KENAPA tidak ada yang kisah bila ramai juga lelaki di negara ini memilih untuk membujang walaupun usia sudah melepasi 40-an?
Tetapi kalau wanita lambat sikit berumahtangga, laju saja pihak yang melahirkan kebimbangan, mahu menjadi penyelamat dan menganggap isu ini sangat penting untuk diperjuangkan termasuk pemimpin politik.
Saya rasa ramai pun tidak fikir sangat siapa yang masih bujang terlajak di sekeliling mereka, lelaki atau wanita kerana itu bukan masalah besar pun berbanding banyak lagi isu kehidupan dan persekitaran yang lebih utama untuk ditangani.
Mereka yang belum berkahwin ini pun tidak menimbulkan masalah, ada ramai yang kukuh kewangan dan stabil kehidupannya. Menjalani hidup yang bahagia dan sejahtera. Senang cakap, tak kacau sesiapa.
Jadi, bila ada Ahli Parlimen yang menganggap isu wanita yang belum berkahwin satu masalah dan membuat kenyataan sebegitu di Dewan Rakyat baru-baru ini, percayalah YB, janganlah buang masa sangat bertekak benda-benda begini.
Banyak lagi isu rakyat yang susah dan terpinggir daripada kemajuan boleh diketengahkan untuk tindakan.
Tetapi itulah sebenarnya keunikan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sebabnya, kita juga bertuah kerana mempunyai golongan lelaki yang amat mengambil berat tentang wanita terutamanya nasib wanita yang belum berkahwin.
Membela nasib wanita itu sangat bagus. Siapa kata tak bagus. Tetapi lebih baik, tengok dulu isu wanita-wanita yang tidak diberi nafkah, diabaikan, dianiaya, didera fizikal dan mentalnya oleh suami sendiri yang tidak bertanggungjawab.
Berapa ramai isteri di negara ini yang dibiarkan dan ditinggalkan terkontang-kanting mencari rezeki untuk menyara keluarga, manakala suami entah ke mana – lagak seperti orang bujang. Masa bujang dulu heboh hendak kahwin, bila sudah kahwin mahu kembali bujang?
Yang inilah baru betul-betul dikatakan masalah. Ia menyusahkan kehidupan wanita berkenaan. Apatah lagi jika wanita itu menanggung anak yang ramai. Ini yang patut dikasihani.
Saya setuju bahawa isu dan permasalahan wanita jangan disempitkan dengan soal belum lagi dapat jodoh.
Ada yang lambat berkahwin sebab menyambung pelajaran, memberi keutamaan dulu pada kerja dan ada juga menjaga ibu atau bapa yang uzur. Bimbang bila berkahwin, ibu bapa terabai pula kerana sudah punya keluarga sendiri.
Golongan belum berkahwin ini tidak kira wanita atau lelaki punya alasan sendiri. Ada yang belum bersedia untuk komitmen, belum cukup wang, ada yang tidak mahu terikat dan ada yang menganggap perkahwinan sesuatu yang menakutkan kerana faktor sekeliling juga.
Maka timbul juga persoalan adakah isu lelaki masih belum berkahwin di usia lanjut dan enggan berkahwin tidak menarik untuk diperkatakan? Kenapa wanita saja?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) laporan perangkaan suku pertama tahun 2021 penduduk lelaki mengatasi wanita dengan jumlah 16.83 juta penduduk lelaki manakala 15.92 juta penduduk perempuan. Pada 2020, jumlah penduduk lelaki 52.3 peratus daripada keseluruhan 32.4 juta penduduk.
Jadi, bila ada yang kata, wanita perlu berpoligami untuk mengelakkan menjadi andartu sampai akhir usia kerana bilangan lelaki tidak ramai di negara ini, ini satu kenyataan yang dangkal.
Hakikatnya apa yang perlu dibimbangkan di sini adalah kes perceraian di Malaysia meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes tahun lalu.
Menurut DOSM juga, perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki manakala pengantin perempuan adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun.
Bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 45.8 peratus pada 2022 atau 46,138 kes berbanding 31,650 kes pada 2021.
Sementara itu, perceraian orang bukan Islam turut meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022).
Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus).
Tiga lokasi atau negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam iaitu Putrajaya (500 peratus) diikuti Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59.0 peratus).
Mungkin yang belum berkahwin ini pun risau dengan kes kahwin cerai, kutuk-mengutuk pasangan suami isteri yang berlambak-lambak bagaikan wayang percuma di media sosial.
Yang suami isteri tak reti segan mendedahkan aib pasangan masing-masing di media sosial. Yang berpoligami pun begitu juga. Mahu kahwin dua, tiga kahwin sajalah. Kita peduli apa. Sibuk mencari perhatian untuk melariskan konten.
Jadi, apa contoh terbaik untuk wanita dan lelaki yang belum berkahwin ini dapat tonton melainkan hal-hal yang memalukan dan menyakitkan hati ini?
Patut diwujudkan juga satu undang-undang hal-hal rumah tangga sendiri jangan bergaduh dan dihebohkan di media sosial. Mereka ini juga boeh menimbulkan ‘kegentaran awam’. Hari-hari melihat konten sebegini dan yang beri komen pun banyak rupanya ‘tersakiti’, ini membuatkan ramai yang belum kahwin pun fikir banyak kali untuk kahwin.
Sebab itu, bila kita tanya soalan – “Bila hang ni nak kahwin?” Pada lelaki atau wanita yang masih membujang pasti ada jawapan – hidup bujang lebih baik susah senang sendiri, bahagia, aman dan sejahtera. Tetapi pada masa sama, mereka sentiasa berdoa jika ada jodoh, dijodohkan dengan pasangan yang bertanggungjawab. – MINGGUAN MALAYSIA