itu sebagai normal atau biasa. Dan jika dilakukan juga barang sudah tentu melanggar etika hakim dan kehakiman.
Tun Eusoff menafikan bahawa pemergian beliau ke New Zealand pada Disember 1994 itu adalah secara dirancang. Pendiriannya yang sedemikian tidak diterima oleh media atau badan-badan peguam. Ada beberapa lagi insiden yang menggugat badan kehakiman. Pada pertengahan tahun 90-an kehakiman tanah air mula dikaitkan dengan kisah surat layang yang mendedahkan pelbagai masalah dan penyelewengan dalam badan kehakiman.
Antaranya apabila seorang hakim cuba menyebarkan berita dan kisah mengenai kecurangan atau salah laku beberapa orang hakim peringkat tinggi pada 1997, yang akhirnya beliau pula disingkirkan atas kesimpulansalah laku. Walaupun dalam hal tersebut ‘lain yang bengkak, lain pula yang meletus’, seseorang itu langsung tidak boleh berbuat apa-apa tanpa bukti.
Lantaran tindakan yang berlandas kepada undang-undang hanya boleh diambil berasaskan bukti dan keterangan, banyak kes salah guna kuasa dan rasuah hilang begitu sahaja. Bersih hakim, bersihlah sistem kehakiman. Jika ada pihak-pihak
yang masih tidak mahu memahami akan niat suci itu, ia bukanlah sesuatu yang harus digusarkan – selagi ketua kehakiman itu berpegang kepada pendirian dan prinsipnya yang benar dan telus. – UTUSAN