SAYA rasa selain mahu jadi kurus, menyimpan duit juga antara azam paling popular kita boleh baca di media sosial setiap kali menjelang tahun baharu.
Kita jangan ambil kiralah gurauan klise masuk tandas tahun 2023, bila keluar tandas tahun 2024 yang sering diulang-ulang setiap kali detik ambang tahun baharu. Itu sudah tak lawak dah.
Ada yang saya terbaca pada hujung 2022 dulu, mulai Januari 2023 dia mahu simpan sekurang-kurangnya RM100 sebulan. Jadi, apabila hujung Disember ini simpanan itu sudah sampai RM1,200 setahun.
Saya fikir kalau ini tercapai, bagi yang ada anak bersekolah, waktu ini sudah tidak pening sangat untuk membuat persiapan penggal pertama persekolahan pada Mac tahun depan. Ia tentu sangat membantu.
Ada juga awal tahun dulu berazam mahu mengawal diri apabila berbelanja. Meminta ahli keluarganya atau kawan-kawannya menegurnya bila nampak dia macam ‘lupa diri’ apabila membeli belah.
Sudahkah pihak yang diberikan task itu menegur? Kalau ditegur apa reaksinya? Dia marah atau tidak?
Tak kurang juga mahu mengurangkan hutang atau tidak mahu membuat hutang baharu. Melangsaikan segala hutang pada tahun ini dan menarik nafas lega pada tahun depan.
Senang cakap, tahun depan tak perlu serabut lagi, menolak duit gaji untuk bayar hutang. Duit gaji sebagai satu persinggahan sementara di dalam akaun bank, sampai bila pun tidak dapat menyimpan.
Jadi, sudah tercapaikah azam menabung itu? Atau azam simpan duit itu akan dibawa ke tahun depan pula? Atau kalau gagal lagi pada tahun-tahun seterusnya.
Hakikatnya, kebanyakan kita wang hanya boleh betul-betul disimpan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sajalah. Yang itu memang pasti terjamin. Itu pun, sebab tak boleh dikeluarkan.
Baru-baru ini saya ada berurusan dengan seorang kontraktor berketurunan Cina. Ramah betul dia berborak.
“Tahun depan jangan ‘buang-buang duit’. Ekonomi lagi teruk. Kena simpan duit,” katanya.
Jawab saya – “ Duit pun kurang macam mana buang-buang? Mahu keluar duit ini pun mengigil tangan.” Dia tertawa.
Katanya, perniagaannya pada tahun ini agak perlahan walaupun penularan Covid-19 tidak sehebat dulu dan PKP sudah berlalu.
Dia menjangkakan keadaan itu bertambah sukar pada tahun depan, tak kiralah kepada peniaga atau pengguna.
Itulah, kadang-kadang kita tidak memerlukan pakar ekonomi untuk meramalkan apa yang akan dilalui rakyat pada masa depan. Rakyat sendiri adalah pakar ekonomi yang jujur. Tidak mahu menyedapkan hati sesiapa. Kalau susah, cakap susah. Tak akan mahu cakap bertambah baik. Bila ekonomi dikata sedang berkembang beberapa peratus oleh pakar ekonomi, rakyat terpinga-pinga. Sebabnya, jika kesannya tidak dirasai oleh rakyat, segala data dan ramalan itu hanyalah di atas kertas yang tidak mendatangkan apa-apa untuk rakyat. Mungkin yang kaya bertambah kaya atau yang susah terus tertekan? Begitu agaknya.
Yang wajib dihadap dengan apa pun perkembangan ekonomi di negara ini, harga barang tetap naik. Mana ada yang naik akan turun walaupun dikatakan ekonomi bertambah baik. Harga rumah pun begitu. Pernah dengar harga rumah turun dan diadakan jualan murah rumah pada hujung tahun?
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun depan, dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan berbanding 4.0 peratus yang disasarkan pada 2023, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan MOF pada Oktober lalu itu, pertumbuhan tersebut bakal dipacu menyeluruh oleh sektor perkhidmatan memandangkan kumpulan pertengahan dan akhir sektor ini dijangka terus meningkat didorong oleh perbelanjaan domestik dan pemulihan aktiviti eksport.
Dalam pada itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula memberi amaran kelembapan ekonomi global akan terus berlaku pada 2024.
IMF yang menjangkakan pertumbuhan global perlahan kepada 3 peratus tahun ini, akan kekal pada paras itu pada 2024 disebabkan oleh pertumbuhan lemah dalam kalangan ekonomi maju dunia.
Apa pun yang diramalkan, rakyat harus bersedia. Azam menyimpan wang walaupun sedikit, tentu ia dapat memberi kelegaan daripada asyik merungut menyalahkan itu ini.
Tetapi itulah, dalam pada bising-bising harga barang naik, kos sara hidup makin meningkat, ramai saja sudah berkira-kira mengatur cuti dengan melihat takwim cuti umum dan persekolahan tahun depan. Merancang mahu pergi ke sana sini.
Adakah ini terjemahan kesusahan sesetengah orang di negara ini, bila dia bising-bising gaji tak cukup di media sosial, komplen barangan mahal, tiba-tiba bergambar pula di Langkawi, selepas itu di Sabah dan di Hatyai.
Pun begitu, saya kira yang paling bagus untuk negara kita tentulah apabila ahli-ahli politik kita menanam azam tahun baharu untuk berbaik-baik dengan seteru mereka – pemimpin kerajaan dan pembangkang bersama-sama memajukan negara ini.
Cukup-cukuplah mencari salah, mencari pasal dan mencari gaduh. Setiap tahun pun begitu. Rakyat penat tengok. Apa kata azam tahun baharu 2024, kerajaan dan pembangkang lebihkan kerja daripada bercakap. Semuanya ini untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Tak susah, rasanya.