Menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong - Utusan Malaysia

Menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar sebelum Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih YDPA ke-17 di Istana Negara Jumaat lalu. – Bernama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-263 pada Jumaat lalu berkenan memilih Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Kaedah penggiliran Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang diilhamkan berdasarkan sejarah amalan penggiliran Undang di Luak sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menjadikan Malaysia mempunyai ketua negara yang baharu untuk setiap lima tahun.
Ramai juga baru sedar, sungguhpun proses pemilihan YDPA dipandukan oleh Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan namun dek kerana pentingnya jawatan Ketua Negara itu diisi oleh sosok yang paling sesuai dalam kalangan sembilan Raja-raja Melayu, maka Majlis Raja-Raja juga mempunyai kaedah unik dalam melaksanakan proses pemilihan dalam kalangan Duli-duli Tuanku.
Penggiliran YDPA dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi pusingan pertama disempurnakan seusai tamatnya tempoh pemerintahan YDPA ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1994.
Menarik untuk difahami dalam prosiding pengundian untuk memilih YDPA, setiap Raja Melayu menzahirkan pandangan sama ada seorang Raja yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan berdasarkan sistem penggiliran dan bukan sistem senioriti (kekananan) adalah berkelayakan dan wajar untuk dipilih sebagai YDPA.
Begitulah telus dan telitinya pemilihan YDPA sehingga apabila seseorang Raja itu tidak dapat menyertai majlis pemilihan tersebut baginda hendaklah melantik Raja lain sebagai wakil untuk mengundi bagi pihaknya.
Oleh kerana pelantikan YDPA adalah dari sembilan negeri berbeza dan bukan keturunan, maka terdapat perbezaan antara amalan monarki di Malaysia dan United Kingdom.
Di United Kingdom tidak akan ada tempoh waktu negara itu tidak mempunyai pemerintah monarki kerana tarikh pelantikan Raja baharu bermula retrospektif dari tarikh kemangkatan pemerintah monarki sebelumnya, sementara di Malaysia boleh terjadi keadaan di mana terdapat tempoh kekosongan tanpa YDPA sebelum pelantikan YDPA baharu dibuat.Contohnya apabila YDPA ke-11 Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah mangkat pada 21 November 2001 dan apabila Sultan Muhammad V meletakkan jawatan YDPA ke-15 pada 6 Januari 2019. Pada tempoh kekosongan itu, Timbalan YDPA menjalankan fungsi YDPA.

KELUHURAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA
Peranan Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan pada 1948 menggantikan Majlis Durbar kekal relevan malahan semakin penting. Ia tidak lagi hanya bersifat ceremonial atau rubber stamp tetapi menjadi institusi penyelamat dalam menghuraikan ikatan yang kadang-kadang tersimpul mati yang tidak mampu diselesaikan oleh institusi legislatif, kehakiman dan eksekutif. Demikianlah penting mesyuarat Majlis Raja-Raja ini, hingga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim menyatakan mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah perhimpunan paling luhur dalam negara kita ini.
Menjadi lebih luhur dan penting fungsi Majlis Raja-Raja apabila YDPA ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan merujuk pandangan Majlis Raja-Raja apabila baginda perlu membuat keputusan penting pada saat genting apatah lagi baginda ialah satu-satunya YDPA yang melalui pertukaran empat Perdana Menteri yang mana tiga daripadanya mengangkat sumpah pelantikan di depan baginda.
Menelusuri pemerintahan Al-Sultan Abdullah kita dapati tugas berat YDPA bermula dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan ketika itu, polemik pelantikan Perdana Menteri ke-8 dan ke-9, keperluan pengisytiharan beberapa proklamasi darurat akibat wabak Covid-19, permintaan menangguhkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dan penangguhan sidang parlimen.
Kebijaksanaan YDPA terus ditagih apabila berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15. Pilihan raya yang diharapkan boleh menyelesaikan kemelut politik itu berakhir dengan keputusan menyaksikan tiada gabungan politik boleh menubuhkan kerajaan hingga menyebabkan parlimen tergantung dan mewujudkan persoalan siapakah yang mendapat majoriti kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Tentunya rakyat dan para pelabur menoleh kepada institusi YDPA dan Majlis Raja-Raja untuk menjadi pengadil, pemudahcara dan menasihati parti politik untuk berbincang agar kerajaan dapat ditubuhkan segera bagi menjaga hal ehwal negara.
Saya percaya sebagai rakyat biasa dan sebelum kesemua kemelut di atas terjadi, kenyataan dari Istana Negara yang lazimnya paling relevan dan ditunggu-tunggu rakyat terbanyak adalah pengumuman hari raya dan awal puasa oleh Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja.
Namun pada fasa kemelut politik dan era pandemik itu, tiba-tiba sahaja nama Datuk Pengelola Bijaya di Raja Istana Negara menjadi begitu dekat di hati rakyat dan setiap kenyataan akhbar dari Istana Negara sama ada berkaitan peletakan jawatan Perdana Menteri, penubuhan kerajaan, pelantikan Perdana Menteri, prorog Parlimen, pembubaran sidang Parlimen atau proklamasi darurat amat dinanti-nantikan rakyat jelata.

YDPA PAYUNG RAKYAT
Melihat kepada sambutan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak yang dizahirkan ketika Kembara Borneo baru-baru ini, dapatlah kita simpulkan YDPA dan Raja Permaisuri sebagai Raja berperlembagaan bukan hanya menjadi ketua negara dalam hal ehwal pemerintahan malahan juga menjadi ibu bapa kepada setiap rakyat Malaysia menyampaikan keluhan dan aduan mereka terhadap apa yang tidak berjaya dilakukan oleh wakil-wakil rakyat mereka. Al-Sultan Abdullah menyempurnakan amanah dengan penuh kebijaksanaan dan meletakkan institusi YDPA pada kedudukan yang tinggi di mata rakyat yang dinaunginya.
Apabila tempoh pemerintahan baginda berakhir pada 30 Januari 2024 kelak, rakyat mengalu-alukan YDPA baharu untuk memayungi rakyat dalam menghadapi pelbagai kemelut, cabaran dalam dan luar negara. Justeru, amatlah bertepatan pada waktunya dan amatlah sesuai dengan karismanya untuk Baginda Tuanku Sultan Ibrahim, Sultan kelima Johor Modern dan pemerintah ke-24 Johor untuk mengambil alih sebagai Ketua Negara baharu di samping DYMM Raja Zarith Sofiah, seorang multilingual sebagai Raja Permaisuri Agong.
Pengalaman baginda lebih 13 tahun menjadi Raja pemerintah Johor dan memacu Johor sebagai negeri dinamik, menyatukan rakyat atas nama bangsa Johor yang hidup aman harmoni, membina hubungan akrab dengan negara jiran dan dunia luar, menjadikan rakyat jelata tertunggu-tunggu akan kepimpinan baginda.
Selain itu sebagai Ketua Agama Islam Negeri, Tuanku Sultan Johor amat tegas mempertahankan akidah umat Islam apabila baginda pernah dua kali bertitah mempertahankan kesucian kalimah Allah sementara baginda menolak amalan perkauman dan menjaga baik toleransi antara kaum serta kebebasan agama lain dalam sempadan yang dibenarkan.
Melihat kian pentingnya institusi YDPA menjadi tonggak kestabilan negara, terdapat cadangan agar Privy Council atau Majlis Penasihat bagi menasihati YDPA khususnya dalam hal ehwal berkaitan perundangan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu diwujudkan sebagaimana di Thailand atau di Istana Buckingham dan terserahlah kepada kebijaksanaan YDPA ke-17 untuk meneliti kesesuaian Privy Council itu.
Ini selari dengan sumpah YDPA dalam Perlembagaan Persekutuan, antara lain baginda semasa istiadat pertabalan kelak akan berikrar menegakkan pemerintahan adil dan aman. Demikianlah hari ini institusi YDPA kekal menaungi tatacara kehidupan kita bernegara.

Datuk Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya