“PUAN, pendapat saya pula yang kata hidup bujang lebih aman dan sejahtera ini, ramai yang bercinta dengan jantina sejenis.
“Ramai dah ‘puak’ ini dalam negara kita. Kalau tak percaya boleh cari di media sosial. Ada banyak kelab Gay. Puak ini juga suka buat live tengah malam di Tiktok. Orang Islam kita juga.”
Itu emel seorang pembaca sebagai respons kepada kolum ini pada Ahad lalu yang bertajuk – Hidup bujang lebih senang dan sejahtera?
Ada seorang lagi turut berpendapat yang sama. Mengaitkannya dengan amalan kelompok LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) juga. Bukan tak ada keinginan untuk berkahwin, tetapi tak boleh.
“Macam mana mahu kahwin kalau suka dengan rakan sejenis?”
Tulisnya lagi, kenapa sekarang tidak buat serbuan seperti yang dilakukan di kelab Gay di Bukit Bintang dulu. Ketika Khalid Samad menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, beliau berani menggempur kelab Gay yang telah berpuluh-puluh tahun beroperasi di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur itu.
Yang bukan Islam itu, kita jangan kisah sangat. Ini orang Islam yang berperangai sebegini. Nabi tak mengaku umat, tulisnya.
Betullah itu. Kebanyakan kita ini kalau tengok lelaki warga asing berpegang tangan sesama mereka ketika balik kerja atau berjalan-jalan pada hari cuti di KLCC pun kita sudah rasa geli, inikan pula aksi melampaui batas.
Beberapa tahun dulu, saya juga ada menulis mengenai isu ini. Bagaimana kebimbangan melarat-laratnya fahaman songsang LGBT ini dalam negara yang diperjuangkan secara terang-terangan.
Tak silap saya, tulisan tersebut juga menyentuh luahan seorang kawan saya yang merancang untuk berkahwin tetapi terkejut apabila terlihat teman lelakinya memberi tanda suka (likes) pada kelab-kelab Gay dalam Facebook. Akhirnya terbongkar, teman lelakinya Gay dan dia memutuskan hubungannya dengan lelaki tersebut.
Katanya, patutlah ‘liat’ sangat diajak berkahwin. Rupanya, pada masa sama ada kekasih hati, sejenis.
Itu cerita beberapa tahun lalu. Sekarang ini, golongan ini khabarnya makin membesar circle nya, terus berani dan lebih lantang bersuara.
Dan banyak juga perkahwinan di negara ini berakhir dengan perceraian kerana baru tersedar suami seorang Gay. Bukankah ini menyusahkan?
Adakah ini satu isu yang remeh untuk diperkatakan atau ini hak kebebasan asasi manusia yang harus dihormati semua?
Hakikatnya, melanggar perintah dan hukum agama walau atas alasan hak masing-masing, itu bukan termasuk dalam hal remeh temeh lagi. Saya pasti ramai ibu bapa turut bimbang gaya hidup sebegini akan mempengaruhi anak-anak mereka atau ahli keluarga yang lain.
Amalan LGBT adalah kesalahan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan jenayah seksual luar tabii. Pada masa sama, ia juga satu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri selaras dengan ketetapan syariat Islam.
Selain beberapa negara Islam, Russia juga baru-baru ini telah mengharamkan LGBT dengan melabelnya sebagai kumpulan pelampau dan melarang segala aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya di semua wilayah negara itu.
Langkah drastik itu dikenakan terhadap kelompok songsang tersebut dalam tempoh sedekad pemerintahan Vladmir Putin yang menekankan nilai keluarga yang sebenar.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh International Lesbian, Gay, Bisexual, Trans and Intersex Association (ILGA) pada 2016 pula, Malaysia adalah antara lebih 70 negara di dunia yang meletakkan LGBT sebagai suatu perbuatan jenayah di sisi undang-undang.
Sehingga sekarang Malaysia masih dengan pendirian tersebut dan ILGA di dalam laporannya pada tahun lalu turut memetik nama Malaysia sebagai negara yang tidak berlaku adil pada golongan transgender.
Sungguhpun begitu melihat kepada keberanian pengikut-pengikut LGBT di negara ini yang mendedahkan kecenderungan minat mereka tanpa selindung, itu memberi petanda ‘kaduk akan naik junjung’ jika tiada sebarang tindakan tegas diambil.
Harap menteri yang menjaga agama melihat isu ini dengan serius. Bagaimana untuk menarik golongan ini kembali ke pangkal jalan. Bukan menghina atau terus menghukum mereka.
Kalau unit pencegah maksiat jabatan agama setiap negeri selalu melakukan operasi menyerbu pasangan bukan muhrim berkhalwat, bertindaklah juga terhadap golongan LGBT ini.
Sudah tentu kita tidak mahu amalan ini dinormalisasikan dan dalam tempoh beberapa tahun mendatang pula, ia akan menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat.
Pelik-pelik betul perjuangan mereka ini sehingga mahukan satu dunia mengiktiraf hubungan cinta lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita ini.
Liga Perdana Inggeris (EPL) turut mempromosi LGBT dalam media sosialnya dengan warna pelangi. Begitu juga ada ketua pasukan pemain kelab liga ini memakai armband pelangi itu ketika perlawanan berlangsung. Walaupun kelab itu saya sokong. Nampak saja armband itu, saya tutup TV. – Mingguan Malaysia
Dah suka jantina sejenis, macam mana mereka nak kahwin?
- Oleh FAUZIAH AROF
- 17 Disember 2023, 2:17 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000
24 November 2024, 10:03 am
Mana boleh hidup sifar hutang?
10 November 2024, 9:33 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am