PLKN 3.0: Jangan lagi takut pada bayang-bayang - Utusan Malaysia

PLKN 3.0: Jangan lagi takut pada bayang-bayang

Ramai anak muda di seluruh negara teruja menyertai PLKN sebelum ini tetapi ia dimansuhkan serta merta pada 13 Ogos 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang lega dan mungkin ada juga ‘pura-pura’ kecewa apabila Kementerian Pertahanan menjelaskan hanya remaja yang lahir bermula tahun 2007 saja akan dipilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Di bawah PLKN 3.0, pelatih dipilih mengikut tahun kela­hiran dan jika tidak dapat menyertai latihan atas sebab dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan dengan had maksimum untuk menjadi pelatih sehingga umur 35 tahun. Bukan berusia 35 tahun pun akan dipanggil seperti dihebohkan dalam media sosial.

Iyalah, ada yang risau dalam usia 30-an, sudah berkeluarga, setiap bulan kena bayar macam-macam hutang dan bil utiliti, tiba-tiba pula dipanggil untuk menyertai program ini. Bimbang juga, macam mana pula keluarga yang ditinggalkan? PLKN bukan seperti anggota yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Ada gaji. Ada elaun. Ini antara yang diperdebatkan ramai.

Terpinga-pinga juga bila tiba-tiba saja PLKN mahu diadakan semula setelah ia dimansuhkan pada 13 Ogos 2018 selepas mesyuarat Kabinet yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika itu. Ia dihentikan serta merta dengan alasan PLKN dan Biro Tatanegara telah disalahguna bagi indoktrinasi fahaman tertentu. Selain itu, faktor kos yang besar iaitu sekitar RM700 juta setahun dikatakan menjadi puncanya.

Entah mana yang datang dulu, sama ada faktor penyebaran fahaman tertentu atau kos, kita pun tidak tahu. Tiada maklumat jelas ketika itu, tentang apa yang dimaksudkan indoktrinasi itu.

Jangan hanya kerana takut dengan bayang-bayang sendiri atau entah siapa, program yang matlamatnya amat baik dipolitikkan semuanya. Begitulah di negara ini, apa-apa saja mahu dipolitikkan oleh pemimpin politik sendiri. Dia yang bermain api, selepas itu dia pula kalut kononnya cuba mencegah kebakaran. Walhal rakyat elok saja hidup berbaik-baik dalam berbilang bangsa dan agama.

Setelah lebih beberapa tahun berlalu sejak pemansuhan PLKN, adakah kerajaan yakin fahaman yang ditakuti sangat ketika itu tidak menjalar semula dalam PLKN 3.0? Sudah berjaya dibanteras?

Pada Mei lalu, Syed Saddiq mengulangi pendiriannya, tiada keperluan menubuhkan semula PLKN yang dilihat sebagai pembaziran wang selain program itu hanya digunakan sebagai alat politik dan bersifat etnosentrik.

Apa pun program national service ini sudah dijalankan lama di kebanyakan negara di seluruh dunia secara berterusan tanpa henti. Di negara jiran Singapura ia diwajibkan kepada yang berusia 18 tahun manakala di Thailand 21 tahun. Di Korea Selatan juga pada usia 18 tahun. Pada masa sama, negara-negara ini sentiasa mengkaji untuk penambahbaikan program itu.

Memanglah PLKN berlainan dengan di negara lain tetapi matlamatnya lebih kurang sama iaitu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda manakala di Malaysia ia juga mahu memupuk perpaduan kaum. Kalau kita lihat matlamat ini, ia boleh digilap cukup di peringkat sekolah saja. Tak perlu masuk kem atau melalui pelbagai latihan ketenteraan, lebih-lebih lagi kalau hendak bercakap pasal amalan penjimatan yang disarankan agar semua pihak melakukannya ketika ini.

Ada yang mempersoalkan, bersediakah kerajaan me­nanggung kos PLKN ini walau­pun dikatakan tidak menelan perbelanjaan tinggi seperti dulu dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini? Adalah lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada hal-hal kebajikan rakyat terlebih dahulu dan apabila ekonomi negara sudah pulih barulah dilaksanakan semula program ini.

Kita tidak mahu PLKN hanya menguntungkan pihak tertentu saja. Banyak persoalan yang bermain di minda selepas dimansuhkan dan kemudian mahu diwujudkan semula. Bukan mahu menolak hal-hal yang baik. Bimbang bila fahaman entah apa-apa itu kononnya cuba diserap semula nanti, jadi gelabah balik dan mansuh lagi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya