BAGI kebanyakan orang Islam, menunaikan ibadah umrah memberi pengertian besar apatah lagi bagi mereka yang bukan daripada golongan senang.
Untuk merealisasikan impian ke Tanah Suci, menabung semestinya rutin wajib bagi mereka yang hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sebab itulah apabila kes membabitkan penipuan umrah semakin meningkat pada masa sekarang, ada yang lebih cenderung dan memilih melaksanakan ibadat ini secara ‘DIY’ atau ringkasan kepada ‘Do It Yourself ‘ (buat sendiri).
Biasanya, mereka yang cuba berdikari tidak kisah bersusah payah untuk sampai ke kota Mekah. Segala urusan tempahan tiket dan hotel serta dokumen perjalanan diuruskan sendiri demi menjamin keberangkatan ke sana.
Namun persoalannya, sejauh manakah tahap ilmu dan kesedaran jemaah tentang hal-hal berkaitan seperti rukun, perkara yang dilarang dan adab apabila melaksanakan umrah secara ‘DIY’ ini ?
Maka disebabkan kesedaran dan permintaan yang semakin banyak, bekas Mufti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghasilkan sebuah buku sebagai panduan untuk bakal jemaah ‘DIY’ melaksanakan umrah secara mudah serta selamat.
Buku setebal 135 muka surat yang ditulis beliau sendiri ini mengandungi lima bab termasuk persediaan sebelum ke Mekah sehinggalah kepada doa-doa pilihan.
Selain itu, buku ini juga mempunyai pelbagai persoalan berkaitan ibadat berkenaan seperti rukun, hal berkaitan dam, bagasi, vaksin sehinggalah kepada pengangkutan selain tips penting untuk jemaah yang melaksanakan umrah ‘DIY’.
Sebagai contoh, ada dimuatkan tentang anggaran harga teksi untuk memudahkan sesiapa sahaja membuat anggaran perbelanjaan.
Malah apa yang paling penting, turut dimuatkan tentang persoalan sama ada seseorang itu perlu melakukan umrah sebaik tiba di Mekah atau boleh berehat terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, antara kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan jemaah adalah berkaitan rukun umrah.
“Kadang-kadang saya lihat sebahagian daripada kita keliru. Ini pengalaman saya sebagai panel penasihat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Antara kekeliruan adalah perkara berkaitan niat.
“Sebagai contoh, ada yang tidak tahu sama ada perlu niat atau tidak di saat mereka ‘masuk’ ke Madinah dahulu. Boleh jadi mereka ini dalam keadaan tidak dapat memahami daripada segi keutamaan atau aulawiyyat,” katanya baru-baru ini.
Tambah Zulkifli, dua aspek penting perlu ada bagi mana-mana umat Islam yang mahu melakukan umrah secara sendiri tanpa menggunakan perkhidmatan mutawif dan syarikat pengurusan.
“Kebolehan kita mengurus dan mengatur perjalanan menerusi ‘DIY’ itu satu tapi kefahaman tentang umrah satu perkara lain. Kedua-dua ini perlu ada. Jika tidak, akan jadi banyak yang kurang diketahui.
“Termasuk yang dipanggil mahzuratul ihram iaitu apa yang dilarang dan menjadi haram ketika kita dalam ihram. Kadang-kadang kita rasa kecil tapi ia perlu difahami. Kadang-kadang mereka buat tapi tidak tepat. Sewajarnya ia perlu diberi perhatian lebih dalam hal seperti ini,” jelasnya.
Bagi pengendali syarikat umrah Mursyid Alharamain Travel & Tours (Mursyid Alharamain) , Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramai umat Islam lebih suka melaksanakan umrah ‘DIY’ pada masa kini.
“Selain disebabkan kes penipuan, dasar kerajaan Arab Saudi yang meluluskan visa ziarah menyebabkan ramai memilih untuk masuk ke Mekah dengan cara sebegini.
“Namun begitu terdapat beberapa masalah apabila melakukan umrah secara ‘DIY’ ini. Ada kes yang tiada hotel walaupun telah melakukan tempahan lebih awal. Walau apa pun, kami sebagai pihak yang menguruskan umrah perlu menerima situasi seperti ini. Apa yang penting adalah kebolehan mengurus dan ilmu,” terangnya. – Mingguan Malaysia
Buku ‘Umrah DIY’: Panduan dan sudut pandang bekas seorang mufti
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 10 Disember 2023, 5:22 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Industri seni kehilangan seorang komposer berprolifik – M Nasir
17 November 2024, 10:22 am
Dua tahun pendidikan di bawah Kerajaan Madani
17 November 2024, 10:21 am
Belanda ke suku akhir, Jerman ‘mengamuk’
17 November 2024, 10:19 am