Mewarisi legasi itu payah - Utusan Malaysia

Mewarisi legasi itu payah

Sekitar tahun 1929 ketika itu polis Palestin melakukan spot check seorang Yahudi di pintu Yafa. Suasana begitu aman di Palestin waktu itu. Yahudi boleh hidup damai di bawah pemerintahan orang Islam. Namun pada 1948, Palestin hancur di tangan Yahudi. Negara haram Israel dirasmikan. Banyak pengajaran dan iktibar boleh dikutip untuk mereka yang berfikir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEBOH pasal pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), persempadanan semula bahagian pilihan raya serta satu dua isu berkisar anak bangsa. Ada ketika turut berbaur sentimen.
Semua ini perlukan orang Melayu berfikir dan menilai. Apa kesannya kepada survival bangsa.
Pesan cendekiawan – jangan malu jadi orang berbangsa. Jangan malu jadi Melayu. Tidak perlu rasa segan bila bercakap tentang hala tuju dan masa depan bangsa sendiri.
Yang paling penting, tidak perlu apologetik dengan orang lain kerana ini tentang kita. Kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi.
Sedangkan pihak di sebelah sana tetap memperjuangkan hak orangnya.
Namun jadi orang berbangsa, besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata, tetapi diri sendiri perlu dahulu cerdik. Bawa diri dan keluarga ke hadapan. Jadi contoh bina hidup berkualiti. Lepas itu baru membawa ke impak masyarakat Melayu.
Orang berbangsa, bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.
Beringatlah, tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum – melalui kontrak sosial. Getir, lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati. Tanpa menjarah hak sesiapa.

KONTRAK SOSIAL
Teras kontrak sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas jus soli, namun ia perlu bertimbal balas. Iaitu – dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Secara menyeluruh, semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.
Dan sekali gus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Terlalu besar pengorbanan orang Melayu. Apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal balas.
Dan hari ini selepas 66 tahun merdeka jika orang Melayu tidak sensitif terhadap isu-isu bahasa dan agama, kelak natijah dialami tidak lama. Barangkali 10 ke 15 tahun mendatang ini.
Sebab itu sensitiflah akan setiap isu berlegar di sekeliling. Bukan setakat kos hidup yang menghimpit semata.
Suatu ketika kita naik hairan bila mana ada menteri besar tak tahu menahu pasal isu papan tanda bukan bertulisan bahasa kebangsaan. Sehinggakan perlu campur tangan Sultan.
Padahal, segala kuasa melibatkan kerajaan negeri adalah di bawah PBT. Mesyuarat Exco luluskankah? Siapa pengerusikan mesyuarat Exco?
Persoalannya, apa motif pemasangan papan tanda jalan dalam bahasa bukan bahasa kebangsaan? Untuk pelancongan?
Pernah beberapa bulan selepas sebuah parti berkuasa di sebuah negeri sekitar Oktober 2008, mengumumkan telah meluluskan permohonan majlis perbandaran untuk memasang papan tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan tapak warisan.
Ini sehinggakan bantahan yang diterima ada logiknya. Antaranya jika sebab pelancongan pun memang tidak boleh diterima kerana pelancong datang untuk mengenali keunikan negara ini. Bukannya hendak tahu pasal jalan.
Lagi pula bahasa bukan isu kerana bahasa Melayu menggunakan abjad-abjad Roman. Sesiapa pun tahu baca.
Elok kita sama-sama hayati petikan ucapan seorang bekas pegawai berbangsa Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu sebelum merdeka.
O.T. Dusseck pada 1935 memberitahu penuntut-penuntutnya bahawa ada tiga tenaga pendorong dalam hidup ini iaitu agama, adat resam dan bahasa. Tegasnya: “…bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupakan hakikat itu.
“Pelihara bahasa kamu itu. Berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu”. (The Straits Times, 1935)
Ucapan Dusseck memberi gambaran jelas keyakinan beliau bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu sama tarafnya dengan bahasa-bahasa antarabangsa.

SENSITIF
Banyak isu yang berlegar dan melingkari hidup kita hari ini di Malaysia. Benar!, jangan sewenang-wenang memainkan isu perkauman dan agama. Namun orang Melayu harus peka dan sensitif supaya hasil atau keputusan yang dicapai tidak mendatangkan kerugian di masa depan.
Isu pilihan raya PBT, persempadanan semula kawasan pilihan raya, pengukuhan bahasa Melayu serta sebenarnya banyak lagi isu yang berlingkar sehinggalah ke soal kos sara hidup – yang perlu sama-sama difikirkan. Jangan letak tanggungjawab ini sepenuhnya kepada orang politik untuk selesaikan.
Ingat seperkara ini – mewarisi legasi itu payah.
Justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu ibarat pelaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan.
Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-kata hikmatnya “Takkan Melayu hilang di dunia” tidak lagi menjadi kenyataan.
Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita.
Akhirnya akan hilang hikmatnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya