MINGGU lalu tiba-tiba program Solidariti Untuk Palestin yang dianjurkan di sekolah-sekolah menjadi isu perpaduan di negara ini. Sehingga ada ibu bapa yang teragak-agak untuk membenarkan anak-anak mereka menyertai program tersebut.
Malah, pihak berkuasa pendidikan juga terpaksa membina garis panduan penganjuran untuk meyakinkan semua pihak bahawa usaha ini adalah sesuatu yang baik.
Ada sebahagian pihak melihat penganjuran Solidariti untuk Palestin ini sebagai ‘ancaman’ kepada keamanan manakala sebahagian lain pula melihat penganjuran solidariti untuk perjuangan rakyat Palestin ini hanyalah satu manifestasi sebagai tanda masyarakat Malaysia memberikan sokongan dan menunjukkan rasa kedukaan dengan kezaliman yang sedang berlaku di bumi Palestin.
Situasi ini sebenarnya memang janggal. Seolah-olah konflik Palestin ini seperti perkara baru untuk masyarakat kita. Hakikatnya, sudah sekian lama isu pembebasan Palestin ini menjadi perhatian dan simpati daripada rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Seingat saya sejak zaman perjuangan rakyat Palestin yang dipimpin oleh Perdana Menteri Palestin, Yasser Arafat lagi, Malaysia telah pun memberikan sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin.
Pada sesiapa yang mengikuti sejarah perjuangan membebaskan Palestin, mereka pasti akan tahu dan faham isu Palestin adalah perjuangan bersenjata rakyat Palestin semata-mata demi mempertahankan tanah air. Mereka tidak menyerang, menzalimi atau cuba menakluk negara lain. Sejak lebih 60 tahun lalu, perjuangan bersenjata mempertahankan tanah air oleh rakyat Palestin memang telah berlaku. Isu pembebasan Palestin bukan perkara baharu.
Tentulah pelik bila tiba-tiba sahaja naratif perjuangan mempertahankan tanah air oleh rakyat Palestin yang sudah dimaklumi oleh seluruh rakyat negara ini tiba-tiba sahaja bertukar menjadi naratif keganasan dan ekstremisme sehingga menimbulkan perdebatan yang menggugat perpaduan di negara ini.
Nampaknya isu hubungan antarabangsa mula menerobos sehingga menjadi penyebab kepada defisit sosial perpaduan di negara ini. Jika dulu, isu perpaduan masyarakat negara ini lebih tertumpu kepada soal-soal dalam negara seperti isu pendidikan vernakular, kedaulatan bahasa Melayu, kedudukan keistimewaan orang Melayu atau isu kedudukan agama Islam, nampaknya sekarang, isu hubungan antarabangsa seperti perjuangan Palestin juga boleh menimbulkan resah kita pada kestabilan perpaduan.
Apakah pada masa depan, jika berlaku lagi isu-isu sebegini di peringkat antarabangsa, ia berkemungkinan akan menggugat perpaduan masyarakat negara ini? Apakah kita juga pada masa sama sudah bersedia untuk menguruskan situasi seperti ini pada masa depan sedangkan isu di peringkat antarabangsa tentunya tidak akan sama dengan pengalaman kita menguruskan isu-isu perpaduan dalam negara?
Pada 2021, kerajaan melancarkan dokumen Dasar Perpaduan Negara. Merujuk kepada dokumen itu, terkandung di dalamnya 10 perkara yang dikenal pasti mempunyai potensi berlakunya defisit sosial sehingga berkemungkinan boleh membawa kepada tergugatnya perpaduan masyarakat.
Pertama, defisit sosial akibat kepelbagaian dan kerencaman etnik. Kedua, kurang kefahaman dan sensitiviti antara penganut pelbagai agama. Ketiga, wujudnya jurang kelas sosial yang besar dalam masyarakat. Keempat, berlaku ketidakseragaman aliran pendidikan dan penyampaian sistem pendidikan.
Kelima, kurangnya penguasaan bahasa kebangsaan. Keenam, wujudnya jurang nilai, ideologi, semangat jati diri dan budaya antara generasi. Ketujuh, wujudnya jurang antara gender dalam pelaksanaan dasar dan peluang kehidupan. Kelapan, wujudnya konflik politik federalisme dalam konteks hak, peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa Persekutuan dan kerajaan peringkat negeri.
Kesembilan, wujudnya jurang pembangunan infrastruktur dan pengetahuan masyarakat di bandar dan desa dan kesepuluh, berlakunya penyalahgunaan dan pengawalan informasi media khususnya media sosial yang boleh menyebabkan tergugatnya perpaduan.
Sepuluh perkara ini dikenal pasti berpotensi menjadi defisit sosial sehingga mampu menggugat perpaduan jika tidak diuruskan dengan baik dan secara berkesan. Bagaimanapun, dokumen Dasar Perpaduan Negara ketika digubal belum melihat kemungkinan bahawa hubungan antarabangsa juga boleh menjadi penyumbang kepada defisit sosial terhadap perpaduan masyarakat sebagaimana dengan apa yang berlaku dalam isu Palestin minggu lalu.
Pengalaman isu penganjuran program Solidariti untuk Palestin oleh sekolah-sekolah boleh menjadi contoh khusus dan terkini bagaimana defisit sosial daripada kefahaman masyarakat tentang hubungan antarabangsa juga mampu mengugat kesepaduan dan mestilah diuruskan dengan lebih berkesan pada masa depan.
Oleh itu, dicadangkan supaya defisit sosial daripada lemahnya pengetahuan hubungan antarabangsa juga mestilah diambil kira sebagai salah satu penyumbang kepada tergugatnya perpaduan di negara ini. Langkah kawalan berkaitan defisit sosial isu hubungan antarabangsa juga mestilah dibangunkan di dalam dokumen Dasar Perpaduan Negara pada masa akan datang. Pada masa sama, Dasar Perpaduan Negara juga seharusnya disebarluaskan kepada setiap peringkat masyarakat untuk dihayati dengan lebih mendalam. Sekolah adalah tapak integrasi terbaik untuk usaha merakyatkan Dasar Perpaduan Negara.
Kefahaman yang lebih baik dalam kalangan generasi muda tentang perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada wujudnya defisit sosial pastinya akan meningkatkan lagi rasa saling menghormati, toleransi serta muhibbah dalam kalangan mereka. Semua langkah kawalan yang bersifat preventif ini mestilah dilakukan sekarang demi kebaikan masyarakat dan negara pada masa depan.
DR. ANUAR AHMAD ialah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, UKM.