Mengapa denda naikkan harga beras lebih ringan? - Utusan Malaysia

Mengapa denda naikkan harga beras lebih ringan?

Pekerja menyusun kampit beras import di kedai borong, Jalan Chow Kit, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI bekalan makanan mencukupi amat penting dalam sesebuah negara. Disebabkan itu, ia perlu diberikan pengawasan dan pengawalan rapi oleh kerajaan.
Di negara ini kecukupan bekalan makanan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kenaikan harga bahan mentah, bencana alam dan ada juga mengaitkannya dengan politik.
Sejak kebelakangan ini kita mengalami isu kekurangan bahan makanan seperti telur, minyak masak, gula dan terbaharu beras.
Terdapat beberapa undang-undang memberikan kuasa kerajaan mengawal dan mencatu bekalan makanan apabila keadaan memerlukan supaya keperluan asas ini tidak dieksploitasi pihak tertentu untuk meraih keuntungan dengan menaikkan harga sesuka hati.
Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah salah satu me­ka­nisme kerajaan mengawal pem­bekalan makanan. Ia ber­tujuan mengawal ke­seim­bangan di dalam pasaran serta memastikan harga bara­ngan dijual dengan harga berpatutan.
Di bawah akta ini ada tiga kategori makanan yang dikawal iaitu:
A. Barangan yang dikawal sepanjang masa – Antaranya gula, susu pekat, susu tepung, susu cair, garam, tepung gan­dum, minyak masak, baja, racun serangga, cuka getah, minyak tanah, ikan yang disedia atau diawet di dalam bekas kedap udara, beras dari semua jenis (Sabah sahaja), padi (Sabah sahaja), petrol, spirit motor dan gasolin motor dari semua gred, bahan api diesel, gas petroleum cecair (LPG), semua jenis roti, ayam dan topeng muka (untuk pembedahan dan perubatan).
B. Barang yang dikawal berjadual yang mana pengilang dan pengedar harus mempunyai lesen supaya kerajaan dapat mengawasi pembekalan. Antaranya gula, tepung gandum, minyak masak, baja kimia, minyak tanah, petrol, spirit motor semua gred, diesel, simen, LPG, roti dan ayam.
C. Barang yang dikawal semasa musim perayaan – antaranya semua jenis mentega, keju, minuman kotak dan botol yang halal, cili kering, telur, ayam, itik, daging, kelapa, lada hitam, kacang, tepung gandum, tepung beras, tepung pulut, minyak sapi, asam Jawa dan ubi kentang.
Di bawah akta ini diberikan dua kategori pesalah iaitu individu termasuk pengarah atau pegawai kepada syarikat dan syarikat.
Bagi individu, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya denda tidak melebihi RM 3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan oleh syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan kali kedua dan seterusnya tidak melebihi RM5 juta.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan ini beras tidak dimasukkan di bawah mana-mana kategori kawalan bekalan selain untuk Sabah. Maka beras tidak termasuk di bawah barangan dikawal di bawah akta ini bagi negeri-negeri lain.
Pun begitu, beras dikawal melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994. Di bawah akta ini memberikan kuasa Ketua Pengarah antaranya untuk memastikan bekalan padi dan beras mencukupi serta harga padi dan beras berpatutan kepada pengguna.
Pelaku kesalahan dibahagikan dua kategori iaitu individu dan syarikat. Namun kesalahan di bawah akta ini hukumannya lebih rendah berbanding Akta Kawalan Bekalan, di bawah akta ini kesalahan oleh individu boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua, hukuman denda tidak melebihi RM25,000 dan penjara tidak melebihi 5 tahun.
Bagi kesalahan syarikat hukumannya denda tidak melebihi RM 25,000 dan bagi kesalahan kedua denda RM50,000.
Oleh itu, jika dibandingkan hukuman yang melibatkan padi dan beras di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras adalah lebih ringan sedangkan beras makanan ruji di Malaysia dan seharusnya dimasukkan ke dalam jadual Barangan Bekalan yang dikawal di bawah Akta Kawalan bekalan yang lebih tinggi hukumannya.
Melihat isu sekarang ini adalah wajar pindaan dilakukan terhadap undang-undang agar menepati kehendak semasa.
Ini amat perlu supaya tiada pihak mengambil kesempatan kerana hukuman kesalahan bagi beras adalah tidak sama bagi barang kawalan lain yang sama pentingnya dengan beras. Isu bekalan makanan adalah perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya