Chin Peng dan Lee Kuan Yew, dua individu dengan ‘karakter’ kembali melintas depan mata apabila satu kes fitnah difailkan di mahkamah ketika ini.
Cuma penulis tidak berminat mengulas pertelagahan si polan si polan berkenaan. Tetapi penting untuk kita, apa lagi orang muda ambil iktibar dari sejarah negara yang pernah direntasi oleh kedua-duanya.
KUAN YEW ‘HARIMAU BERANTAI’ KEBANGGAAN SINGAPURA
Pada 1960-an, Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew semacam ‘harimau berantai’ masa itu – dalam erti kata garang, cepat dan berkesan.
Beliau benar-benar memerintah secara hands on. Yakni, mengambil tahu tentang semua perkara dan mengatasi apa sahaja masalah yang timbul.
Azam pimpinannya untuk survive cukup tinggi. Begitu juga para menterinya seperti S. Rajaratnam (Menteri Luar), Goh Kheng Swee (Pertahanan), W. Barker (Undang-Undang) dan Toh Chin Chye, Naib Canselor Universiti Singapura yang lama berganding dengan Kuan Yew melalui People’s Action Party (PAP) yang juga dikenali dengan panggilan Petir.
Pada 1969, republik itu baru empat tahun keluar dari gagasan Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman menyisihkannya daripada Malaysia. Kuan Yew berjaya mewujudkan imej proletariat di kalangan pemimpin PAP seperti memakai baju kemeja putih. Dalam ucapan-ucapannya, beliau sentiasa menyelitkan daya saing dan daya survival dengan ujaran perkataan-perkataan seperti “produktiviti”, warga Singapura yang cekal dan dinamik, “jangan berkeluarga besar”, “berjimat cermat” dan gesaan-gesaan perjuangan ala sebuah masyarakat yang terhimpit. Beliau menaruh keyakinan kepada kemampuan berfikir dan bertindak secara survival warga pulau yang serba-serbi kekurangan.
Majulah Singapura yang dicipta Zubir Said itu benar-benar diamalkan. Pemimpin tidak act atau beraksi dengan pakaian atau kereta mewah.
Pakaian kemeja putih merupakan simbol mudah dan bersih. Pegawai awam yang rasuah atau yang ‘berbau’ rasuah dihadapkan dengan cara tersendiri atau pemerintah supaya diketepikan. Rasa takut dan rasa malu merupakan ganjaran kepada konsep kerajaan bersih yang utama. Supremacy atau keagungan pemerintahan PAP tidak dapat dinafikan kerana pemerintahannya terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.
Itu secebis kisah pengalaman awal waktu bertatih Singapura, yang kita semua saksikan hasil mengagumkan hari ini – Singapura antara pelabuhan, pendapatan per kapita dan bandar termahal dunia.
Begitupun, bercerita tentang Singapura, ada kisah yang menggamit keperitan sejarah. Sebelum pemisahan dari Malaysia 1965, pemimpin UMNO dari Johor yang digelar ‘ultra’ oleh Kuan Yew ketika itu, Tan Sri Syed Jaafar Albar menyuarakan dalam mesyuarat UMNO kebimbangannya dan dia tidak bersetuju Singapura dilepaskan.
Kuan Yew waktu itu dikenali sebagai seorang pengucap yang pandai. Di Seremban, Johor Bahru dan Kuala Lumpur semasa itu, ucapannya mudah iaitu ‘memperkecilkan’ pimpinan Tunku Abdul Rahman di kalangan rakyat Malaysia.
Jaafar Albar pernah menyatakan supaya menggunakan undang-undang yang ada untuk “kita memelihara Malaysia”. Maksudnya – ambil tindakan Akta Hasutan terhadap Kuan Yew. Semasa itu pun ramai pemimpin tempatan yang ‘masuk’. Namun tiada tindakan diambil terhadap Kuan Yew.
Barangkali ‘kalau dilakukan’, sejarah akan berubah, lepas itu ada huru-hara. Namun, masa itu pun Malaysia mempunyai pelana yang kuat.
Dan Tunku ketinggalan salah satu daripadanya, namun dari segi Bapa Kemerdekaan, kita tabik kepada Tunku.
Ya, bahawa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan, kebenaran.
SEJARAH HITAM KOMUNIS CHIN PENG
Pada 2019, abu mayat ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia pada Hari Malaysia 16 September. Abu itu dibawa oleh kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng dari Thailand dan telah ditabur ke laut dan gunung.
Ramai tersinggung dan amat marah kerana baru mengetahui berita itu selepas dua bulan kejadian. Sebelum itu pun ada beberapa tokoh politik telah mencuba untuk memasukkan sejarah perjuangan komunis dalam buku teks sekolah.
Hanya sedikit orang muda tahu pasal keperitan, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma hidup orang tua mereka semasa kekejaman komunis Zaman Darurat (1948-1960).
Perajurit tanah air sebahagian besarnya orang Melayu yang berjuang menentang komunis tidak dapat lupakan kezaliman dan kekejaman pihak komunis ini. Selagi hayat dikandung badan, segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.
Sejarah mencatatkan seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban manakala 2,560 pula yang cedera. Ramai perajurit yang mengalami kecacatan anggota badan kerana bertempur dengan komunis dan masih hidup sehingga kini.
Dalam kalangan orang awam pula, seramai 2,473 terbunuh, 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian gerila komunis seramai 6,710 dan yang ditawan 3,989.
Di Tanah Melayu, PKM mengganas pada 1947 selepas Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung. Chin Peng tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong.
Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu.
Dalam buku Chin Peng: My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadap ideologi itu.
Siapa yang tidak pernah mendengar mengenai Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA), pertubuhan komunis Malaya, terkenal dengan gelaran Bintang Tiga, menguasai Tanah Melayu selama 14 hari, selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946.
Dalam tempoh sesingkat itu, pelbagai bentuk penyeksaan, kezaliman dan keganasan bermaharajalela di negara kita, dek kerana angkara dan kejahatan komunis.-UTUSAN