Covid-19 telah diterima sebagai salah satu penyakit berjangkit yang ‘endemik’ iaitu penyakit yang ada di merata tempat di dalam komuniti dan sukar dihapuskan secara total. Oleh itu, dijangka kes muncul dari semasa ke semasa, dan ‘berlegar’ dalam komuniti. Ia juga dianggap hanya menyebabkan penyakit ‘ringan’, tidak terlalu virulent (bahaya) dan berupaya pulih sendiri walaupun tanpa rawatan khas.
Sejak awal 2023, bilangan kes adalah agak stabil dan tidak menaik dengan mendadak, malah kes Covid-19 adalah dianggap biasa, tidak perlu memasuki wad dan tidak juga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) melainkan kes dengan simptom dan tanda yang berat. Kes berat hanya pada kes-kes keparahan tinggi, dan mungkin memerlukan bantuan pernafasan oksigen dan ventilasi mekanikal.
PERLINDUNGAN VAKSIN
Perlindungan oleh vaksin untuk Covid-19, memang telah dibuktikan, tidak dapat bertahan lama. Banyak kajian menunjukkan neutralizing antibody di dalam badan penerima akan menurun mengikut masa. Ini menyebabkan pertahanan badan melawan varian Covid-19, juga menurun.
Satu lagi kesukaran mengapa antibodi tidak bertahan lama adalah kerana varian yang dilindungi vaksin dibentuk adalah dari yang sudah sedia ada dan lama, tetapi ia adalah berbeza dengan varian Covid-19 yang baru berlegar sekarang.
Maka vaksin sedia ada tidak melindungi dengan baik. Kajian bertajuk Antibody Duration After Infection From SARS-CoV-2 in the Texas Coronavirus Antibody Response Survey menunjukkan perlindungan hanya bertahan selama 500 hari. Ini memandangkan virus Covid-19 akan berubah iaitu akibat mutasi varian-variannya.
Perubahan varian Covid-19 dunia ini dipantau oleh Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution, WHO yang ditubuhkan sejak 2020. Buat setakat itu, malah varian yang ada kurang berbahaya dan tidak terlalu virulent sungguhpun ia mudah berjangkit. Tetapi, janganlah kita alpa, kerana tidak mustahil varian baru dan ganas boleh muncul dan berupaya menyebabkan kematian besar-besaran global.
Golongan paling berisiko adalah warga emas yang mempunyai penyakit-penyakit (dikenali sebagai komorbiditi) lain kerana sistem imun mereka lemah. Maka rakyat perlu prihatin dan menjaga diri sendiri.
Golongan rentan dan sesiapa yang berasa berisiko, maka eloklah memakai penutup muka, kekalkan higen diri seperti kerap membasuh tangan dan elakkan bersesak-sesak.
Dikatakan vaksin baru yang sedang disediakan, adalah untuk menentang Covid akan mempunyai perlindungan terhadap beberapa jenis varian. Tetapi ini masih belum diimplementasi lagi, dan WHO masih menggunakan vaksin antigen jenis monovalent XBB.1.5 dan dikatakan mempunyai perlindungan menyeluruh yang lebih baik. Menurut WHO, variant XBB termasuk XBB.1.5, XBB.1.16, EG.5, HK.3 dan HV.1 merupakan 73% dari variant genetik C19 yang berlegar sekarang.
VAKSIN PENGGALAK
Dos penggalak (booster dose) sangat membawa manfaat untuk mengelakkan jangkitan Covid yang berulang dan keparahan tinggi. Buat masa kini, selain dua dos vaksin primer, dua lagi dos vaksin penggalak sudah disediakan.
Isunya adalah masalah varian, selalu bermutasi dan menghasilkan varian baru yang lebih mudah berjangkit, tetapi tidak begitu parah melainkan terhadap golongan rentan. Jadi, orang rentan perlu memakai penutup muka, menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan, jaga berat badan dan berhenti merokok.
Rakyat harus compliant kepada ubat-ubatan sedia ada jika turut menghidap penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung untuk mengurangkan komplikasi penyakit sedia ada. Kita juga perlu menjaga berat badan, kerana obesiti turut meningkatkan risiko utk keparahan penyakit.
Kenyataan dari CDC, Amerika mengatakan lebih berat badan dan obesiti meningkatkan risiko jangkitan, kemasukan ke wad dan kematian akibat Covid-19 ke hampir tiga kali ganda berbanding yang normal berat badan.
Pada masa sama, rakyat digalakkan menerima suntikan influenza kerana simptom mereka adalah mirip dan menyukarkan kepastian Covid-19, melainkan melalui ujian kendiri/ujian makmal.
SIMPTOM BERAT
Untuk rakyat yang mempunyai simptom penyakit yang berat, eloklah mendapatkan ujian pemastian di klinik atau hospital kerana ada beberapa penyakit lain boleh memiripi Covid-19, seperti influenza, Respiratory Syncitial Virus (RSV) dan pneumonia (radang paru-paru).
Liputan penerimaan dos penggalak pertama, pula hanya 50.1% dan ini dianggap masih kurang memuaskan. Ini kerana antibodi, selepas divaksin, keberkesanan perlindungan akan menurun selepas antara lima ke enam bulan, maka dos penggalak adalah digalakkan pengambilannya.
Kalau terdapat rakyat yang masih belum menerima vaksin penggalak, dapatkanlah vaksin Covid-19, malah juga vaksin influenza. Kanak-kanak dan remaja yang belum menerima vaksin, sesuailah mendapatkan vaksin Covid-19 juga kerana jangkitan turut berlaku dalam kalangan pelajar yang duduk di sekolah dan asrama.
Masa ini juga sesuai untuk perokok berhenti merokok kerana merokok memburukkan simptom jangkitan Covid-19 (rokok merosakkan paru-paru). Terdapat kajian dari jurnal saintifik Thorax bertajuk Smoking and Covid-19 outcomes: an observational and Mendelian randomisation study using the UK Biobank cohort, menunjukkan merokok meningkatkan risiko jangkitan sebanyak 45%, dan meningkatkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 60%.
Liputan dos penggalak yang kedua di Malaysia, setakat ini hanyalah 2.5% kerana ramai beranggapan bahaya sudah berlalu dan tidak perlu dirisaukan lagi manakala ramai juga berpendapat vaksin ini mempunyai kesan sampingan tinggi dan berbahaya. Ini tidak dinafikan, setiap vaksin akan mempunyai kesan sampingan, tetapi kesan sampingan vaksin adalah rendah berbanding risiko jangkitan alami Covid-19 itu sendiri.
Dari data KKMNow, dikenalpasti masih ada berapa negeri yang liputan dos penggalak pertama adalah rendah, ini termasuk Kelantan iaitu 17.9%, Terengganu 28.4%, Perlis 31.4% dan Pahang 37.8%. Negeri-negeri ini patut berusaha melaksanakan kempen vaksinasi untuk liputan penggalak pertama, terutama jika dilihat banyak jangkitan baru dikenalpasti melonjak di negeri-negeri tersebut.
Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh ialah Pakar Perubatan Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).