Membuktikan kesalahan membunuh di jalan raya - Utusan Malaysia

Membuktikan kesalahan membunuh di jalan raya

Pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melanggar pelajar lelaki hingga maut di Jalan Taman Jati dekat Meru, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING kita terbaca berlaku kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian dan ia dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. Seksyen ini adalah seperti berikut:
Menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan:
41. (1) Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan di jalan dengan melulu atau dengan laju setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu) dan berbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang, ia adalah melakukan suatu kesalahan.
Maka apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
Bagaimanapun, seseorang pemandu kenderaan juga boleh dituduh di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum mati atau penjara sehingga 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12, penjara berdasarkan pemansuhan hukuman mati mandatori baru-baru ini.
Seperti yang dinyatakan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Timbalan Menteri.
“Dengan pemberian budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati, mahkamah boleh mengambil kira prinsip undang-undang yang terpakai dalam memutuskan sama ada hukuman mati perlu dikenakan iaitu antara lain terdapat anggapan yang memihak kepada hak seseorang untuk hidup yang tidak terbatas, (unqualified right to life).
“Pertimbangan prinsip seterusnya adalah di mana hukuman mati boleh dikenakan dalam kes-kes yang sesuai dan mahkamah mempunyai peranan untuk menentukan kes-kes yang sesuai tersebut berdasarkan antara lain precedent ataupun dahuluan di dalam kes-kes serupa di negara-negara lain seperti India yang juga telah pun menghapuskan hukuman mati mandatori. Prinsip-prinsip yang harus dipertimbangan termasuk faktor mitigasi dan pemberatan ataupun mitigating and aggravating factors.”
Sebagaimana di dalam prinsip undang-undang jenayah sesuatu perbuatan jenayah itu mesti bersama dengan niat.
Oleh itu, dalam kes-kes kemalangan jalan raya adalah penting keterangan berkaitan niat seseorang itu diikuti dengan perbuatannya dibuktikan untuk mendapat satu sabitan.
Niat di dalam sesuatu kes bunuh dapat dilihat dengan beberapa inferens contohnya, senjata yang digunakan, sifat kecederaan yang dialami dan adakah kecederaan yang dialami pada lazimnya akan menyebabkan kematian atau adakah perbuatannya itu sangat berbahaya dan akan menyebabkan kematian.
Umpamanya, menghayun sebatang besi dan memukul ke arah kepala si mati atau melanggar dengan sengaja seseorang berkali-kali setelah melihat si mati cedera terbaring dengan kenderaan yang dipandunya.
Perkara kedua, adakah kecederaan pada si mati itu dalam keadaan biasa akan menyebabkan kematian? Pemandu yang memandu kenderaannya perlu di buktikan bahawa perbuatannya itu adalah sungguh berbahaya dan dalam keadaan lazim boleh menyebabkan kematian.
Kes PP lawan Datuk Mahfar Sairan pada 1999 adalah satu kes yang mana tertuduh dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh telah melanggar isterinya ketika dia mengundurkan kereta di hadapan rumahnya di Gombak.
Isteri bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu telah memegang cermin tepi kereta dan tertuduh tidak menyedari tentang itu walaupun ada terdengar jeritan suara seorang perempuan. Lalu dia memandu terus. Isteri tertuduh meninggal dunia akibat daripada dilanggar oleh kereta tertuduh.
Adakah perbuatannya itu adalah sesuatu yang sangat bahaya yang lazimnya menyebabkan kematian atau adakah perbuatannya adalah kecuaian? Ia menjadi persoalan di dalam kes ini.
Mahkamah memutuskan daripada keterangan bahawa semasa kejadian tertuduh tidak menyedari dan tiada pengetahuan bahawa tindakannya menyebabkan kematian kepada isterinya.
Namun mahkamah berpendapat, tertuduh adalah cuai dalam pemanduannya tanpa mengira keadaan isterinya yang berada berhampiran dengan kenderaannya.Tingkah laku tertuduh selepas kejadian tidak menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk membunuh.
Oleh itu, dia tidak disabitkan dengan kesalahan membunuh dengan niat tetapi disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 304A menyebabkan kematian akibat kecuaian dan dihukum penjara selama enam bulan.
Daripada kes tersebut adalah jelas unsur pengetahuan adalah satu perkara yang penting iaitu adakah dia mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya itu berbahaya dan daripada itu telah menyebabkan kematian kepada seseorang?
Dalam satu kes di India, sebuah kereta telah melanggar dan mengheret si mati sejauh beberapa kilometer walaupun menyedari keadaan si mati yang tersangkut pada bawah kereta telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ia dikenali sebagai Kes Khanjawala.
Di dalam kes juga di India, Alister Anthony Pariera v. State of Maharashtra, (2012) 2 SCC 648 47, mahkamah memutuskan bahawa sekiranya pemanduan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kematian maka Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah terpakai.
Di dalam kes Prabhakaran v. State of Kerala. seorang pemandu bas telah memandu laju dan diberikan amaran oleh penumpang supaya memandu perlahan kerana terdapat kanak-kanak sekolah sedang melintas jalan dan telah melanggar seorang kanak- kanak dan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
Pemandu dituduh di bawah Seksyen 302 kanun Keseksaan. Namun mahkamah mendapati tiada keterangan pemandu bas itu mempunyai niat untuk menyebabkan kematian dan disabitkan di bawah Seksyen 304 Kanun yang sama iaitu membunuh tanpa niat.
Dengan demikian sesuatu fakta kes yang dituduh membunuh itu di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan adalah sangat penting untuk mahkamah membuat keputusan yang betul bagi kedua-dua pihak. Ini adalah untuk menegakkan keadilan kepada mangsa dan keluarganya.

DATUK SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya