Mukadimah
ENTAH di mana silapnya, serangan demi serangan ditujukan terhadap MCA sejak kebelakangan ini. Beberapa isu hangat disentuh terutama berkaitan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera, sokongan orang Cina dan niat untuk ‘bergerak’ secara solo.
Justeru, ada yang melihat hubungan MCA dan parti gabungan terutama UMNO bagai retak menanti belah.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Setiausaha Agung MCA, DATUK CHONG SIN WOON bagi mendapatkan pandangannya.Turut membantu, jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI
EKONOMI MASIH TAK MENENTU
MINGGUAN MALAYSIA: Pandangan Datuk terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas setahun?
CHONG SIN WOON: Ada banyak pandangan yang sebahagiannya kata ‘lulus’ dan ada juga kata sebaliknya.
Cuma yang pasti selepas setahun Kerajaan Perpaduan tertubuh, ia tidak mencapai jangkaan sebagaimana ketika awal-awal sokongan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Selepas setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan, banyak masa diberikan terhadap gelombang hijau dan memberi fokus melawan Pas sehinggalah habis Pilihan Raya Negeri (PRN). Akan tetapi nampaknya ekonomi masih tidak menentu.
Selepas setahun apa yang kita dapat daripada maklum balas khusus dalam kalangan masyarakat terutama peniaga, tidak ada dasar polisi jelas di sebalik pengumuman pelaburan dan pelbagai majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
Kita perlu ingat ekonomi bukan berdasarkan kepada angka-angka berbilion itu atau MoU. Rakyat sengsara disebabkan kejatuhan nilai ringgit dan inflasi. Malah, kita juga hadapi masalah kekurangan bekalan makanan seperti telur, ayam, beras, gula dan minyak.
Di samping itu, keputusan kerajaan yang menarik balik subsidi untuk golongan tertentu dan menstrukturkan semula ekonomi kelihatan daripada segi teori bagus, tetapi rakyat realitinya ada yang masih susah sebab ia tidak melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia.
Bayangkan dalam satu sudut, kita lihat kerajaan peka nasib golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi di satu sudut berlainan, golongan berpendapatan tinggi dan menengah (M40) merasa ditekan selepas langkah penarikan subsidi dalam beberapa perkara dibuat selain kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak lapan peratus.
Justeru kita berada dalam suasana rakyat yang tiada keyakinan terhadap perkembangan ekonomi masa depan.
KAUM CINA TAK FAHAM MADANI
Adakah konsep Madani sukar difahami bagi masyarakat Cina dan adakah pendekatan Malaysia terlalu agresif dalam isu Palestin?
Sebenarnya masyarakat Cina tidak faham kerana konsepnya bukan sebagaimana yang pernah diperkenalkan seperti Perdana Menteri sebelum ini yang mudah difahami. Kita boleh ambil contoh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan Keluarga Malaysia dan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia.
Untuk pengetahuan awak, Madani ini dalam bahasa Cina bermaksud ‘Chang Ming’ iaitu makmur dan tamadun yang moden. Tetapi apakah Madani dalam kerangka yang lebih luas?
Sementara itu, dalam aspek mengurus isu Palestin ini, kalau lihat pada sejarah semua Perdana Menteri menghadapi isu ini dan mereka ada pendirian sama iaitu memberi sokongan kepada Palestin.
Memang betul kita ada krisis kemanusiaan. Tetapi pendekatan kali ini mengundang kepada kecaman dari Barat. Persoalannya, mengapa dulu tidak?
Rakyat Malaysia juga tiada isu dan semua kaum merasakan patut sokong Palestin. Pendekatan itu memberi kesan kepada hubungan antarabangsa. Mungkin kita perlu gunakan pendekatan lebih baik seperti dulu.
KESAN ROMBAKAN KABINET
Adakah barisan Kabinet yang dilantik baru-baru ini mampu melonjak Malaysia ke peringkat lebih tinggi?
Saya rasa ada dua reaksi utama. Pertama, kebaikannya seperti lantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi walaupun ia tidak berapa kena pada tempatnya. Ramai menjangkakan beliau menjadi Menteri Kewangan Kedua. Begitu juga lantikan Menteri Kesihatan iaitu Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad.
Bagaimanapun lantikan Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital memberi kesan kepada pasaran saham telekomunikasi. Kalau kita lihat pasaran sangat sensitif dan semua harga saham telekomunikasi seperti Digi, Celcom dan Maxis jatuh pada masa itu.
Maksudnya pasaran tidak yakin dengan Menteri Komunikasi sekarang iaitu Fahmi Fadzil dan berharap beliau ditukarkan. Mengapa?
Sebabnya cara Fahmi dan timbalannya, Teo Nie Ching yang sering ‘menyalahkan’ Google, Meta dan platform lain semestinya memberi kesan.
Untuk pengetahuan awak, kita sendiri sudah jauh ketinggalan berbanding Singapura. Di sana (Singapura), 50 peratus daripada keseluruhan pelaburan teknologi informasi dan pasaran di Asia Tenggara bertumpu di negara berkenaan, walhal harga elektrik dan sewa lagi tinggi berbanding Malaysia. Kerajaan sepatutnya lihat perkara ini.
Kalau hendak jadi seperti Singapura, kita perlu tarik pelaburan lebih besar menjadikan Malaysia sebagai pusat sehenti pangkalan data dengan tertumpu kepada microchip.
PELABURAN TIDAK SAMPAI
DALAM PENDIDIKAN
Sebagai seorang yang pernah berada dalam Kementerian Pendidikan, adakah peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dikembalikan?
Saya faham kenapa dimansuhkan UPSR sebagaimana perubahan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kita tidak mahu menetukan masa depan anak- anak daripada segi peperiksaan sahaja.
Trend dunia sekarang memfokuskan dunia pendidikan yang tidak hanya dinilai daripada pembacaan (teori) sahaja.
Saya bagi contoh. Mungkin hari itu dia tidak sihat dan tidak dapat datang peperiksaan, sekaligus memberi kesan kepada keputusannya nanti serta hala tuju ke arah mana. Kaedah itu sudah kolot dan tidak mempunyai satu dasar yang membangunkan manusia.
Penilaian untuk masuk ke universiti terbaik dunia tidak melihat kepada berapa banyak ‘A’ yang seseorang itu dapat. Ia berdasarkan kreativiti, pandangan jauh dan aspirasi.
Saya pernah berada dalam kementerian dan kita beri fokus kepada subjek yang tidak ada kaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana itu asas membangunkan negara kita.
Kalau semua berteraskan sastera, apa akan terjadi dalam aspek kejuruteraan, perusahaan dan teknologi moden?
Kalau pelabur masuk dan mahu mencari pekerja yang berlatar belakangkan ketiga-tiga elemen berkenaan, sudah pasti sukar.
Kita perlu ingat pendidikan ini bukan sahaja hanya melatih anak-anak kita tetapi ia membentuk ke arah ekonomi lebih baik untuk jangka masa panjang, lebih-lebih lagi Kementerian Pendidikan antara agensi yang menerima dana dan perbelanjaan terbesar kerajaan.
Pada saya, pelaburan kita tidak sampai sebenarnya dalam sektor pendidikan.
MANA SEMANGAT PERPADUAN?
Tidakkah berasa janggal apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan tetapi tidak membantu DAP?
Kita tidak diberikan apa-apa peranan dalam Kerajaan Perpaduan selain jawatan (dalam parti). Bukan sahaja tidak diberikan peranan, tetapi yang sepatutnya ada lantikan daripada MCA, semua dibatalkan.
Contohnya, kita mempunyai lantikan pegawai di setiap kampung baru Cina. Malangnya, mereka ditamatkan kontrak semua sekali.
Maka kita protes melalui BN dua kali dan saya buat surat kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Beliau kata sudah diberitahu pada Anwar. Persoalannya, kenapa semua pegawai di situ yang patut dilantik, dibatalkan lantikan dan diganti dengan DAP?
Mana semangat perpaduan? Kalau itu caranya, macam mana awak mahu suruh ahli MCA bantu DAP?
Perlu diingat. It takes two hands to clap. Sebagai sebahagian kerajaan, apa yang mereka (DAP) buat untuk kita? Apabila dilantik sebagai menteri, terus semua lantikan MCA ditamatkan. Tiada perbincangan langsung.
Sekarang ini adakah kita betul-betul dalam Kerajaan Perpaduan dan apa lagi peranan yang diberikan kerajaan kepada kita? MCA lantang sebagai semak dan imbang kerana kita banyak pengalaman di semua kementerian berlainan. Sebab itu, kita beri kritikan, tapi DAP tidak terima.
Terdapat beberapa kritikan keras yang dilontarkan pemimpin UMNO terhadap MCA. Komen Datuk?
Itu lumrah dan hanya sekarang sahaja timbul isu ini. Tetapi, ia bukanlah pendirian rasmi parti dan lebih kepada individu.
Bagi saya kalau boleh kita kurangkan untuk rakyat lihat. Kalau dulu zaman Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, apabila berlaku perbalahan atau pertikaman lidah, beliau akan hentikan dan bawa ke meja perbincangan. Selepas zaman tersebut situasi menjadi lebih demokrasi. Kritikan sepatutnya perlu lebih membina dan boleh ‘dibaca’. Sama juga macam MIC.
BUKAN RUNNING DOG UMNO
Adakah MCA masih relevan terhadap masyarakat Cina selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan?
Sudah Pasti. Kalau kita lihat, BN dan MCA sendiri kalah teruk pada 2018 buat pertama kali. Selepas itu tidak sampai setahun berlaku PRK Tanjung Piai.
Sokongan masyarakat Cina kepada MCA ketika itu yang turun sehingga mencecah 10 ke 15 peratus terus naik kepada 60 peratus dan akhirnya kita menang besar.
Perlu diingat masyarakat Cina undinya tidak statik dan berubah mengikut isu dan sentimen.
DAP mempunyai Deklarasi Setapak sebelum ini dan mahu kesamarataan etnik mendapat sokongan kaum Cina serta India. Mereka menggunakan isu ini. Selepas jadi kerajaan adakah mereka masih memperjuangkannya ?
Begitu juga dengan sijil peperiksaan bersepadu (UEC) yang turut terkandung dalam manifesto mereka dalam beberapa siri PRU. Mahu hapuskan itu dan ini. Sekarang bagaimana? Senyap? Justeru masyarakat Cina sekarang dilema kerana mereka mula melihat realitinya.
Apabila mereka tidak lagi percaya kepada satu parti dan ada parti seperti MCA yang masih kekal, mereka akan sedar apa yang MCA buat sejak ditubuhkan dahulu. Kesederhanaan, sering berbincang dan tidak membuat tuduhan terhadap kaum lain.
Sebelum ini ada yang gelar kita macam-macam termasuk running dog UMNO. Kita memang tidak mahu rasis dan BN ada wakil bangsa semua kaum. Kita tahu cara mengurus tadbir negara.
Datuk antara pemimpin muda berpotensi menerajui MCA. Apakah hala tuju MCA jika dipilih nanti?
Walau apa pun, MCA mempunyai hala tuju jelas dan kita ada satu kuasa penting untuk memastikan kerajaan sentiasa mengikut jalan ‘tengah’ berasaskan Perlembagaan.
Sebab, ia kontrak sosial dan kita mungkin hendak cari penyelesaian lebih baik. Dulu saya selalu sebut kita mahu menjadi sebagaimana zaman kegemilangan Melaka. Salah satu sebabnya adalah lokasi dan cara mengamalkan dasar terbuka untuk pedagang Cina, India, Arab dan pelbagai lagi.
Jadi, wujud kepelbagaian termasuk bahasa dan masyarakat. Malah daripada sejarah inilah ia menjadi tempat pertemuan tamadun dunia. Kita terima balik keadaan sebagaimana waktu dulu.
PERANAN MENANGKAN BN
Sejauh mana MCA boleh memainkan peranan kepada BN untuk raih sokongan masyarakat Cina pada PRU16 nanti?
Sehari dalam politik terlalu panjang. Datuk Seri Anwar apabila kalah dalam PRN Sarawak dulu ramai desak supaya dia turun dan letak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Namun sekarang beliau jadi Perdana Menteri.
Jadi, dalam isu kekalahan BN, kalau awak nak kata MCA tidak relevan atau MIC dan UMNO juga begitu, kita semua tidak tahu masa akan datang.
Di samping itu, perlu diingat, politik ini turut dipengaruhi politik antarabangsa. Awak tidak tahu apa jadi di rantau ini sehingga masyarakat akan memilih BN semula.
Saya pernah jumpa Dewan Perniagaan Taiwan. Wakil mereka memberitahu kebanyakan pelabur dari negara berkenana memilih Johor dan Selangor untuk melabur.
Sebabnya, ia ditadbir oleh BN dan mereka yakin dengan dasar ekonomi BN yang lebih terbuka. Kita tidak tahu mungkin selepas ini rakyat akan kata “ Cukuplah, kita perlu kembali kepada parti asal iaitu BN”. Bagaimanapun kita dalam sama perlu berubah dan lakukan reformasi terlebih dahulu.
MCA selesa berada dalam Kerajaan Perpaduan selepas setahun ditubuhkan?
Setakat ini kita masih setia bersama BN walaupun kita tidak bertanding dalam enam negeri dan kita sentiasa membantu BN dalam apa jua aspek. Ia pendirian jelas yang tidak melibatkan parti lain (DAP).
Awak boleh tengok cara kerja kita di Pelangai. DAP ini lain, ahli tidak ramai tetapi sokongan mengikut isu dan sentimen. Sama juga dengan PKR. Kalau isu dan sentimen betul, sokongan akan pergi kepada mereka.
PKR kalah di Melaka dan Sarawak menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN). Cuma menang satu kerusi di Johor. Sebabnya, isu tidak betul dan waktu itu rakyat mahukan kestabilan, justeru BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipilih.
Berbanding dalam PRU14, Pakatan Harapan (PH) berjaya timbulkan satu isu sehingga berjaya tumbangkan BN sedangkan kita ada akar umbi sendiri. Tengok di Pelangai berapa banyak senarai nama, ahli dan penyokong yang dapat kita keluarkan. Jadi, kita tahu berapa jumlah sokongan yang ada. – Mingguan Malaysia