BILA kita tengok senarai nama 18 hartawan Malaysia yang berjaya memasuki Bilionair Dunia Forbes 2023 dengan jumlah kekayaan ke semua mereka ini mencecah AS$54.7 bilion (RM240.38 bilion), rasanya tiada seorang pun daripada mereka berperangai ‘pelik-pelik’ di media sosial. Ada yang tiada akaun media sosial langsung!
Masing-masing bersikap low profile. Bekerja keras dengan mengumpul kekayaan dalam diam. Tak ada heboh-heboh. Tak ada masa bermain TikTok, Facebook, Instagram atau platform X.
Tidak juga mengaku diri kaya. Tahu-tahu saja sudah bergelar bilionair dan masuk dalam ranking dunia.
Tetapi tidak bagi sesetengah usahawan di negara ini. Mereka senang-senang saja menganggap dan mengaku diri sudah kaya-raya dan berjaya. Tergedik-gedik dalam media sosial. Apa-apa saja mahu ditayang, supaya orang tahu akan keberadaannya.
Sama ada dia sedar atau tidak, tindakan itu sebenarnya hanya memalukan diri sendiri, saya tidak pasti. Tetapi kekerapan yang dilakukan itu menandakan dia tidak sedar. Memang lain betul dengan perangai bilionair Malaysia yang tulen dan diiktiraf dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan platform media sosial X, Elon Musk antara individu terkaya dunia dengan kekayaan bernilai AS$180 bilion (RM791.46 bilion) pun tidak terkinja-kinja dan menunjukkan aktiviti-aktiviti hariannya di platform X walaupun dia pemilik platform itu.
Jadi, apabila timbul isu usahawan tempatan bermulut celupar beberapa hari ini, ramai yang bertanya, kaya sangatkah mereka ini?
Entahlah. Saya pun tak mengenali nama mereka. Mereka bukan Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Azman Hashim atau Tan Sri Ananda Krishnan. Bila timbul isu ini, baru saya tahu dan membuat carian di internet siapa mereka. Agaknya, senarai ranking kekayaan dalam daerah mungkin lepas, peringkat negeri belum tentu lagi.
Ramai yang tidak tahu pun produk apa sebenarnya yang mereka jual, melainkan kontroversi demi kontroversi dan kenyataan-kenyataan sensitif yang membuatkan dirinya dikenali. Bukan sebab produknya yang dijual memanfaatkan ramai pengguna.
Sepatutnya, usahawan-usahawan di negara ini tak kiralah yang berniaga produk kecantikan, pakaian, makanan atau apa saja, mengambil contoh sikap hartawan di Malaysia yang tersenarai dalam Bilionair Dunia Forbes ini bekerja dan mengembangkan perniagaan mereka.
Contohi kegigihan mereka. Tiru sikap merendah diri mereka dan menjauhi kontroversi. Orang kaya seperti inilah dihormati, bukan saja kerana kekayaannya tetapi kewibawaan dan tingkah laku mereka yang tidak bercakap perkara-perkara remeh dan yang tidak perlu.
Bukan macam beberapa usahawan di negara ini yang suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang melalut dan bersikap di luar kematangan di media sosial.
Apatah lagi apabila ada yang menyentuh soal agama dan kaum. Tiada adab dan gemar memaki hamun.
Bagi saya, kalau betul-betul mahu meniaga, jual sajalah produk itu. Tak payahlah bermain dengan isu-isu sensitif dan tak payahlah terkinja-kinja tak tentu hala dalam media sosial kerana laparkan perhatian.
Kalau ada pendapat yang sensitif lebih baik simpan untuk diri sendiri atau berkongsi sesama keluarga saja. Kalau merasakan diri itu memang terkenal atau public figure, terimalah nasihat apabila ditegur, bukan calang-calang juga orang yang menegur sebelum ini, tetapi tetap juga bersikap angkuh, menganggap diri sendiri saja betul kerana sudah kaya.
Sekarang ini pun ramai suka guna istilah ‘mahu menjadi diri sendiri’ untuk menghalalkan cara. Kalau begitu segala perangai buruk itu, biarlah diri sendiri saja tahu, bukan dipertontonkan pada umum. Nanti jadi macam satu norma pula, pengasas sesuatu produk kena buat live atau video yang sebenarnya hanya layak untuk masuk dalam grup WhatsApp keluarga atau reunion sekolah dia saja.
Dan selalunya kalau produk itu baik dan berkesan, ia akan tetap dibeli orang ramai. Tak perlulah berperangai pelik-pelik yang membuatkan orang ramai meluat.
Ramai penyokong? Yang menyokong di media sosial mungkin ejen-ejen penjual produk itu. Mereka pun risau, kalau pengasas produk itu terus bersikap begitu, jualan akan terjejas.
Saya pun percaya ramai yang lebih rela menyorong troli yang lari ‘alignment’nya untuk membeli barang-barang keperluan di pasar raya daripada menghabiskan wang membeli produk yang diusahakan oleh ‘usahawan melalut’ di media sosial ini.
Susah sebenarnya untuk membuat orang berbelanja membeli produk yang bukan keperluan dalam masa yang serba mencabar ini. Lebih baik, simpan duit itu untuk membeli barang yang perlu dan penting saja.
Sebab itu, untuk mendapatkan duit daripada orang ramai, jangan mencetuskan sesuatu isu yang merugikan perniagaan sendiri. Sebagai usahawan, tindak balas terhadap keangkuhan dan keceluparan mulut, mungkin akhirnya berdepan dengan produknya diboikot orang ramai. Siapa yang rugi?
Jangan fikir tindakan-tindakan yang tidak cerdik dilakukan itu adalah sebagai ‘marketing strategy’. Mengundang kemarahan dan cemuhan orang ramai, bukan strategi tetapi satu kedangkalan. Kita pun rimas melihat usahawan-usahawan seperti ini bermain dengan sentimen yang entah apa-apa ini. Sudahlah, jangan biasakan kerana mahu produk laku keras kena ada ‘drama-drama’ yang menjengkelkan ini.
Macam alignment troli di pasar raya jugalah, kalau tak diperbetulkan, kita nak masuk kiri tetapi tersasar ke kanan dan kadang-kadang tersadung melanggar rak barang, begitu jugalah manusia kalau tiada yang tegur dan tunjuk ajar, merapu merabanlah dia.
Yang kaya, betul dan sempurna hanyalah Yang Maha Pencipta. Itu saja. – Mingguan Malaysia