Menjadi hospital pilihan rakyat, perbaikilah masa menunggu - Utusan Malaysia

Menjadi hospital pilihan rakyat, perbaikilah masa menunggu

Tidak kiralah hospital kerajaan atau swasta, sepatutnya hal menunggu inilah perkara nombor satu yang perlu dijaga betul-betul. – Mingguan/ Amir Khalid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Sabar itu indah’ mungkin tidak boleh dipakai sangat semasa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di hospital terutamanya ketika terpaksa menanggung kesakitan yang tidak boleh diluahkan dengan kata-kata. Hanya orang yang sudah melalui saja faham betapa seksa dan traumanya ketika menahan sakit yang teruk, tapi pembedahan hanya boleh dilakukan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.
Tidak kiralah hospital kerajaan atau swasta, sepatutnya hal menunggu inilah perkara nombor satu yang perlu dijaga betul-betul. Mengurus kesakitan yang melibatkan nyawa ini sepatutnya satu tindakan yang tidak boleh dilengah-lengahkan.
Betul, kita mempunyai kakitangan hospital kerajaan yang berdedikasi dan bagus, kalau cakap pasal kenaikan gaji sektor awam, mereka ini sepatutnya diutamakan dan dapat gaji lebih. Bekerja tak mengira masa. Masa makan dan rehat pun tak menentu. Tetapi disebabkan kekurangan doktor pakar dan tenaga kerja lain, hospital ini terus menerima kritikan hebat sejak dulu lagi.
Sudah terlalu lama kita mewarisi satu sistem menunggu ‘bersidai lama’ di hospital tak kiralah semasa ingin mendapatkan rawatan, masuk wad, menunggu tarikh pembedahan atau prosedur forensik. Tidak ada nampak penambahbaikan masa dilakukan walaupun setiap tahun sektor ini mendapat peruntukan besar dalam belanjawan negara.
Justeru apabila sekali lagi sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2024 iaitu RM41.2 bilion berbanding RM36.3 bilion tahun ini, ramai mahu melihat mutu perkhidmatan dalam aspek menunggu ini diperbaiki.
Kita bukan mahu memperlekeh hospital kerajaan yang hebat yang menjadi pilihan utama rakyat negara ini kerana menyediakan doktor pakar terbaik dengan kos terpaling murah, tetapi konsep ‘nak murah jangan banyak komplen’ atau ‘nak cepat pergi hospital swasta’ ini tidak boleh dipakai dalam aspek membabitkan nyawa. Membayar kos rawatan yang murah juga bukan alasan untuk orang ramai terpaksa melalui episod menyakitkan dalam tempoh yang lama.
Ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 yang kini mencecah 8.7 juta orang memilih menggunakan perkhidmatan kesihatan awam sebagai saluran utama mendapatkan rawatan.
Mereka ini tetap berpusu-pusu ke hospital kerajaan kerana murah. Kos rawatan di hospital swasta melambung tinggi ketika ini. Kalau di hospital swasta ubat-ubatannya saja sudah beratus ringgit walhal di farmasi luar harganya murah.
Insurans perubatan sekarang pun bukan murah. Ini pengalaman saya sendiri. Tiba-tiba saja syarikat insurans menaikkan bayaran bulanan walaupun tak pernah digunakan atas alasan kos perubatan semakin meningkat. Insurans untuk anak-anak pun begitu. Naik bukan sikit-sikit. Mula-mula memang tawarkan harga mampu milik. Sekali dia naik, bukan bawah RM60. Jadi, untuk yang tiada pilihan, hospital kerajaanlah mereka tuju.
Jika masa menunggu ini tidak diperbaiki, berilah peruntukan berbilion-bilion ringgit macam mana pun untuk sektor ini rakyat tidak dapat merasakan manfaatnya. Mereka tetap disidai lama. Ada banyak kes juga pesakit meninggal dunia sebelum mendapat rawatan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan pesakit kronik di negara ini terpaksa menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk berjumpa, dirawat dan dibedah ekoran kekurangan doktor pakar yang berjumlah kira-kira 13,000 orang di seluruh negara. Keadaan itu menyebabkan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kesihatan yang menetapkan tempoh menunggu rawatan pakar antara dua hingga empat minggu gagal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini berkata, Malaysia masih belum memenuhi nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit, jadi kemudahan kesihatan akan terus ditingkatkan bagi menyurai kesesakan di hospital dan klinik kerajaan.
Perkara pokoknya, isu kekurangan doktor ini harus segera ditangani. Kalau kemudahan cukup tetapi doktor tiada pun, ia berbalik kepada masalah asal. Diharap Kerajaan Madani bertiwikrama menangani isu ini. Ini soal nyawa. Kesihatan yang baik adalah kekayaan sebenar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya