MUKADIMAH
HAMPIR setahun DATUK SERI FADILLAH YUSOF memegang portfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Sudah pasti dalam tempoh ini beliau berjaya mencapai banyak kejayaan terutama dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak selain memastikan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak terhakis.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID, dibantu jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut berkongsi kejayaan dan perancangan untuk memangkin keupayaan Malaysia dalam sektor agrokomoditi di mata dunia.
Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat kepada negara sebagai TPM dan saya sedar amanah ini bukan sesuatu yang ringan, lebih-lebih lagi menjadi TPM pertama dari Borneo, sudah pasti harapan dan jangkaan rakyat khususnya dari Sarawak sangat tinggi sekali.
Sementara dari Sabah dan Semenanjung pula, sudah pasti ia dinilai dari segi prestasi setakat mana saya boleh perform, boleh penuhi harapan dan masa sama berperanan mengimbangi peranan sebagai TPM untuk seluruh Malaysia dengan kehendak, hasrat dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.
Itu satu yang amat berat dan insya-Allah apa yang diamanahkan khususnya dengan pembentukan jawatankuasa teknikal MA63. Setakat ini alhamdulillah pencapaiannya dari saya dulu (sebagai) Menteri Kanan Kerja Raya (sudah) terlibat secara langsung. Banyak pencapaian yang dicapai dalam mengembalikan pentadbiran misalnya gas, pulau, perwakilan dan perairan kepada Sabah dan Sarawak.
Ini termasuk kawasan perairan untuk nelayan dan meletakkan wakil Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Bahkan, sudah dipersetujui untuk kembalikan mana-mana tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun walaupun sudah diambil oleh agensi Kerajaan Persekutuan, ia akan dikembalikan kepada kerajaan negeri.
Kalau Kerajaan Persekutuan memerlukan, mereka perlu nyatakan justifikasi kenapa diperlukan.
Ini pun sudah dilaksanakan dan lebih utama saya kira ialah dengan pindaan Perlembagaan itu sendiri khususnya perkara 1 dan 160 yang memasukkan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 sebagai sebahagian tafsiran dalam Perlembagaan itu sendiri. Itu merupakan kemuncak apa yang diperjuangkan.
Peruntukan belanjawan, alhamdulillah melihat bahawa Anwar mengumumkan peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak. Perkara 122D sudah dimuktamadkan di mana secara interim (sementara) kedua-dua negeri ini mendapat peruntukan RM300 juta setiap tahun untuk tempoh lima tahun ini.
Ini penyelesaian secara interim, perundingan masih berjalan dari segi formula untuk dimuktamadkan. Banyak lagi perkara kalau nak diperincikan.
TUNTUT HAK MA63 YANG TERHAKIS
Saya tak lihat pada peratusan tapi kalau kita lihat Akta Perjanjian 1963. Dalam Laporan IGC, Sarawak bersetuju untuk menubuhkan Malaysia dulu, ada syarat-syarat tertentu yang direkomendasi dan dengan itu ada beberapa tindakan yang perlu diambil dan kita kena ingat MA63 ini juga adalah satu perjanjian yang didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah jika lihat sejarah kita dulu melalui pentadbiran kepimpinan yang lepas, bila sudah tertubuhnya Malaysia, apa yang dipersetujui dalam IGC Report tidak diambil tindakan malahan ada juga kuasa-kuasa sepatutnya di bawah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak diambil alih kuasanya oleh Kerajaan Persekutuan di waktu itu sama ada sedar atau tidak.
Kita lihat pada pendekatan melalui penyelesaian yang mudah dulu sebab peringkat pertama yang dilakukan penurunan kuasa secara pentadbiran. Maknanya, yang boleh turunkan kuasa, kita akan turunkan kuasa dalam kerajaan Sabah dan Sarawak. Itu lebih mudah.
Kedua, proses perundangan iaitu terpaksa pinda termasuklah Perkara 1, 160 dan juga hubung kait 22 dan sebagainya. Ada yang lebih kompleks daripada itu di mana undang-undang diperkenalkan di peringkat Persekutuan tapi mengambil alih kuasa kerajaan negeri. Misal kata, luluskan sempadan laut Sarawak.
Kita ada undang-undang laut kita sendiri di mana sempadan kita ialah pada sesuatu jarak (ditetapkan) tetapi di bawah Persekutuan jaraknya lain dan diperkenalkan pula undang-undang yang diluluskan di Parlimen tapi tidak mengambil kira pandangan Sarawak sebab kalau mengikut semangatnya apa-apa undang-undang Persekutuan yang nak digubal mesti bukan sahaja runding dengan kerajaan negeri tetapi mesti diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kalau tidak, ia tidak sah sebab undang-undang Sarawak sudah wujud sebelum tertubuhnya Malaysia. Ini yang agak rumit kerana melibatkan proses perundangan bukan sahaja pemindahan mungkin juga terpaksa batalkan undang-undang dan sebagainya. Sebab itu kita melihat mungkin lewat sedikit untuk selesaikan.
Tujuan utama MA63 adalah untuk menuntut hak-hak yang sudah terhakis. Kita tidak akan menuntut Petronas menjadi hak Sarawak atau Sabah.
Ini tidak akan berlaku sebab sedar ia perlu untuk menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan sebab itu kena runding untuk cari jalan terbaik. Win-win situation untuk semua.
Satu lagi cabaran berhubung kait perwakilan dalam Dewan Rakyat dengan memastikan komposisi Sabah dan Sarawak sebanyak 35 peratus khususnya bahagian Singapura patutnya diagihkan kepada dua negeri ini.
MACAM DI BULAN SEBELUM ADA PAN BORNEO
Fasa pertama di Sarawak yang diluluskan dengan peruntukan lebih kurang RM16 bilion. Fasa kedua dibatalkan bila berlaku perubahan kerajaan bila BN (Barisan Nasional) kalah.
Untuk fasa pertama lebih kurang 98 peratus siap, hanya satu bahagian di Miri terpaksa redesign disebabkan masalah utiliti paip air lama yang terpaksa dipindahkan. Ia dijangka siap pada 2025.
Manakala di Sabah menerima komitmen dari Perdana Menteri dengan nilai RM16 bilion untuk diteruskan.
Sudah pasti ini menjadi game changer yang bukan sahaja meningkatkan infra tapi memudah dan mempercepatkan perjalanan. Sebab itu bila kembara Yang di-Pertuan Agong dapat merasai sendiri bagaimana jauh ketinggalan infra di Sabah dan Sarawak.
Dan baginda melihat perbandingan kualiti jalan bila menyusuri Sabah sebelum siapnya Pan Borneo berbanding di Sarawak sehingga menggambarkan seolah-olah perjalanan di bulan dan di Abu Dhabi atau Dubai.
FADILLAH Yusof ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil (kanan) dan Aqilah Mior Kamarulbaid di bangunan Parlimen, baru-baru ini.
PERTUKARAN IBU NEGARA INDONESIA
Sudah pasti kita ambil maklum dan disebabkan itu Anwar menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk lihat pembangunan di sempadan negara melibatkan Sabah, Sarawak dan pembangunan di Kalimantan dan juga sempadan Thailand untuk lihat apa yang patut kita laksanakan terutamanya untuk naik taraf dan bina juga Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), kemudian segala infra dan kemudahan di situ berjalan.
Kita juga melihat dari segi keselamatan untuk dipertingkatkan melalui jalan-jalan di sempadan. Ini memang dalam perancangan dan ada yang sudah dilaksanakan. Kita akan laksanakan secara berperingkat.
PATUT LEBIH CEPAT LEPAS TURUN KUASA
Penurunan kuasa projek pembangunan bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal, itu telah dipersetujui JKR (Jabatan Kerja Raya) Sabah, Sarawak; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga mana-mana agensi teknikal Sarawak.
Dari segi teorinya patutnya cepat tapi kita kena pantau pertama sekali badan teknikal di Sabah dan Sarawak kena tingkatkan keupayaan mereka dari segi sumber manusia supaya dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, lebih berkesan dan efisien.
STARLINK JADI ‘PENYELAMAT’
Liputan internet di Sarawak lebih agresif tetapi masalahnya ada cabaran dari segi syarikat telekomunikasi adakah mereka sanggup untuk menyediakan perkhidmatan itu disebabkan kalau terlalu luar bandar, bisnesnya tak bagus kerana pelanggannya tak ramai dan sebagainya.
Dengan adanya perkenalan Starlink dan sebagainya mungkin akan membantu sebab kita tak perlu bergantung dengan syarikat telekomunikasi kerana boleh dihubungi melalui satelit untuk dapatkan liputan.
Kita melihat pelbagai kaedah untuk pastikan jaringan komunikasi dapat dihubungi di setiap tempat.
PENCAPAIAN SAWIT
Tahun lepas pencapaian agak baik selepas Covid-19 disebabkan mungkin semua negara bisnes baharu terbuka, kemudian konflik antara Russia dan Ukraine menjejaskan bekalan untuk minyak-minyak lain.
Sebab itu, tahun lepas peningkatan begitu mendadak dari segi permintaan minyak sawit kita tapi tahun ini menurun sedikit disebabkan mereka sudah menyimpan stok. Bila stok banyak, maka kuranglah permintaan.
Kedua, faktor ekonomi global. Setiap negara berdepan masalah ekonomi dari segi pertumbuhan ekonomi itu menyusut. Bank Negara Malaysia menyatakan kebanyakan ada yang kurang daripada tiga peratus. Jadi bila penyusutan ekonomi, sudah pasti menjejaskan permintaan.
Ketiga, walaupun dari segi jumlah eksport mungkin tidak jauh (dari sebelum ini) tetapi disebabkan nilai mata wang kita turun, jadi nilai ringgitnya nampak turun selain geopolitik yang tidak menentu dengan perkembangan konflik antara Palestin dan Israel. Kemudian keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan kurangnya pengeluaran.
Tetapi negara kita setakat ini stok sawit banyak sebab bila ada pekerja asing sudah pasti berlaku peningkatan pengeluaran. Cuma cabarannya sekarang ini bagaimana nak kembangkan pasaran di tempat-tempat lain.
Itu yang sedang dilaksanakan malahan saya pergi ke China untuk memastikan peningkatan hubungan perdagangan dua negara. China memang memberi komitmen akan terus memberi sokongan untuk terus mengimport minyak sawit Malaysia.
Pun begitu campur tangan Kesatuan Eropah (EU) merupakan cabaran. Setiap kali kita sudah capai, akan ada lagi peraturan baharu. Ia meningkatkan kos untuk membuat bisnes. Kita sudah menyuarakan pandangan. Sekarang ini membuat tumpuan terhadap task force yang dipersetujui di mana Disember nanti ada mesyuarat sekali lagi antara EU dengan Malaysia dan Indonesia.
BOLEH LOMBONG NADIR BUMI TAPI JANGAN TEBANG POKOK
Kita perlu ingat dasar dan komitmen kepada dunia khususnya dari segi hutan, iaitu tidak boleh kurang dari 50 peratus untuk 2050.
Kedua, untuk kurangkan pembebasan karbon. Ini perkara yang perlu kita ambil kira. Kita juga perlu mengeluarkan dasar yang patut dilaksanakan.
Adakah kita (mengeluarkan) secara mentah atau tidak benarkan eksport melainkan ia diproses dalam negara dahulu sekurang-kurangnya di tahap pertengahan, kalau tidak di hiliran.
Dari segi huluan, prosesnya kalau dapat bukan proses tebang semua pokok tapi melihat teknologi baharu untuk mengorek dan keluarkan dari dalam tanpa potong pokok.
Ini garis panduan dan dasar yang kita sedang kemas kini dan kalau dapat dihasilkan insya-Allah nadir bumi adalah salah satu punca pendapatan baharu kepada negeri dan negara.
NEGARA TAK MAMPU, MACAM MANA NAK BANTU RAKYAT?
Ada pihak yang menyatakan harga lantai getah RM3 tidak gembirakan penoreh. Apa pun yang kita laksanakan ada yang gembira dan ada yang tidak tapi kita perlu lihat dari sudut pandangan dan keupayaan kewangan negara. Kalau negara sudah tidak mampu macam mana nak bantu rakyat?
Banyak pandangan yang kita terima, ada yang minta naik harga sampai RM4, ada yang minta RM3 dan RM3.50 tapi akhirnya yang dipersetujui di peringkat kerajaan adalah RM3 berdasarkan kemampuan negara.
Kita sebenarnya boleh kalau fokus untuk memastikan memberi pulangan yang munasabah kepada penoreh cuma masalah dalam industri getah di peringkat huluan ini ialah pemilik tanah dan penoreh.
Pemilik tanah tak dapat menoreh dan terpaksa mengupah orang kerana mungkin tidak berkemampuan dari segi umur dan sebagainya.
Dari situ pula akan timbul agihan perkongsian hasil jualan dan bagaimana hendak agihkan juga menjadi isu.
Sekarang ini kita melihat mengapa terpaksa mengimport banyak susu getah dari negara luar. Itu yang kita nak buat kajian.
Kalau dapat keluarkan susu getah, ambillah dalam jumlah RM1 bilion, maknanya aliran keluar duit kita kurang. Bila terjadi, kita dapat stabilkan nilai mata wang kita.
Kita sudah buat projek rintis yang dilancarkan di Perak baru-baru ini melalui program di mana wujudkan kluster penanam getah dan kita tubuhkan komuniti koperasi atau kumpulan jawatankuasa.
Dengan kluster ini, kita bantu mereka menjual terus ke kilang, dulu terpaksa melalui orang tengah. Dengan ini kita dapat melihat peningkatan 20 hingga 30 peratus pendapatan mereka.
Bahkan sudah ada syarikat-syarikat besar bersetuju untuk membeli terus daripada mereka. Bermakna mereka terus dapat duit pada waktu dan ketika itu.
Seterusnya perkenalkan teknologi yang ditambah baik secara rintis melibatkan 1,000 hektar menggunakan gas stimulant maknanya gas akan dimasukkan ke pokok getah untuk torehan yang akan menambah 30 peratus susu getah sekali gus ini akan mengurangkan import getah negara.
GPS KING MAKER?
Kami tidak melihat sebagai king maker cuma kami konsisten melihat kepentingan dan keutamaan negara untuk mewujudkan politik yang stabil dan kuat.
Sebenarnya sokongan kita betul kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas menghadap di istana, pada waktu itu berpandangan formula terbaik adalah mewujudkan kerajaan perpaduan.
Sebab itu kita kata, kita akur pada apa sahaja aspirasi dan keputusan Agong walaupun kita bukan negeri yang beraja tetapi mengambil semangat di bawah Rukun Negara. – UTUSAN