UNGA penghujung sengsara Gaza? - Utusan Malaysia

UNGA penghujung sengsara Gaza?

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Sidang Khas Tergempar ke-10 pada Khamis, menyaksikan resolusi menyeru gencatan senjata segera, selain bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa halangan diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMANG celaru nampak gayanya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam hal kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh penduduk Gaza. Empat usul yang dicadangkan iaitu dua dari Rusia dan masing-masing satu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Brazil tiada kata putus dicapai.
Dalam lima ahli tetap memang jelas AS dan United Kingdom (UK) dalam satu kumpulan manakala Rusia dan China sentiasa bersama manakala Perancis pula sekejap sokong AS-UK dan sekejap bersama Rusia-China pula.
Bukan sahaja bercelaru diantara lima ahli tetap tetapi dalam kalangan 10 ahli tidak tetap juga tidak mampu membuat keputusan. Ada ahli yang berkehendakan gencatan senjata dilaksanakan secepat mungkin dan ada pula mahukan bantuan disalur segera tetapi Israel tidak perlu hentikan pengeboman ke atas penduduk Gaza.
Malah dalam kalangan 27 negara yang membentuk Kesatuan Eropah (EU), kecelaruan mirip dan serupa UNSC. Dua minggu lalu, bila konflik mula tercetus EU kata akan hentikan bantuan kepada Palestin yang berjumlah 691 juta Euro. Tetapi beberapa jam selepas itu diperbetul kenyataan asal yang mana bantuan akan disalurkan tetapi akan dipastikan tidak jatuh ke tangan Hamas.
Senario ini mempamerkan wujud perpecahan dalam EU hal Palestin tidak seperti mana perpaduan yang dipamerkan berkait Ukraine. Austria, Hungary dan Jerman lebih pro Israel manakala Sepanyol, Belanda dan Ireland lebih bersimpati dengan perjuangan Palestin. Tetapi ada baiknya kerana dalam kecelaruan EU, pertubuhan ini bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bersama di akhir sidang kemuncak Khamis lalu walaupun tiada ungkapan gencatan senjata tetapi wujud persetujuan supaya jeda (berhenti seketika) pengeboman oleh Israel.
Memang benar kecelaruan UNSC dan perpecahan EU tidak membantu perjuangan Palestin dan juga tidak meredakan kesengsaraan penduduk Gaza. Bertambah buruk bila Presiden AS, Joe Biden mempersoalkan kesahihan data penduduk Gaza yang telah terkorban yang disalurkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.
Biden tidak percaya 7,000 penduduk Gaza terkorban akibat pengeboman tubi rejim Israel yang mana 3,000 daripada angka korban ini adalah kanak-kanak kerana menurut Biden hospital di Gaza berada dalam kawalan Hamas dan apa saja yang berpunca dari Hamas tidak boleh dipercayai. Bayangkan perasaan keluarga mangsa serangan September 11, 2001 jika ada yang mempertikaikan jumlah mangsa yang menghampiri 3,000 orang terkorban dalam serangan itu.
Memang benar UNSC adalah satu-satunya landasan yang mampu menyelesaikan kesengsaraan penduduk Gaza dalam masa terdekat. Tetapi hakikatnya terdapat jurang perbezaan begitu ketara dalam hal keperluan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan yang menyukarkan persetujuan dicapai.
Tolak ke tepi UNSC yang bercelaru sebagai harapan membantu penduduk Gaza kerana atas permintaan beberapa negara Arab yang diketuai oleh Jordan serta disokong oleh beberapa negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Laos dan Brunei perhimpunan tergempar perhimpunan PBB (UNGA) telah diadakan bermula Khamis lalu.
Memang benar resolusi UNGA tidak sekuat UNSC kerana tiada kekuatan perundangan tetapi hakikatnya Israel adalah satu-satunya negara ahli PBB yang paling kerap tidak mengendahkan resolusi UNSC. Sokongan terhadap undi resolusi UNGA adalah gambaran tepat kedudukan masyarakat antarabangsa kerana tiada negara yang ada kuasa veto dan kesemua 193 negara ahli mempunyai kuasa mengundi sama rata.
Keputusan undi resolusi UNGA yang diusul oleh Jordan yang mengkehendaki jeda pengeboman untuk membenarkan bantuan disalur adalah 120 menyokong, 45 berkecuali dan 14 menentang. Antara negara yang menyokong resolusi ini yang dianggap ketara adalah Perancis, China dan Rusia yang kesemuanya mempunyai kuasa veto di UNSC. Sementara Australia, Kanada, Jerman, India, Itali serta Sweden negara yang lebih pro Israel tetapi memilih jalan tengah dengan sikap berkecuali.
Seperti yang dijangka AS dan Israel mengetuai 14 negara ahli menentang resolusi Jordan dan dalam kumpulan ini kecuali AS, kesemuanya dianggap tidak signifikan dalam hal geopolitik antarabangsa seperti Fiji, Guatamela, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Papua New Guinea dan Tonga.
Paling menarik Thailand bersama-sama dengan negara ASEAN mengundi menyokong usul walaupun ketika perbahasan duta Israel mempamerkan foto bagaimana pejuang Hamas cuba memenggal rakyat Thailand yang ditahan ketika serangan 7 Oktober.
Jika diteliti pola pengundian resolusi UNGA maka amat jelas AS sebagai penyokong tegar Israel dan kuasa besar yang mampu meredakan kemelut ini adalah berseorangan. 12 negara ahli lain yang menentang resolusi adalah negara kecil yang membuat keputusan bukan kerana isu yang diperbahaskan tetapi kerana kepentingan ekonomi dan geopolitik masing-masing.
Sikap berkecuali UK dan sokongan Peranchis dan sebahagian besar negara EU sama ada menyokong atau berkecuali adalah manifestasi bagaimana AS kini berseorangan kerana tiada negara yang mahu dikaitkan dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Sesungguhnya resolusi UNGA walaupun tidak mempunyai kekuatan perundangan tetapi kekuatan moral dan etikanya tidak boleh dipertikai.
Malah kerana resolusi UNGA juga pada Disember 2022 berjaya membawa kes penjajahan Israel terhadap Gaza dan Tebing Barat supaya dibahaskan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Februari 2024. Paling penting juga, rakyat Amerika sendiri yang selama ini sentiasa mempertahankan hak Israel sudah tidak boleh menerima lagi kekejaman Israel ke atas penduduk Gaza. Masyarakat antarabangsa masih menanti bila pemimpin AS akan membuka hati mereka.

Penulis ialah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara NASR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya