Subsidi bersasar langkah berani kerajaan

Subsidi bersasar langkah berani kerajaan

ANWAR Ibrahim tiba di Parlimen bagi bagi membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM ucapan Belanjawan 2024 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerangka Ekonomi Madani sudah memeta matlamat yang jelas, iaitu untuk meningkatkan darjat hidup rakyat dan kembali menjadi jaguh ekonomi serantau. Arakian, sebuah islah perlu dilaksanakan sungguhpun sukar. Ini termasuklah melaksanakan subsidi bersasar yang akan dibuat secara berfasa mulai tahun hadapan.

Tegas beliau, Belanjawan 2023 memperuntukkan RM64 bilion untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion. Sekali pun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, hakikatnya ia lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga murah pula meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta warga asing.

Selaras pendedahan Anwar sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 bahawa anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada 2020, kali ini beliau memaklumkan kerajaan berhasrat merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelak ketirisan dan penyeludupan. Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan sementara pengguna lain dikenakan harga lebih tinggi.

Melaksanakan subsidi bersasar adalah satu perkara yang telah lama diperkatakan oleh beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Malangnya ia tidak mampu dilaksanakan dengan komprehensif. Ini kerana dasar subsidi bersasar ini tidak popular dan boleh mendatangkan kemarahan kepada golongan T20 selain kesukaran menentukan mekanisme paling sesuai untuk merangka. Bagaimanapun, Anwar sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri lagi menyatakan keazaman untuk melaksanakan subsidi bersasar ini.

Sejak 27 November 2022, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Anwar memberikan NACCOL tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri seluruh implikasi subsidi bersasar serta membincangkannya dengan sektor swasta dan pelabur. Tegas beliau, “Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar. Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh golongan kaya.”

Permulaan kepada subsidi bersasar ini dibuat oleh keputusan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 16 Disember 2022 mengenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj kepada pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) di mana penjimatan subsidi elektrik yang dilakukan secara bersasar dari tempoh 1 Januari hingga Jun adalah RM5.6 bilion. RM5.6 bilion satu jumlah besar, dan ini hanya daripada penjimatan subsidi elektrik, di mana ia boleh digunakan untuk tujuan bantuan kepada rakyat dalam bentuk lain.

Bayangkan berapa banyak penjimatan subsidi boleh dibuat jika ia turut merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada 2022 sahaja sebanyak RM50.8 bilion subsidi bahan api ini ditanggung oleh kerajaan dan daripada jumlah itu sebanyak 32 peratus membabitkan golongan T20. Dan sekiranya subsidi ini diberikan secara bersasar dan tidak diberikan kepada golongan T20, kerajaan mampu menjimatkan wang antara RM16 bilion hingga RM17 bilion.

TEKAD POLITIK

Kerajaan perpaduan mempunyai tekad politik untuk melaksanakan dasar ini. Usaha gigih Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah melalui Pangkalan Data Utama (PADU) untuk melaksanakan subsidi bersasar bahan api harus dipuji. Ia bukanlah satu usaha mudah kerana memerlukan kerjasama lebih 270 agensi kerajaan dan badan berkanun tetapi dimaklumkan akan melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum beroperasi pada Januari 2024.

Anwar sendiri pernah menjelaskan, kerajaan boleh meneruskan dasar popular dengan meneruskan subsidi. Namun, ini akan menyebabkan negara terpaksa berhutang sedangkan hutang dan liabiliti kita sudah mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil, iaitu melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.

Dengan jumlah subsidi terlalu tinggi begini, tidak ada negara mampu bertahan. Berbilion ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk subsidi pukal setiap tahun juga merencatkan produktiviti dan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Langkah konkrit kerajaan untuk beralih daripada sistem subsidi pukal yang telah lama wujud kepada subsidi bersasar juga adalah kunci kepada konsolidasi fiskal pentadbiran ini.

Mereformasikan sistem subsidi bukanlah satu kerja mudah. Ia berisiko tinggi kerana subsidi telah menjadi sebahagian daripada ekonomi negara sejak merdeka sehingga dianggap seolah-olah hak mereka. Sesiapa yang mahu mengubahnya boleh menerima political backlash (tindak balas politik) golongan yang mendapat manfaat daripada status quo. Walaupun begitu, ia masih perlu dilakukan kerana manfaat jangka panjangnya akan menambah baik kehidupan rakyat.

Pemberian subsidi perlu dibuat secara lebih adil dan lestari untuk meringankan beban golongan miskin yang berhak mendapat dukungan kewangan daripada kerajaan. Subsidi pukal menyebabkan wujudnya pembaziran dan ketirisan serta menguntungkan golongan pendapatan tinggi melebihi golongan berpendapatan rendah. Pada masa sama, subsidi bersasar juga boleh membantu golongan T20 menjimatkan penggunaan bahan api sesuai dengan agenda mampan negara.

Penjimatan yang diperoleh daripada pelaksanaan subsidi bersasar boleh digunakan untuk mengukuhkan keselamatan jaringan sosial rakyat. Dan Anwar sendiri mengumumkan semalam, hasil penjimatan ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana menaikkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) daripada RM15.3 bilion menjadi RM16.3 bilion pada tahun ini, termasuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024. Semua ini sekali gus adalah pengiktirafan kepada kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN