Upah pihak lain buat tugasan, tesis - Apa kualiti ijazah, master, PhD kita? - Utusan Malaysia

Upah pihak lain buat tugasan, tesis – Apa kualiti ijazah, master, PhD kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU lalu saya mendapat mesej di aplikasi WhatsApp dari seorang kawan. Dia memberitahu, anaknya seorang siswazah baru saja ditawarkan pekerjaan dengan gaji agak lumayan. Bekerja pun tak perlu masuk pejabat. Hanya dari rumah.
“Dia kata ada company offer dia kerja. Kerja itu buatkan assignment pelajar degree, master dan PhD. Anak saya kata, company itu bayar tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, anak perempuannya itu bertanya kepadanya, – “ Abah, haram tak duit yang dapat daripada pekerjaan itu? Sebab macam menipu, buatkan assignment orang lain.” Pening juga, dia mahu jawab soalan itu, ceritanya.
Katanya, dia cuma jawab dengan soalan – “Di mana kualiti kebijaksanaan sebenar pelajar? Tidak ada daya usaha langsung.”
Saya yang sudah terlalu lama meninggalkan alam belajar di universiti terkejut juga. Wujudkah syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu? Mengambil upah membuatkan assignment dan tesis untuk master (ijazah sarjana) dan PhD (doktor falsafah)? Taipkan saja atau buat semua – cari bahan dan idea sekali? Kalau begitu, ini sudah banyak ‘lemau’ dan lemak, kata saya. Lalu saya pun mencari perkhidmatan jenis ini di media sosial. Betullah. Rupa-rupanya memang berlambak.
Ramai pelajar yang tidak segan silu bertanyakan soalan-soalan pada syarikat atau pihak yang menawarkan khidmat itu secara terang-terangan dalam media sosial. Ada yang bertanyakan tentang kadar bayaran untuk sesuatu assignment atau tesis, tempoh disiapkan dan tajuk-tajuk yang boleh dibuat oleh mereka.
Pihak yang mengiklan pula menawarkan banyak perkhidmatan bukan setakat membuat assignment dan tesis tetapi ada juga penulisan jurnal, penulisan akademik, artikel dan penyelidikan.
Mereka mempunyai pekerja-pekerja yang pakar dalam bidang-bidang yang diminta oleh pelanggan mereka dan yang penting segala urusan dan maklumat adalah sulit!
Kata pihak yang menawarkan perkhidmatan ini, mereka memahami kesibukan pelajar-pelajar dan boleh membantu yang tidak ada masa itu membuat tugasan dengan upah berpatutan selain memberi jaminan tentang kualiti kerja. Agak menghairankan, apalah sangat disibukkan oleh pelajar ini? Kalau tak buat assignment, beri upah pada orang lain, dia buat apa pula di universiti itu?
Mereka juga menunjukkan testimoni dengan memaparkan perbualan di WhatsApp pelajar-pelajar yang berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.
Dan rupa-rupanya juga, perkhidmatan ini sudah ada di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya. Tepuk dahi jugalah emak bapa kalau tahu anak-anak mereka yang selalu meminta duit belanja itu, rupanya menghabiskan duit dengan mengupah orang lain membuat tugasan kursusnya.
Betullah, kata kawan saya itu, apa kualiti yang ada pada pelajar itu jika ijazah, master atau PhD itu hasil daripada mengupah orang lain? Konon, nak jadi ahli akademik lah sangat?
Walaupun bukan semua yang melakukannya, tetapi ini mencerminkan betapa ada di antara pelajar kita termasuk di peringkat master dan Phd menganggap ilmu pengetahuan itu boleh dijual beli. Yang tak cukup pandai, boleh jadi pandai dengan mengupah orang lain untuk membuatkannya nampak pandai, soalnya ada duit atau tidak saja.
Bila masuk ke alam pekerjaan pula bagaimana? Ada orang buatkan kerja dia pulakah? Bagaimana mahu menghadapi cabaran kerja yang keras, perlukan otak sendiri untuk berfikir?
Negara ini melahirkan ratusan ribu siswazah setiap tahun. Apa jenis kualiti mereka ada jika tugasan kursus pun orang lain selesaikan? Jangan bawa otak kosong dan kemalasan masuk ke dunia pekerjaan. Jenuh mahu dilatih.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya