DUNIA yang semakin bergerak maju ke hadapan, dengan ciri lebih disruptif, mengakibatkan banyak pihak menerima kesan dan tempias yang ketara.
Pada suatu ketika, dalam awal tahun 2000, terdapat satu jenama telefon bimbit yang sungguh popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan bahkan dunia.
Namun, dengan kemunculan telefon bimbit pintar (smartphone), jenama tersebut tidak mampu beradaptasi dengan perubahan zaman yang pantas. Akhirnya, ia ‘ditelan’ zaman.
PENDIDIKAN TINGGI
Bagi sektor pendidikan tinggi, ia harus menjadi ibrah (pengajaran) agar hal yang serupa tidak berlaku terhadap universiti dan institut pendidikan tinggi.
Universiti secara amnya masih memperoleh kepercayaan masyarakat. Kepercayaan ini, namun, menampakkan cabaran disebabkan perubahan generasi yang memasuki dan belajar di universiti.
Generasi pelajar kini ialah Generasi Z. Mereka merupakan insan yang lahir dalam pertengahan 1990-an hingga sekitar tahun 2010.
Generasi ini lahir atau membesar dalam dunia yang sudah wujud kecanggihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan mereka dibesarkan dengan keberadaan peranti telefon bimbit pintar dan aplikasi media sosial, khasnya TikTok.
Generasi Z cenderung belajar dengan cara yang lebih fleksibel dan hibrid. Ini merupakan sebahagian daripada kesan pandemik Covid-19 yang telah menjadikan mereka seorang pelajar digital tatkala mereka berada di bangku persekolahan, sebelum memasuki arena pendidikan tinggi.
Generasi ini harus disantuni dengan baik dan terhormat. Untuk melakukan hal yang sedemikian, universiti harus berubah sesuai dengan cita rasa, ciri-ciri dan aspirasi generasi ini.
Antaranya, universiti harus memanfaatkan daya kreativiti dan inovasi mereka dalam menjadikan mereka pencipta teknologi, terutama kecerdasan buatan (AI), bagi mengupaya mereka sebagai graduan berorientasikan masa hadapan.
MALAYSIA MADANI DAN DAYA CIPTA
Kemunculan teknologi AI, antara yang paling popular ialah aplikasi ChatGPT. Aplikasi ini mencatatkan bilangan pengguna yang amat ramai.
Dalam tempoh hanya lima hari ia wujud, aplikasi ini mencapai bilangan pengguna seramai sejuta orang di seluruh dunia. Sejak dilancarkan pada November 2022, aplikasi ini sudah mempunyai pengguna seramai kira-kira 100 juta orang.
Namun, Malaysia secara amnya masih menjadi negara pengguna teknologi berbanding pencipta teknologi.
Dalam gagasan Malaysia Madani, salah satu rukun penting ialah Daya Cipta. Gagasan Malaysia Madani mahukan rakyat yang dapat menjadi pencipta teknologi dan tidak sekadar menjadi pengguna teknologi.
Untuk membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara pencipta teknologi, bakat-bakat tempatan harus dibentuk dalam menjadikan mereka berupaya menjadi pencipta teknologi.
Universiti amat berperanan penting dalam melahirkan bakat-bakat masa depan yang dapat mencipta teknologi watan, iaitu teknologi yang didasari dengan nilai kearifan tempatan.
Contoh nilai kearifan tempatan ialah khazanah dan potensi yang Malaysia miliki seperti keberadaan sang suria untuk penghasilan tenaga solar, lautan keliling negara yang boleh dimanfaatkan untuk penghasilan air bersih melalui proses penyahgaraman, atau tanah terbiar yang boleh dimanfaatkan untuk pertanian dan agenda keterjaminan makanan melalui pertanian moden.
Adunan penciptaan teknologi dengan kearifan tempatan menjamin kelestarian tenaga, sumber makanan, dan pekerjaan bentuk baharu yang dapat memberikan manfaat besar terhadap watan.
TEKNOLOGI AI
Bagi pelajar bidang Kejuruteraan dan Teknologi, mereka terdedah dengan ilmu membabitkan reka bentuk kejuruteraan dan teknologi yang memungkinkan mereka dapat menjadi pencipta teknologi.
Untuk mereka menjadi pencipta teknologi, tenaga pengajar di universiti harus mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk membimbing bakat-bakat masa hadapan negara dan dunia ini.
Kepakaran yang pelbagai amat diperlukan dalam merencanakan agenda penciptaan teknologi AI yang lebih ampuh, manusiawi, dan memanfaatkan anak watan.
Kepakaran pelbagai ini merangkumi bidang khasnya pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi, dan perubahan iklim.
Penubuhan sebuah entiti khas, Fakulti AI di universiti akan membolehkan pelbagai kepakaran disatukan dengan cara lebih terkoordinasi, terintegrasi dan lestari.
Selama ini, bidang AI belum menjadi bidang kritikal yang memerlukan sebuah fakulti khusus. Ia sekian lama berada di bawah fakulti tertentu dan bertaraf jabatan atau panel khusus, yang sifatnya lebih menumpu bidang tertentu berbanding merentas pelbagai disiplin ilmu.
PENUTUP
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berbesar hati menerima amanah daripada Kerajaan Persekutuan dalam menerajui bidang AI melalui penubuhan Fakulti AI di UTM, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu.
UTM ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada UTM untuk menerajui agenda AI negara.
Ucapan terima kasih turut diberikan buat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan dan dorongan yang diberikan kepada UTM dalam menggalas amanah negara ini. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).