Semua pihak bantu SPRM banteras rasuah - Utusan Malaysia

Semua pihak bantu SPRM banteras rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bergambar bersama pegawai operasi SPRM pada Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan SPRM di Putrajaya, Julai lalu. – mingguan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-56, baru-baru ini.
Tiada siapa boleh menafikan peranan efisien dan sumbangan signifikan agensi penguatkuasaan ini dalam mencegah dan membanteras amalan rasuah di negara ini sejak penubuhannya pada 1 Oktober 1967. Walaupun nama dan statusnya berubah beberapa kali namun hakikatnya matlamat utama tetap sama, iaitu membebaskan negara daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berpaksikan tata kelola dan tadbir urus yang betul.
Justeru kita menyambut baik pendekatan terkini SPRM yang banyak fokus kepada penyiasatan kes berprofil tinggi serta rasuah dan salah guna kuasa membabitkan wang yang banyak.
Ini langkah yang betul dan tepat kerana selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menitikberatkan soal tata kelola dan tadbir urus yang baik di semua peringkat pentadbiran.
Ironinya, kes berprofil tinggi sering mendapat perhatian rakyat selain lazimnya membabitkan dana negara yang besar. Justeru dengan sasaran misi SPRM ini, kita yakin kes berprofil tinggi dapat diselesaikan segera sekali gus meredakan keresahan masyarakat, selain dapat menghukum individu yang mengkhianati rakyat dan negara.
Malah jika SPRM dapat bertindak pantas, kemungkinan besar kita dapat menebus semula dana yang disalahguna ini. Ini pastinya menguntungkan rakyat dan negara serta mengukuhkan keyakinan khalayak terhadap SPRM dan juga kerajaan.
Besar harapan rakyat agar tatkala memasuki usia 56 tahun, SPRM lebih berfokus dengan penyusunan strategi yang lebih cekap dan efisien terutamanya dengan menggunakan teknologi terkini dalam membanteras rasuah baik daripada aspek pencegahan mahupun penguatkuasaan.
Dari segi pencegahan misalnya, usaha mewujudkan kesedaran perlu banyak fokus kepada golongan anak muda baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) supaya kita dapat melahirkan generasi masa hadapan yang berani tolak atau sanggup katakan tidak kepada rasuah.
Kita tidak mahu generasi muda ini mewarisi budaya korupsi dan penyelewengan daripada senior mereka bila mula bekerja di sesuatu organisasi. Justeru perlu dilibatkan segala usaha dan inisiatif untuk membina daya tahan menolak rasuah dalam kalangan belia negara ini.
Misalnya, guru dan pensyarah boleh memupuk dan menerapkan budaya integriti dalam kalangan anak-anak dan mahasiswa sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) mencakupi aktiviti dalam dan luar bilik darjah atau bilik kuliah.
Antaranya, anak-anak perlu terus dididik untuk tidak menipu serta berlaku adil ketika peperiksaan, sesi aktiviti riadah atau sukan dan juga ketika membeli makanan di kantin.
Penerapan budaya tidak meniru, wajib membayar makanan yang diambil serta tidak memotong baris ketika beratur boleh membentuk nilai integriti tinggi dalam diri anak-anak.
Soal integriti dalam dunia akademik di IPT pula boleh menjadi agenda penting pembentukan jati diri dalam kalangan mahasiswa terutamanya membabitkan aspek plagiat ketika menyiapkan tugasan diberikan pensyarah. Perlu diterapkan soal keberkatan dalam mencari ilmu supaya mahasiswa sedar kepentingan amalan nilai integriti yang tinggi.
Dari segi penguatkuasaan pula, SPRM boleh fokus kepada kes-kes sensitif dan melibatkan dana rakyat yang besar supaya dapat memberi impak yang signifikan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negara.
Misalnya, terus buru dan cari jerung-jerung yang ada, yang bersembunyi di sebalik apa jua nama, gelaran mahupun individu berkuasa.
Tangkap dan bawa mereka ke muka pengadilan dengan segera. Buktikan kepada rakyat SPRM bebas, tidak tunduk kepada mana-mana tekanan politik serta tiada amalan pilih kasih atau pendakwaan terpilih seperti yang dituduh oleh pihak tidak bertanggungjawab. Penting untuk SPRM terus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Dalam hal ini, sekali lagi SPRM memerlukan bantuan dan kerjasama anggota masyarakat terutamanya dalam konteks melaporkan segala aktiviti tidak berintegriti yang berlaku di sekeliling. Hakikatnya, amalan suka melaporkan rasuah masih rendah dalam kalangan masyarakat atas pelbagai alasan seperti takut, tidak mahu masuk campur dan terlibat dengan masalah serta sikap tidak peduli dan tidak kisah kerana tiada kesan pada diri sendiri.
Jadi, jika kita mahu mewujudkan negara bebas rasuah serta melahirkan masyarakat Madani yang beretika, berintegriti dan bermaruah maka setiap warganegara yang bertanggungjawab perlu berani tampil ke hadapan melaporkan jenayah kolar putih yang sedang berlaku. Tuntasnya, jangan takut untuk lapor rasuah dan buang jauh-jauh sikap tidak peduli dengan jenayah yang berlaku di sekeliling kita.
Penulis percaya majoriti anggota masyarakat terutamanya penjawat awam dan swasta memiliki nilai integriti yang tinggi dan terpuji serta berani menolak rasuah yang ditawarkan kepada mereka. Cuma tidak ramai daripada yang menolak ini berani melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Justeru kita menyeru kepada golongan ini jangan biarkan individu yang menawarkan rasuah terlepas begitu saja kerana mereka akan merasuah pegawai lain pula untuk mencapai matlamat mereka. Malah tindakan tidak melaporkan aktiviti jenayah tersebut juga boleh dianggap sebagai bersubahat dengan mereka.
Kerajaan semakin serius dalam mewujudkan tata kelola dan tadbir urus yang baik dan SPRM juga dilihat semakin agresif dan efisien dalam membanteras dan mencegah rasuah. Maka tiba masanya anggota masyarakat pula menunaikan tanggungjawab membantu kerajaan dan SPRM untuk membersihkan negara tercinta ini daripada najis rasuah.

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Penganalisis Isu semasa dan pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya