Hutan Kelantan ‘tenat’

Hutan Kelantan ‘tenat’, harimau tak lagi ‘segan’ keluar

KONFLIK manusia dan hidupan liar akan terus berlaku jika hutan terus diusik oleh tangan-tangan nakal. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini ‘perang’ antara manusia dengan hidupan liar di kawasan hulu Kelantan khususnya Gua Musang seolah-olah tiada kesudahan apabila saban minggu ada sahaja konflik dilaporkan oleh Utusan Malaysia termasuklah media arus perdana yang lain.

Jika diperhalusi secara mendalam, konflik itu sebenarnya satu ‘isyarat’ yang dihantar oleh alam kepada seluruh rakyat di negeri ini bahawasanya hutan di bumi serambi Mekah ini sebenarnya sudah ‘tenat’.

Kesakitan itu besar kemungkinan berpunca daripada tangan-tangan ‘nakal’ manusia yang tanpa segan silu melakukan aktiviti penerokaan hutan untuk tujuan tertentu seperti pembukaan ladang, pembalakan sebagainya.

Tindakan tangan-tangan ‘nakal’ itulah telah mengganggu-gugat ketenteraman hidupan liar ditengah-tengah belantara sehingga merosakan ‘kediaman’ ratusan tahun haiwan berkenaan.

Kemarahan haiwan liar itu seolah-olah sudah gagal dibendung apabila mereka tidak lagi ‘segan’ untuk keluar dari kawasan hutan dan menampakan diri di depan khalayak manusia walaupun ia jelas melanggar aturan sebagai seekor binatang.

Gajah, harimau dan beruang antara tiga jenis haiwan yang selalu menceroboh masuk kawasan penempatan manusia selepas habitat mereka diusik.

 

SERIUS
Konflik antara manusia dengan hidupan liar ini tidak boleh dipandang ‘enteng’ oleh semua pihak terutamanya kerajaan negari.

Serangan harimau belang yang menyebabkan dua kematian dalam tempoh kurang 48 di Kampung Mentaro, Gua Musang pada 10 dan 11 November lalu memberi isyarat kepada pimpinan kerajaan negeri supaya mereka tidak lagi berpeluk tubuh.

Terdahulu, pada 5 Oktober lalu, seorang lelaki di Pos Pasik, Gua Musang maut dibaham harimau semasa keluar menyumpit.

Melihat kepada situasi makin ‘meruncing’ itu, penyelesaian segera perlu dilakukan dengan lebih tuntas dalam ‘meredakan’ kemarahan haiwan-haiwan liar di Gua Musang kepada manusia.

Sudah tiba masanya satu jawatankuasa khas di peringkat negeri diwujudkan untuk meneliti dan melihat perkara ini dengan sebaik mungkin.

 

SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli melakukan bantahan berkait cadangan perubahan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) melibatkan lokasi seluas 514,898 hektar di Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

 

KSAS DAN SUARA ORANG ASLI
Cadangan perubahan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) melibatkan lokasi seluas 514,898 hektar di Gua Musang oleh kerajaan negeri mendapat bantahan ‘keras’ daripada masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menjelaskan cadangan tersebut sama sekali tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung.

Pada masa sama, kerajaan masih lagi mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkan 514,898 hekar daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS, selain itu punca dan tadahan air seluas 114,982 hektar masih lagi kekalkan.

Kata masyarakat Orang Asli sekiranya cadangan itu dilaksanakan, mereka akan menerima padah dalam jangka masa panjang.

Paling membimbangkan mereka, hutan yang menjadi habitat hidupan liar menjadi semakin kecil sekali gus menyebabkan berdepan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Jangan buat-buat lupa atau ‘terlupa’ Orang Asli juga rakyat negeri serambi Mekah dan suara mereka tidak boleh dipinggirkan.

Cadangan pengubahsuaian itu turut mendapat bantahan rakyat Kelantan apabila lebih lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Save Kelantan, Kelab Cakna Alam Kelantan.

Teringat Firman Allah dalam Surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat).”

Kor guana?-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya