Meningkatkan profesion pengamal media - Utusan Malaysia

Meningkatkan profesion pengamal media

Timbul juga persoalan bagaimana Majlis Media Malaysia dapat memastikan keadilan dan kebenaran dalam pengawasan pelbagai jenis media di negara ini iaitu, akhbar, berita secara online dan media sosial, boleh menjadi ini satu tugas yang mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Dewan Rakyat diberitahu bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) yang bakal dibentang pada Mac tahun depan akan memasukkan mekanisme rungutan bagi membolehkan pengamal media ‘mengawal diri’ dan membenarkan pihak yang tidak berpuas hati dengan laporan berita, membuat aduan kepada majlis berkenaan.
Tentunya ramai yang ingin mengetahui tentang kepentingan penubuhan MMM ini.
Sebenarnya isu penubuhan dan penguatkuasaan MMM sudah berlarutan lama dan masih berhadapan dengan pelbagai rintangan. Sehingga wujud persoalan, setelah sekian lama industri ini berkarya sebelum kemerdekaan lagi, kenapa tiada Majlis Media Malaysia atau majlis seumpamanya sebelum ini? Kenapa perlu ada ketika ini?
Selain itu, beberapa perkara yang mungkin mencetuskan kontroversi atau cabaran dalam penubuhan MMM adalah memahami sejauh manakah kebebasan media dibenarkan atau dihadkan. Dan timbul juga persoalan besar, adakah majlis ini benar-benar bebas dan boleh berfungsi dengan adil tanpa campur tangan politik?
Dalam pada itu, ia juga berkaitan menetapkan standard etika yang sesuai dan kod ucapan yang adil, serta mengekalkan akauntabiliti kepada media.
Ia tentang bagaimana standard etika ditetapkan dan bagaimana mereka mengekalkan integriti media yang boleh menimbulkan masalah jika ia tidak difahami dan diuruskan dengan betul oleh semua pihak yang terlibat.
Bagaimana majlis ini nanti menjalankan operasi mereka dan sejauh mana mereka terbuka dan bertanggungjawab dalam keputusan dan tindakan mereka juga boleh menjadi perdebatan utama. Kekurangan ketelusan boleh menimbulkan kebimbangan mengenai objektiviti dan integriti majlis.
Timbul juga persoalan bagaimana MMM memastikan keadilan dan kebenaran dalam pengawasan pelbagai jenis media di negara ini iaitu, akhbar, berita secara online dan media sosial, boleh menjadi ini satu tugas yang mencabar.
Maka peranan dan tanggungjawab MMM ini perlu dinyatakan dengan jelas. Ini kerana kemelut juga boleh wujud bagi menentukan dengan jelas apa yang dianggap sebagai kesilapan etika atau pelanggaran dalam bidang media dan bagaimana penalti atau tindakan pembetulan akan dijalankan.
Tentu sekali, kebebasan wartawan untuk melindungi sumber maklumat mereka adalah aspek penting dalam kerja media. Jadi, sejauh mana MMM memahami dan melindungi hak ini perlu dipertimbangkan sewajarnya.
Dalam pada itu, kehadiran media sosial sehingga ramai mendakwa ‘sebagai wartawan’ menambah lagi kekusutan bagi menentukan terma dan definisi serta peranan media sebenar. Bagaimana pula mahu mengambil tindakan terhadap wartawan segera ini?
Hakikatnya, banyak faktor adalah subjektif dan berkai­tan persepsi dan tafsiran masyarakat dan pihak berkepentingan. Kajian dan perundingan yang teliti dalam mewujudkan perlembagaan dan undang-undang yang me­libatkan MMM adalah pen­ting untuk memastikan kelancaran operasi dan majlis ini mendapat sokongan semua pihak.
MMM yang akan diluluskan di Parlimen nanti bertanggungjawab memastikan berita dan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai dalam pelbagai platform ini adalah tepat, telus, dan berkualiti.
Ketika ini, Kementerian Komunikasi dan Digital sedang meneliti dan memuktamadkan kandungan rang undang-undang berkaitan penubuhan majlis itu dengan mengadakan beberapa siri perbincangan secara berkala dengan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (Jawatankuasa Kerja Sementara).
Sebenarnya beberapa negara maju misalnya United Kingdom masih tidak mempunyai Majlis Media. Namun badan bebas seperti Ofcom, IPSO (Independent Press Standards Organization) BBC Trust dan BBC Board diwujudkan bagi memastikan kebebasan media dijaga, sambil menetapkan batasan-batasan yang diperlukan untuk melindungi masyarakat selain menetapkan dan menegakkan kod etika untuk memastikan media beroperasi dengan integritas dan tanggungjawab.
Secara keseluruhan, MMM diharapkan bertindak sebagai penjaga kebebasan media, mengekalkan integriti dalam penyampaian berita, dan memastikan orang ramai mempunyai akses kepada maklumat yang betul dan berkualiti.
Bagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan bahawa pandangan mengenai kesan dan keberkesanan MMM boleh berbeza dalam kalangan orang ramai dan begitu juga pendapat-pendapat mereka mengenai isu-isu yang diutarakan di media sosial.
Majlis ini juga bertanggungjawab untuk me­mastikan etika dalam menyampaikan berita dan memberikan pandangan yang seimbang. Mereka juga perlu memastikan penyampaian maklumat tidak menyentuh sensitiviti masyarakat dan mengekalkan keamanan negara.
Kewujudan majlis ini membantu memastikan media dapat berfungsi sebagai penjaga demokrasi dengan memberikan maklumat betul dan membolehkan perbezaan pendapat.
Dalam konteks keselamatan negara, majlis ini juga boleh memainkan peranan dalam memastikan maklumat yang disampaikan oleh media tidak membahayakan keselamatan negara.
Secara keseluruhannya, kewujudan MMM adalah untuk memastikan media berfungsi sebagai pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat dan memenuhi tanggungjawab sosial dan profesionalnya.
MMM boleh bertindak sebagai badan pemantauan dan pengawasan industri media.
Dengan kelulusannya, majlis mendapat kuasa untuk menyelia dan memastikan media beroperasi dengan mematuhi undang-undang, peraturan, dan standard etika yang ditetapkan dan membantu mengekalkan integriti dan kualiti penyampaian berita.
Pada masa sama, MMM boleh berfungsi sebagai badan penyelesaian pertikaian dalam industri media. Majlis ini kelak boleh mengendalikan aduan daripada orang ramai atau pihak yang merasa terkilan dengan liputan media.
Semoga segala usaha ini dapat memantapkan lagi profesion pengamal media selain memastikan fungsi-fungsi media dalam masyarakat tidak diganggu-gugat oleh orang yang berkepentingan.

Profesor Datuk Dr. Ismail Sualman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya